Rabu, 10 Jun 2009

Bisnes!

Eksport produk halal RM3.2b
KUALA LUMPUR - Nilai eksport produk makanan halal Malaysia ke negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dijangka meningkat kepada AS$900 juta (RM3.2 bilion) pada tahun ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed berkata: ''Saya yakin Malaysia akan mencatatkan kenaikan ketara dalam akaun perdagangan pada tahun-tahun yang akan datang."
Beliau berkata, kegiatan perdagangan sesama negara OIC masih lagi rendah setelah mengambil kira tahap kesedaran dan permintaan untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan halal yang tinggi di seluruh dunia.
Mustapa berkata, kini hanya empat negara OIC yang mengamalkan ekonomi terbuka dengan jumlah perdagangan luar yang besar iaitu Malaysia, Indonesia, Turki dan Arab Saudi.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Forum Halal Sedunia kali keempat di sini hari ini.
Forum itu dihadiri oleh para delegasi dari 40 buah negara di seluruh dunia.
Hadir pada majlis ialah Pengerusi Forum Halal Sedunia, Sheikh Salleh Abdullah Kamel.
Eksport Malaysia ke negara anggota OIC pada 2007 adalah kira-kira AS$640 juta (RM2.26 bilion) manakala saiz pasaran makanan halal Malaysia dianggarkan bernilai AS$8.2 bilion (RM29 bilion) tahun ini.
Mustapa berkata, walaupun saiz pasaran makanan halal global adalah besar tetapi penyelidikan mendapati perdagangan produk berkenaan hanya mewakili 10 peratus daripada jumlah pasaran makanan global.
"Penduduk Islam kini berjumlah 1.8 bilion atau 28 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia.
''Bagaimanapun, pasaran makanan halal global masih rendah iaitu di paras 16 peratus berbanding dengan saiz pasaran makanan global, yang bermaksud wujud jurang yang ketara," ujarnya.
Mustapa berkata, kebanyakan negara Islam terutama di Asia dan Afrika masih bergantung kepada produk makanan asas dan makanan yang tidak boleh diniagakan yang kebanyakannya dibekal dari pasaran tempatan dan bukan diniagakan pada peringkat antarabangsa.
Selain itu, setiap pasaran halal tidak sama dan terbahagi mengikut etnik, lokasi, pendapatan dan beberapa faktor lain yang menyukarkannya berkembang di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya, potensi untuk meningkatkan penguasaan makanan halal masih tinggi memandangkan industri tersebut bernilai AS$635 bilion (RM22.4 trilion).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan