Khamis, 24 Disember 2009

Imbasan!


10 Tahun Lalu...

PM lancar duit syiling emas peringatan tahun 2000

Sedutan berita 10 tahun lalu, disiarkan pada 23 Disember 1999

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini melancarkan duit syiling emas peringatan tahun 2000 sempena kedatangan alaf baru yang mempunyai nilai muka RM500 setiap satu.

Syiling yang diperbuat daripada emas tulen 999.9 seberat 25 gram itu akan dijual pada harga RM2,000 setiap satu dan pemasarannya adalah terhad kepada sebanyak 10,000 unit sahaja.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman dalam majlis pelancaran syiling itu di sini berkata, terbitan syiling emas itu adalah yang pertama selepas syiling emas peringatan Dana Hidupan Liar Sedunia pada tahun 1992.

Bagi membayangkan sambutan kedatangan alaf baru, bahagian hadapan syiling itu dihias bermotifkan sirih junjung, kelengkapan tradisional Melayu bagi menyambut tetamu.

Ia juga turut dihiasi dengan dua bilah keris bagi membayangkan kesediaan negara menghadapi cabaran di alaf baru serta glob dan neutron yang mencerminkan negara sedang memacu ke arah era baru dengan berlandaskan teknologi maklumat dalam persekitaran yang lebih global.

Syiling emas itu dimuatkan dalam bekas pewter yang dihiasi corak awan larat berkerawang dan replika duit syiling emas kijang pada penutupnya.

Syiling emas peringatan tahun 2000 itu boleh didapati di Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. atau di cawangan terpilih RHB Bank Bhd., Public Bank Bhd., Malayan Banking Bhd. dan Bumiputra-Commerce Bank Bhd.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

TEKS UCAPAN DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD DI PALACE OF THE GOLDEN HORSES, KUALA LUMPUR PADA 23/12/99 SEMPENA MAJLIS PELANCARAN DUIT SYILING EMAS PERINGATAN TAHUN 2000

Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bank Negara kerana sudi menjemput saya untuk melancarkan Duit Syiling Emas Peringatan sempena Tahun 2000 pada hari ini.

2. Saya juga bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana atas limpah kurnia-Nya kita dapat bersama- sama dalam majlis yang istimewa pada bulan Ramadan yang mulia ini.

3. Kedatangan alaf baru Masehi sudah pasti akan membawa berbagai-bagai cabaran dan peluang kepada negara dan rakyat. Untuk menyediakan diri dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, banyak sejarah negara boleh dijadikan iktibar dan pedoman. Apa yang pasti ialah kita perlu sentiasa berwaspada, bertekad dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan maruah, kedaulatan dan martabat bangsa.

4. Sejarah negara telah memperlihatkan jatuh bangunnya peradaban dan kebangkitan semangat juang yang jitu. Pengalaman hidup di bawah penjajahan Inggeris telah melihatkan bagaimana hasil mahsul negara dieksploitasikan semata-mata untuk kepentingan dan kemakmuran negara penjajah. Rakyat jelata dibiarkan hidup di bawah belenggu kemiskinan dan kemunduran.

5. Sejak negara mencapai kemerdekaan 42 tahun yang lalu, Kerajaan serta rakyat telah berganding bahu bekerja kuat untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara. Kini kita boleh berbangga kerana Malaysia sudah diiktiraf sebagai sebuah negara contoh bagi dunia ketiga, disegani dan dihormati oleh seluruh masyarakat dunia. Formula pembangunan Malaysia telah menjadi model kepada negara-negara membangun yang kagum dengan pencapaian ekonomi, keharmonian kaum dan keindahan negara kita.

6. Walaupun kita telah lama bebas daripada belenggu penjajahan, kita masih berdepan dengan penjajahan berbentuk baru yang dikenali sebagai neo-kolonialisme. Penjajahan ini telah dirancang dalam berbagai-bagai bentuk termasuk melalui proses globalisasi untuk menjayakan penjajahan ekonomi dan perdagangan ke atas negara-negara membangun dan negara-negara termiskin di dunia. Salah satu gejalanya ialah kegawatan ekonomi yang melanda rantau ini pada pertengahan tahun 1997. Kesannya amat buruk sekali. Pendapatan negara dan kuasa beli rakyat telah terhakis dengan ketara. Dalam tempoh yang singkat itu, pada anggaran kasar pencapaian ekonomi, kemakmuran dan kemajuan negara telah dimundurkan selama lebih kurang 10 tahun ke belakang. Bagi negara-negara jiran yang kurang bernasib baik, mereka terpaksa menanggung kesan buruk kemelesetan ekonomi yang lebih teruk. Rakyat mereka juga terpaksa menanggung kos sosial yang amat berat akibat perpecahan dan rusuhan yang dicetuskan oleh kegawatan ekonomi itu.

7. Dalam hal ini negara kita adalah jauh lebih bernasib baik. Pengurusan ekonomi yang berhemat dan pragmatik telah menghasilkan kadar pertumbuhan ekonomi pada purata lapan peratus setahun untuk selama satu dekad. Walaupun negara tidak terkecuali daripada kesan buruk krisis ekonomi, namun asas ekonomi yang kukuh itu telah membolehkan kita mengurangkan kesan buruk krisis ekonomi yang dialami. Di samping itu, kita juga telah memilih untuk tidak menerima pakai pendekatan IMF dalam menangani krisis tersebut. Kita berjaya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara dengan cara kita sendiri melalui langkah-langkah dan dasar-dasar ala Malaysia bagi mengatasi kegawatan ekonomi negara.

8. Langkah-langkah tersebut kini sudah mula membuahkan hasil yang amat positif. Ekonomi negara telah pulih dengan baik setelah mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus pada suku tahun ketiga 1999, iaitu satu kadar yang paling tinggi pernah dicatatkan sejak krisis kewangan. Dengan pencapaian ini, negara telah terkeluar daripada kemelesetan ekonomi yang telah melanda negara selama kira-kira satu tahun setengah.

9. Mengangkat martabat maruah bangsa; mempertingkat taraf ekonomi rakyat; memastikan kesejahteraan negara yang berterusan dan pengagihan kekayaan secara saksama di kalangan rakyat telah menjadi matlamat Kerajaan yang utama; bahkan ia juga merupakan formula kemakmuran negara walaupun negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum.

10. Dengan pemulihan ekonomi yang ketara, di ambang alaf baru ini Kerajaan yang telah sekali lagi diberi kepercayaan oleh rakyat berkeyakinan akan dapat mengatasi cabaran-cabaran yang akan dihadapi pada tahun 2000 nanti. Masanya adalah sesuai sekali sekarang untuk menghasilkan duit syiling emas peringatan sebagai tanda tibanya alaf baru ini, tanda permulaan perjuangan yang baru bagi negara.

11. Saya mengucapkan syabas kepada Bank Negara Malaysia dan Syarikat Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. kerana berjaya menerbitkan duit syiling peringatan alaf baru ini. Saya mengambil maklum bahawa unsur-unsur tradisional telah diabadikan bukan sahaja dalam motif duit syiling tetapi juga pada rekabentuk kotaknya. Pada masa yang sama unsur-unsur zaman teknologi moden juga turut dijalinkan dalam motif duit syiling itu untuk mempamerkan kecanggihan negara dalam menjejaki ketangkasan kemajuan teknologi moden sempena kita melangkah ke alaf baru.

12. Usaha sedemikian patut diberi pujian dan disokong penuh oleh semua pihak. Peristiwa penting seperti ketibaan alaf baru ini, walaupun tidak dapat dilakarkan sepenuhnya di dalam sekeping duit syiling, namun penerbitannya merupakan salah satu cara untuk kita mengingatkan tentang peranan dan tanggungjawab bersama dalam merangsang semangat cintakan budaya bangsa dan sokongan terhadap aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

13. Duit syiling peringatan ini sememangnya akan mengkayakan lagi koleksi numismatik tempatan. Walau bagaimanapun yang lebih penting ialah penerbitannya mencerminkan keupayaan kita menghasilkan duit syiling yang bertaraf antarabangsa daripada segi mutu, nilai estetika dan rekabentuk, di samping mempamerkan Malaysia sebagai negara yang serba boleh dan berjaya.

14. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Duit Syiling Emas Peringatan Alaf Baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan