Rabu, 10 Jun 2009

Berita & Bisnes!


Felda Labur RM110 Juta Kendali Hotel Di Arab Saudi
KUALA LUMPUR: - Kumpulan Felda telah melabur RM110 juta untuk mengendalikan sebuah hotel dan restoran di Makkah, Arab Saudi, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Anak syarikatnya -- Felda Global Ventures Middle East Sdn Bhd dan Felda D'Saji Sdn Bhd -- telah bersama-sama menubuhkan FGV Arabia Ltd untuk memajak tiga tingkat daripada Menara Safwa setinggi 20 tingkat selama 20 tahun untuk menguruskan hotel 54 bilik dan restoran, yang dijangka beroperasi menjelang awal tahun depan.
"Ini ialah restoran kami yang pertama di luar Malaysia. Kami merancang untuk mengembangkan operasi ke wilayah lain di Arab Saudi kemudian kelak," kata Mohd Yusof kepada pemberita selepas Felda menerima lesen pelaburan untuk menubuhkan sebuah syarikat milik asing 100 peratus di Arab Saudi.
"Selepas memperbaharui undang-undang pelaburan langsung asingnya dengan pelancaran Bandaraya Ekonominya yang baru, kami menganggap Arab Saudi sebagai lokasi perdana, cerah dan strategik bagi melaksanakan strategi pelaburan Felda di Asia Barat," katanya.
Lesen itu, diberikan oleh Saudi Arabia General Investment Authority (SAGIA), membenarkan FGV Arabia terlibat dalam pembangunan hartanah, memiliki atau penyediakan perkhidmatan pengurusan bagi hotel, kompleks hotel dan restoran di negara itu.
Ditanya sama ada Felda akan mempertimbangkan aktiviti lain di sana, Mohd Yusof berkata kumpulan itu perlukan masa untuk mengkaji perkara itu.
Katanya Felda memutuskan mengenai usahaniaga hotel dan restoran di Arab Saudi disebabkan permintaan, terutamanya semasa musim haji.
Restoran itu, katanya akan menyajikan bukan sahaja makanan Malaysia tetapi juga juadah lain.
Pengarah Negara Bagi Asean SAGIA Meshari S. Al-Khaled berkata Felda ialah firma Malaysia yang pertama menerima lesen milik sendiri 100 peratus di Arab Saudi.
Beliau juga berkata bahawa Malaysia ialah pelabur keempat terbesar Arab Saudi selepas Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. (BERNAMA)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan