Keterangan gambar:
PULAU PINANG - Gerhana matahari separa atau dikenali sebagai "gerhana matahari anulus" berlaku antara pukul 3 petang hingga 5.45 petang pada 15 Januari 2010 berikutan "sentuhan pertama" bulan ke cakera matahari. Sempena fenomena itu, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat kusuf atau solat sunat gerhana matahari. – fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR - Fenomena gerhana matahari separa yang berlaku pada pukul 3 petang hingga 6 petang hari ini telah berjaya menarik kira-kira 1,000 pengunjung ke Planetarium Negara di sini.
Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Lau Chen Chen berkata pihak Planetarium menyediakan beberapa teleskop penapis suria dan kaca mata gerhana bagi membolehkan orang ramai menyaksikan sendiri fenomena itu secara fakta dan bukan lagi teori.
"Fenomena ini hanya akan dapat disaksikan lagi di negara ini pada Mac 2016 nanti. Oleh itu dengan program seumpama ini orang ramai dapat melihat lebih jelas tompok matahari deengan menggunakan kemudahan teknologi yang ada," katanya.
Seorang pengunjung dari New Zealand, Simran Grewal, 18, berkata ini merupakan kali pertama beliau melihat lebih jelas fenomena matahari yang terlindung oleh bulan.
"Saya dapat banyak pengalaman dan pengetahuan hari walaupun ia merupakan pengalaman pertama saya dan ia sungguh hebat," katanya.
Pelajar Tingkatan Dua, Mohd Alifitri Ahmad berkata minatnya yang mendalam terhadap subjek sains mendorongnya untuk berkunjung ke Planetarium selepas tamat waktu persekolahannya.
"Saya pernah mempelajari dan mendengar mengenai fenomena gerhana matahari ini. Bagaimanapun disebabkan ia jarang berlaku, saya terus datang ke sini untuk melihat sendiri pergerakan bulan yang melindungi matahari," katanya.
Di Malaysia, gerhana matahari separa mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung
Ia dijangka berlaku lagi di negara ini pada 9 Mac 2016.
Selain di Planetarium Negara, ANGKASA turut menganjurkan program pencerapan gerhana matahari separa di Kompleks Pekan Rabu, Langkawi.
Orang ramai yang tidak berkesempatan menyaksikan fenomena ini boleh melayari laman web ANGKASA di www.angkasa.gov.my.
Di Masjid Negara kira-kira 1,000 orang menghadiri sembahyang sunat gerhana matahari secara berjemaah yang bermula pada pukul 3.45 petang yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.
Bercakap kepada pemberita sejurus selesai solat itu, beliau berkata solat gerhana adalah sunat mauakad (yang dituntut) di dalam Islam dan dilakukan oleh Nabi Muhamad S.A.W.
"Nabi sendiri ada sejarahnya iaitu semasa kematian salah seorang anak baginda iaitu Ibrahim ketika berlaku gerhana matahari. Bagaimanapun sepertimana yang dinyatakan dalam hadis baginda, gerhana matahari bukan menyebabkan kematian seseorang atau menentukan kehidupan seseorang.
"Ianya berlaku atas kehendak Allah S.W.T dan peraturan Allah yang telah disusun iaitu perjalanan bulan, matahari dan bumi sebagai tanda kebesaran Allah dan menunjukkan kepada kita kebesaran-Nya," kata Syaikh Ismail. -BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan