Rabu, 10 Jun 2009

Berita!

OIC Bincang Peranan Pasukan Pengaman Di Negara Islam
Oleh Muin Abdul Majid
DAMSYIK - Mesyuarat Menteri Luar negara Islam, yang bermula di sini Sabtu ini, akan membincangkan kertas konsep berkaitan peranan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada masa akan datang dalam memelihara keamanan, keselamatan dan usaha menyelesaikan konflik di negara anggotanya.
Kenyataan OIC berkata penyediaan kertas itu dibuat berasaskan andaian bahawa dunia Islam perlu mempunyai pasukan pengaman berikutan wujudnya pelbagai konflik di wilayah yang didiami umat Islam dan memandangkan negara anggota OIC, menghulurkan sumbangan paling banyak dalam membiayai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Sidang Ke-36 Majlis Menteri Luar (CFM) Negara Anggota OIC dari 23 hingga 25 Mei itu bertemakan "Memupuk Perpaduan Islam".
Malaysia akan diwakili Menteri Luar Datuk Anifah Aman.
Kenyataan itu berkata CFM akan membincangkan pelbagai isu politik, terutama sengketa Arab-Israel, perkembangan di bandar raya suci Al-Quds dan pencerobohan Israel di bumi Palestin.
Ia juga akan memberi tumpuan terhadap proses damai Timur Tengah dan keadaan semasa di Bukit Golan di Sysia, yang diduduki Israel, serta pendudukan berterusan Israel di wilayah Lubanan.
Para menteri yang mewakili 57 negara anggota OIC itu juga akan membincangkan isu politik utama lain seperti keadaan di Iraq, perkembangan di Somalia berikutan keadaan keamanan yang semakin buruk dan pertempuran sengit yang tercetus di luar ibu negara Somali, Mogadishu, baru-baru ini.
"Perkembangan membimbangkan di Sudan juga akan menjadi agenda penting mesyuarat ini," kata kenyataan itu sambil menambah bahawa para menteri luar berkenaan dijangka bersatu suara untuk menyokong langkah Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengambil tindakan terhadap Presiden Omar Hassan Al Bashir berkaitan dakwaan pembabitannya dalam jenayah perang di Darfur.
Langkah membanteras 'Islamophobia' atau kegerunan terhadap Islam dan perjuangan menentang perbuatan memfitnah Islam, juga akan dibincang pada mesyuarat ini.
Dalam laporan tahunan keduanya, Badan Pemerhati Islamophobia OIC dijangka menyiarkan laporan tentang kezaliman yang dilakukan terhadap Islam dan umatnya serta menjelaskan tentang fenomena Islamophobia yang wujud di seluruh dunia.
Kenyataan itu berkata isu lain yang akan turut diberi tumpuan ialah nasib umat Islam dan kumpulan minoriti Islam di negara bukan anggota OIC seperti umat Islam di Filipina, minoriti umat Islam Turki di Western Thrace di Greece dan kumpulan umat Islam di Myanmar serta selatan Thailand.
Mesyuarat CFM itu juga akan menyentuh perkara lain berkaitan politik, terutama pembaharuan terhadap PBB dan perluasan asas keanggotaan dalam Majlis Keselamatan PBB.
Kenyataan itu berkata menteri luar terbabit akan membincangkan secara panjang lebar tentang penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Tetap berkaitan hak asasi manusia.
Mereka juga, kata kenyataan itu, dijangka berbincang tentang pelaksanaan Program Pelan Tindakan 10 Tahun OIC berkaitan ekonomi dan isu dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi, alam sekitar di dunia Islam dan media.
"Menteri terbabit juga akan membincangkan secara terperinci perayaan sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan OIC sepanjang 2009," kata kenyataan itu.
Setiausaha Agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu dijadual berucap pada sesi pembukaan CFM, yang akan menyentuh secara terperinci kegiatan OIC selepas berlangsungnya Sidang CFM Ke-35 di Kampala, Uganda. (BERNAMA)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan