Ahad, 31 Januari 2010

Istilah keanekaragaman hayat





DALAM pergerakan alam sekitar, antara agenda penting ialah pemeliharaan biodiversiti. Maksud dalam agenda ini ialah untuk mengekalkan kepelbagaian spesies yang ada, seboleh mungkin.


Ada pihak menggunakan istilah kepelbagaian bio bagi merujuk biodiversiti, dengan mengambil istilah diversiti sebagai kepelbagaian. Di Indonesia, ada pihak menggunakan istilah keanekaragaman hayat. Cantik istilah ini. Keanekaragaman merujuk pada diversiti atau kepelbagaian. Hayat adalah bio. Tidakkah dahulu biologi di negara ini dikenali sebagai kajihayat?


Kesepakatan dalam pergerakan alam sekitar ialah kepelbagaian bio adalah suatu yang perlu bagi segala kehidupan termasuk manusia di muka bumi. Justeru, kepelbagaian spesies mesti dipertahankan semampu mungkin.


Adalah menjadi fitrah alam bahawa kehidupan berkembang dalam pelbagai bentuk dengan memunculkan banyak spesies yang kehadirannya berkait di antara satu sama lain. Rantai makanan yang bersilang-silang membolehkan semua spesies dapat hidup dan berkembang.


Tetapi dalam sesuatu spesies pula, juga terdapat kepelbagaian ragam cara hidup. Contoh jelas adalah manusia sendiri. Ia hanyalah satu spesies iaitu Homo sapiens sapiens. Tetapi ia muncul dalam pelbagai bangsa, kaum dan suku kaum. Ada pula ciri-ciri lain bagi manusia yang merentas bangsa, kaum dan suku.


Bukan saja dari segi fizikal dengan setiap individu mempunyai ciri masing-masing. Sebab itu manusia muncul dengan kecenderungan dan minat yang pelbagai ragam. Akibatnya manusia mampu bersifat kreatif dan inovatif, mempunyai kepelbagaian buah fikiran dan melakukan kerja yang berbeza.


Sifat inilah yang melahirkan budaya keusahawanan serta menggerakkan sistem pasaran bebas dan amalan demokrasi.


Oleh kerana pandangan manusia yang pelbagai ragam, maka sudah tentu dunia ini mempunyai banyak agama. Daripada agama konvensional kepada agama baru atau pemikiran kerohanian yang tidak terikat kepada mana-mana kepercayaan tradisi. Sementelah itu pula, banyak manusia langsung tidak mempercayai agama.


Dalam sesuatu agama juga, muncul pelbagai aliran dan mazhab. Otak manusia sememangnya begitu rupa. Ini adalah kepelbagaian intelek. Atau kepelbagaian kefahaman kerohanian.


Apa yang terbentuk dalam fikiran manusia juga dipengaruhi oleh bahasa. adanya pelbagai bangsa, kaum dan suku kaum sememangnya ciri manusia yang muncul sebagai fitrah alam.


Tetapi begitu juga dengan bahasa. Terdapat pelbagai bahasa. Malah dalam bahasa-bahasa besar seperti Inggeris dan China yang dilihat begitu universal, tetapi di dalamnya terdapat perbezaaan. Antara dialek dan sebutan. – Oleh ZIN MAHMOOD

Tiada ulasan:

Catat Ulasan