Rabu, 10 Jun 2009

Berita!


OIC kutuk serangan ke atas masjid di Narathiwat
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) hari ini mengutuk sekeras-kerasnya kejadian serangan di sebuah masjid di Narathiwat, selatan Thailand malam Isnin lepas yang mengorbankan 11 orang termasuk imam serta mencederakan 19 orang lagi yang sedang bersolat.
Setiausaha Agung OIC Tan Sri Prof Ekmeleddin Ihsanoglu menyifatkan serangan itu sebagai yang paling dahsyat dalam siri serangan ke atas masjid dan tempat beribadah di selatan Thailand.
Beliau percaya serangan bersenjata itu dilakukan oleh kumpulan yang disokong oleh pihak tertentu dengan tujuan menakut-nakutkan umat Islam supaya berhenti daripada menuntut hak mereka.
"Saya menggesa kerajaan Thailand supaya menyiasat kejadian itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Kerajaan Thailand juga hendaklah mengambil langkah bagi memberi perlindungan ke atas nyawa dan harta benda umat Islam di selatan Thailand dan di seluruh negara itu daripada ancaman keganasan," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar ke Bernama Rabu dari pejabatnya di Jeddah, Arab Saudi.
Dalam kejadian itu enam lelaki bersenjatakan rifal automatik memasuki masjid Al-Furqan di daerah Cho-i-Rong, wilayah Narathiwat ketika waktu solat Isyak dan melepaskan tembakan ke arah jemaah menyebabkan 11 orang termasuk imam Wan Abdullah Wan Latif terbunuh dan 19 lagi cedera. (BERNAMA)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan