Rabu, 10 Jun 2009

Rencana!

Cabaran industri halal
Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK (Utusan Malaysia)
Satu objektif Pelan Induk Pembangunan Ketiga (IMP3) adalah menjadikan Malaysia sebagai hab halal global bagi pengeluaran dan perdagangan barangan serta perkhidmatan halal.
Industri halal pada dasarnya tidak hanya tertumpu kepada produk makanan halal sahaja seperti mana yang difahami sebelum ini malahan merangkumi sektor perkhidmatan seperti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pasaran.
Ia juga merangkumi produk farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik, kewangan, hiburan, pelaburan, pelancongan dan sebagainya.
Ini mewujudkan hubungan baru dalam rantaian nilai terutamanya logistik, pelabuhan, perkapalan, penghantaran, kemudahan pengendalian dan gudang.
Untuk itu, Malaysia perlu menjadi peneraju kepada penetapan piawaian halal global termasuklah proses mengaudit, pengeluaran sijil halal bagi melindungi integriti halal dan selanjutnya mengarah serta menyelaras pembangunan industri halal di peringkat global.
Hal ini termasuklah dalam bidang teknologi maklumat seperti Internet yang mana banyak syarikat telah berjaya menggunakan sepenuhnya untuk menjalinkan perniagaan ke seluruh dunia.
Melalui sokongan politik yang kuat seperti penganjuran Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Forum Halal Dunia (WHF), ia dapat menarik pelaburan industri halal ke negara ini dan menyokong pertumbuhan penyertaan syarikat Malaysia dalam pasaran halal di peringkat global.
Di samping itu membangun dan memasarkan jenama halal serta mempromosi konsep produk halal dan perkhidmatan di Malaysia yang dijangka mencatat transaksi dagangan bernilai lebih daripada RM2 bilion kepada pasaran dunia yang lebih luas.
Beberapa tumpuan dan penekanan juga perlu diberi perhatian serius bagi menjayakan prasarana industri halal meliputi pembangunan sains halal, logistik, pengedaran dan perdagangan halal antarabangsa; model pelaburan Islam untuk pasaran ekonomi halal; pandangan syariah terhadap penyembelihan menggunakan kejutan elektrik pada bahagian yang hampir dengan jantung haiwan; pembangunan dalam peruncitan; perkhidmatan dan pelancongan halal; dan pengilangan dan kandungan untuk pasaran halal.
Isu-isu yang masih di peringkat pertikaian dan perselisihan perlu diselesaikan segera agar perkara berkenaan tidak merencat transformasi industri halal global.
Banyak produk berunsurkan halal masih belum diterokai oleh orang Islam sendiri.
- Gambar hiasan
Forum Halal Sedunia (WHF) 2008 yang berakhir baru-baru ini juga bersetuju sebulat suara dengan resolusi Pakatan Integriti Halal Antarabangsa (IHI Alliance) bagi memaju, melaksana dan menyenggara standard halal global serta mematuhi sistem penilaian.
IHI Alliance bertujuan memastikan wujudnya integriti halal pada keseluruhan rantaian bekalan dan untuk memainkan peranan penting dalam membantu negara Islam dan bukan Islam dalam pembangunan institusi halal serta bidang penting yang lain di samping menyelaraskan pelaksanaan standard halal dan perakuan di peringkat global.
Halangan dan cabaran utama kepada industri halal negara sebagai hab halal dunia ketika ini ialah berkenaan fenomena semasa kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat secara mendadak dan krisis kekurangan barang makanan asasi yang melanda semakin serius di peringkat global.
Isu ini juga boleh membantutkan proses perkembangan dan prospek industri produk halal jika realiti ini berterusan pada masa hadapan.
Sektor-sektor lain berkaitan dengan industri ini turut akan menerima tempiasan dan dipengaruhi krisis global ini jika kerajaan gagal menyediakan pelan bersepadu menyokong industri halal ini.
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) wajar memainkan peranan utama di dalam industri ini dalam penyediaan bantuan dana dan teknikal, pemindahan dan perkongsian teknologi, kerjasama bijak dengan negara pemain utama produk halal di samping memantau operasi industri ini secara global.

Anggaran kasar menunjukkan saiz pasaran produk makanan halal berjumlah antara RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion setahun, dengan mengambil kira penggunaan oleh pengguna Muslim saja di negara kita.
Namun begitu, pasaran makanan halal dunia hari ini masih dikuasai empat negara bukan Islam iaitu China, Thailand, Australia dan Brazil.
Ini adalah cabaran kepada semua negara Islam yang masih terkebelakang dalam industri ini dan masih bersifat tempatan serta belum bersedia meneroka industri ini secara serius.
Masyarakat Islam tidak lagi boleh sekadar menjadi pemerhati atau pengguna sahaja malahan perlu berubah menjadi negara pengeluar dan pemain utama di dalam industri halal global.
BeraniPada tahun 2002 sahaja, Australia telah mengeksport makanan yang bernilai AS$3.7 bilion ke negara-negara Islam. Daripada jumlah ini, lebih AS$330 juta merupakan nilai eksport daging lembu dan biri-biri dan lebih AS$1 bilion merupakan eksport bahan tenusu.
Jika diteliti secara ekonominya, negara-negara Islam mempunyai peluang dan ruang yang sangat luas di dalam industri ini sekiranya mempunyai keinginan, sokongan dan perancangan politik yang kuat serta penyertaan berani di dalam industri ini.
Adalah amat memalu, menyusah dan meresahkan apabila kita terpaksa bergantung kepada orang lain untuk membekalkan produk halal kepada kita sedangkan kita sendiri mampu menyediakannya.
Komitmen Malaysia sebagai peneraju produk halal global dapat dilihat melalui penetapan semua barangan import berasaskan daging ke Malaysia mestilah mematuhi keperluan standard dan piawaian halal yang digariskan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan