Selasa, 5 Januari 2010

al Fatihah




Lain tokoh, lain zamannya

Presiden Keempat Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur meninggal dunia pada hari akhir tahun 2009 sementara Bekas Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Mohamed Rahmat atau Tok Mat meninggal dunia pada hari pertama 2010.

Gus Dur sememangnya selalu datang ke Malaysia. Beliau juga sering membela negara ini apabila berdepan dengan rakyat senegaranya yang mengkritik Malaysia. Sesungguhnya Malaysia kehilangan seorang sahabat.

Sementara Tok Mat yang pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf menteri sememangnya dikenali sebagai seorang sahabat Indonesia. Beliau dianggap jambatan antara Malaysia dan Indonesia dalam banyak waktu sepanjang pemerintahan Suharto di Indonesia.

Semasa Tok Mat menjadi Menteri Penerangan dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, hubungan kedua negara adalah baik. Pertukaran budaya dan media banyak dilakukan. Rakan sejawat Tok Mat di Indonesia semasa menjadi Menteri Penerangan ketika itu, Harmoko sememangnya sehati sejiwa.

Banyak idea dipercayai daripada Indonesia digunakan oleh Tok Mat semasa beliau menjadi Menteri Penerangan. Antaranya adalah gerakan Setia Bersama Rakyat atau Semarak yang memberi sumbangan untuk menarik sokongan rakyat kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Dengan lagu Setia yang terkenal disiarkan oleh RTM ketika Tok Mat menjadi Menteri Penerangan, maka dipercayai ia menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Dr.Mahathir sebagai ketua kerajaan yang ketika itu, iaitu tahun-tahun hujung 1980-an, dicabar oleh gerakan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh. Sememangnya Tok Mat muncul sebagai ahli politik kanan yang mendokong Dr Mahathir.

Begitu juga dengan program Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) yang mendapat ilham juga daripada Indonesia.

Pada zaman 70-an dan 80-an, ketika belum ada Internet dan televisyen satelit, maklumat dapat dikawal oleh kerajaan melalui akhbar, radio dan televisyen. Peranan radio dan televisyen untuk menyatukan sokongan rakyat kepada kerajaan dianggap berkesan.

Masa itu radio dan televisyen dikawal oleh Menteri Penerangan di merata-rata tempat di dunia termasuklah Malaysia dan Indonesia. Maka Kementerian Penerangan menjadi penting dengan pegangannya terhadap Radio Televisyen Malaysia (RTM). Di Indonesia, Kementerian Penerangannya juga mengawal rapi Radio Republik Indonesia (RRI) dan Televisi Republik Indonesia (TVRI).

Tetapi televisyen memainkan peranan penting bagi menyatukan Indonesia untuk mendokong Presiden Suharto. Dari awal tahun 70-an, melalui bantuan Amerika Syarikat juga, beliau melancarkan program memperluaskan tontonan televisyen di seluruh kepulauan Indonesia. Pelancaran satelit Indonesia untuk projek ini adalah antara lain untuk meraih dokongan rakyat kepada Suharto melalui maklumat yang disalurkan.

Suharto dianggap sebagai Bapa Pembangunan Indonesia. Tetapi setelah begitu lama memerintah, beliau menjadi tidak disukai rakyat kerana dilihat mengongkong dan tidak demokratik.

Antara pengkritik kuat Suharto ialah Gus Dur yang merupakan pemimpin Nahdhatul Ulama. Beliau menjadi ulama yang memperjuangkan demokrasi, kebebasan dan keterbukaan. Fahamannya menjadi ikutan banyak anak-anak muda bukan saja di Indonesia tetapi juga di Malaysia.

Walaupun kemudian gerakan Reformasi Indonesia memunculkan tokoh-tokoh seperti Amien Rais, Budiman Soedjatmoko dan Megawati Sukarnoputri tetapi Gus Dur merupakan ulama yang memberikan fahaman dasar bagi gerakan Reformasi dengan warna Islam.

Pada masa gerakan Reformasi berlaku di Indonesia pada tahun 1998, televisyen pemerintah sudah tidak menjadi media utama. pada masa itu sudah mula ada Internet dan televisyen swasta.. Antara tuntutan gerakan Reformasi adalah membebaskan media daripada kawalan pemerintah.

Maka ketika Gus Dur menjadi Presiden Reformasi pertama, beliau telah membubarkan Kementerian Penerangan.

Sifat sebuah negara demokrasi yang tidak stabil membuatkan juga mudahnya Gus Dur tumbang. Semudahnya beliau naik. Walaupun zaman Suharto sudah berlalu, tetapi cara Gus Dur juga tidak dapat diterima.

Dengan cepat kepimpinan Gus Dur diganti dengan Megawati Sukarnoputri. Beliau juga kemudiannya tidak diterima. Hanya kini apabila Susilo Bambang Yudhoyono memimpin, barulah kestabilan dapat dimantapkan.

Masing-masing pemimpin mempunyai zamannya. Dr. Mahathir mempunyai zamannya juga. Tok Mat juga berada pada zaman Dr. Mahathir.

Tetapi tahun 2009, beliau sendiri sempat menulis dan menerbitkan buku memoirnya Akhirnya Sebuah Impian yang agak kritikal terhadap keadaan zamannya.

Mungkin bagi generasi hari ini boleh menganalisis atau membuat perkiraan mengenai apa yang berlaku pada masa-masa lalu. Mungkin dirasakan apa yang dilakukan oleh orang terdahulu tidak betul atau tidak wajar. Dikatakan bahawa jika dilakukan secara lain mungkin keadaan berbeza dan menjadi lebih baik.

Tetapi bagi mereka yang hidup pada zamannya mempunyai pertimbangan tertentu untuk membuat sesuatu keputusan. Mengapa Suharto bertindak sedemikian rupa. Begitu juga mengapa Gus Dur berani menentang.

Begitu juga mengapa Dr. Mahathir mengambil sesuatu keputusan tertentu. Dengan Tok Mat memberi dokongan memihak kepadanya.

Apa akan berlaku jika Tok Mat tidak memihak Dr Mahathir pada zamannya? Atau apakah akan berlaku jika Gus Dur menyebelahi Suharto. Sejarah mungkin berbeza. Sejauh mana bezanya sukar untuk dijangkakan. - Oleh Zin Mahmud

Tiada ulasan:

Catat Ulasan