Jumaat, 23 April 2010

Transformasi sosial sedang berlaku

CUBA lihat keadaan negara pada jangka waktu tahun 1998 hinggalah 2010 ini. Pada tahun 1997, krisis mata wang Asia belum berlaku. Pada masa itu negara mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik dengan pandangan masa depan cerah.

Pandangan ini, atau visi terungkap dalam apa yang dinamakan sebagai Wawasan 2020. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tanpa perlu menanggung ciri-ciri negatif negara Barat. Maknanya Malaysia akan menjadi negara maju menurut acuan sendiri, dengan orang Melayu mendapat tempat di mana kaum-kaum lain lebih lagi menikmati kemakmuran ekonomi negara.

Tetapi orang Melayu dituntut juga berubah, maka keluarlah apa yang disebut konsep Melayu Baru, dalam erti kata bangsa yang cemerlang dan bukan saja berani menghadapi persaingan tetapi mampu untuk berdiri bangga dalam persada global.

Bagaimanapun, visi yang masih teguh pada tahun 1998 ini tercabar hebat apabila berlaku krisis kewangan Asia. Kerajaan Suharto tumbang dan gerakan Reformasi dilancarkan di sana. Indonesia hendak dijadikan liberal, demokrasi dan terlepas daripada cara pemerintahan tradisi Asia. Pengaruhnya sampai juga ke Malaysia.

Hasil pilihan raya umum tahun 1999 tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Tetapi pasak politik negara masih mantap. Barisan Nasional menang majoriti dua pertiga, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjadi Perdana Menteri. Krisis kewangan Asia dapat dihadapi secara sewajarnya. Bagaimanapun beliau tentunya tahu keadaan sedang berubah dan persiapan bagi pasca Mahathir pun dilakukan.

Setelah pengundurannya dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menang besar dalam pilihan raya umum tahun 2004, maka kestabilan dapat dipulihkan dan keraguan sebelumnya terhadap perubahan dapat dihalang.

Namun begitu, pentadbiran Abdullah memperkenalkan banyak pendekatan baru bagi menghadapi realiti masyarakat yang sedang berubah.

Tetapi dalam memperkenalkan pendekatan baru ini, ternyata berlaku konflik dan antara mereka yang mahukan perubahan dengan pihak yang bimbang terhadap kesan perubahan itu.

Sememangnya dirasakan sedang berlaku perubahan dalam masyarakat tetapi umumnya tidak menyedari bahawa ia diserlahkan melalui hasil pilihan raya 2008.

Sepanjang tahun 2009, semua pihak negara ini sedar bahawa perubahan besar sedang berlaku. Masyarakat mengalami transformasi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membawa gagasan-gagasan baru bagi mencerminkan perubahan ini. Gagasan Satu Malaysia, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Ekonomi Baru (MEB) adalah manifestasi kepada usaha menghadapi perubahan. Maknanya, perubahan dalam masyarakat diterima dan diuruskan supaya ia dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara tanpa konflik atau menjejaskan keharmonian.

Berubah

Masyarakat Malaysia sedang berubah dengan mendadak ke arah yang tidak dapat dipastikan destinasinya. Memang benar transformasi sedang berlaku.

Faktor-faktor yang menyebabkan perubahan ini antaranya ialah teknologi maklumat (IT), globalisasi dan kemunculan generasi baru yang citranya berbeza akibat perkembangan itu.

Teknologi maklumat melalui Internet memecahkan tembok sempadan dan halangan aliran idea dan emosi ke seluruh dunia. Tentunya dari Barat itu dominan, pastinya mereka datang mempengaruh dengan menunggang gelombang globalisasi.

Semua bangsa di dunia tidak terlepas daripada transformasi ini. Kerana tidak ada pelosok dunia yang tidak tersampai oleh teknologi maklumat. Sememangnya perubahan berlaku secara perlahan-lahan tetapi dalam keadaan tertentu ia datang mengejut. Inilah kejutan transformasi yang sedang berlaku.

Maka semua kaum di negara ini juga mengalami kesan perubahan ini, terutama generasi muda. Sudah tentu apabila ada kesan, maka timbul pula reaksinya.

Di kalangan orang Melayu sendiri, muncul golongan yang menganggap diri mereka liberal. Pandangan mereka berbeza dengan visi orang Melayu tradisional, konservatif dan kebanyakan. Nilai-nilai mereka sudah berubah. Walaupun mereka minoriti tetapi suara dan hujah mereka lantang. Memudahkan mereka sekali lagi ialah teknologi maklumat.

Apabila muncul golongan Melayu liberal ini, maka tentu ada reaksi kepada mereka. Kebanyakan orang Melayu akan berasa terancam dengan pandangan-pandangan Melayu liberal yang tidak konvensional dan berbeza nilai.

Maka tidak hairanlah muncul badan-badan bukan kerajaan Melayu yang ditubuhkan bagi menampung suara-suara konservatif orang Melayu. Konflik pandangan di antara konservatif dan liberal tidak dapat dielakkan. Tetapi apa yang ternyata masyarakat sedang berubah,

Di kalangan orang bukan Melayu, tidak bolehlah diandaikan bahawa keseluruhan mereka adalah liberal. Banyak daripada mereka bersikap konservatif dan mahu mempertahankan sistem atau amalan lama yang mereka percaya telah berjaya menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara.

Namun begitu, kejayaan negara sebelum ini berdiri atas asas yang berbeza dan perubahan menuntut cara baru bagi menghadapinya. Transformasi sememangnya mesti dilakukan. GTP dan MEB merupakan sahutan kepada cabaran-cabaran ini.

Maka di samping orang Melayu wajar terus mempertahankan Perlembagaan, persiapan bagi menghadapi Satu Malaysia, GTP dan MEB perlu dilakukan. Melayu bukan sekadar menjadi Melayu Baru seperti yang pernah diutarakan pada zaman tahun 1990-an dulu. Juga Melayu bukan sekadar berminda Revolusi Mental seperti yang pernah digempur pada tahun 1980-an. Tetapi Melayu kini mesti mampu bersaing dan menghadapi realiti teknologi maklumat dan globalisasi. Sementara itu Melayu pula sudah pelbagai. Konservatif, liberal dan macam-macam lagi.

Pertama dilihat ialah pada tahun 1998, tetapi tidak ada siapa yang dapat menjangkakan bahawa transformasi berlaku pada tahun 2009. - Ihsan Zin Mahmood / MM

Sabtu, 20 Mac 2010

Kebebasan individu asas tamadun moden

Keterangan gambar: Genarasi pelapis kini berpeluang melanjut pengajian tanpa sekatan. Foto dirakam di boot Giat MARA semasa Karnival Pendidikan MARA 2010 yang diadakan di PWTC, minggu lalu.

ORANG Melayu moden menikmati kebebasan individu yang besar. Mereka bebas untuk menjalankan kehidupan masing-masing. Untuk memilih cara hidup bagaimana adalah terpulang pada individu masing-masing, mengikut citarasa sendiri.


Mereka bebas untuk mempercayai apa saja dan memiliki pendapat tentang apa jua. Kebebasan inilah yang dapat dinikmati dalam sebuah negara demokrasi dan liberal seperti Malaysia. Mereka juga bebas untuk memilih pekerjaan mereka.


Hendak belajar ilmu apa yang diminati. Bebas memilih pasangan mereka. Warganegara Malaysia bebas melakukannya dan hak mereka ini dijamin oleh undang-undang dan perlembagaan negara.


Tetapi masyarakat dan mereka yang berkuasa melakukan banyak perkara untuk mengongkong kebebasan ini atas nama kebaikan umum atau keharmonian bermasyarakat.


Jadi siapa yang kuat dan berpengaruh akan dapat menggubal peraturan dan undang-undang menurut citarasa pihak mereka, sementara yang lemah tidak ada jalan lain, hanya menuruti.


Konsep menghormati kebebasan individu tidak begitu dibanggakan di Malaysia, sebaliknya penekanan selalu dibuat mengenai kepentingan masyarakat, bangsa dan negara. Tidakkah yang akan bahagia di mana atas nama merekalah peraturan dan undang-undang itu dibuat adalah individu-individu?


Masyarakat, bangsa dan negara hanyalah konsep dalam minda, tetapi yang hakiki adalah individu setiap seseorang, yang menempuh segala penderitaan atau menikmati kebahagiaan sepanjang hidup mereka masing-masing.


Nikmat kebebasan individu ini hanya dikecapi oleh penduduk Malaysia selepas Perang Dunia Kedua. Pada zaman feudal, sebelum kedatangan pemikiran Barat, orang Melayu yang bilangannya jauh sedikit berbanding sekarang adalah menjadi rakyat kepada raja masing-masing.


Umumnya orang Melayu tinggal di kampung-kampung, sama ada di pesisiran pantai atau di tebing sungai. Bercucuk tanam dengan bersawah atau ke laut mencari ikan. Begitulah dunia mereka turun-temurun tanpa kesedaran mengenai sebarang tamadun yang mengubah dunia.


Mereka merupakan rakyat kepada penghulu masing-masing yang memberi taat setia sepenuhnya kepada raja yang memerintah kampung-kampung itu. Apabila raja memerlukan orang untuk berperang, maka anak-anak muda di kampung-kampung ini akan dikerah untuk mempertahankan negara dan takhta raja.


Hidup orang Melayu kebanyakannya adalah seperti itu. Tidak ada kebebasan individu kerana semua peraturan dan masa depan hidup masing-masing telah ditentukan oleh masyarakat. Ada antaranya yang cuba keluar dari kampung untuk merantau.


Ada yang menjadi saudagar. Ada pula yang berjaya merapatkan diri dengan istana dan berkhidmat di sana. Tetapi tentunya orang seperti ini amat segelintir sekali. Ada pula yang terpaksa menjadi hamba kerana hutang atau menjadi tawanan pertempuran. Begitulah hidup orang Melayu zaman feudal.


Apabila penjajah datang keadaan berubah, Portugis merosakkan perdagangan orang Melayu di Nusantara. Belanda menyusup masuk dan menakluki kekuasaan di Jawa dan Sumatera. Inggeris berjaya menguasai istana Raja-raja Melayu.


Hidup orang Melayu tidak banyak mengalami kemajuan. Kongkongan masyarakat kampung menguasai mereka dan membenam sebarang kebebasan individu.


Ada antara mereka belajar agama di sekolah-sekolah pondok yang sedikit sebanyak membebaskan minda mereka. Tetapi cara hidup beragam tradisional tentunya menyekat sebarang kebebasan individu.


Menjelang Perang Dunia Kedua, ada segelintir orang Melayu diberi pelajaran oleh penjajah untuk kepentingan imperial mereka. Kesedaran mula meresap dan timbullah gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang mahu memerdekakan orang Melayu.


Bukan saja memerdekakan negara tetapi tidak kurang penting membebaskan minda, serta individu diberikan kebebasan untuk memilih cara hidup masing-masing. Jepun datang dalam Perang Dunia Kedua dengan menjanjikan kemerdekaan daripada penjajahan Barat.


Perkesemakmuran Asia Timur Raya adalah untuk menjadikan Asia untuk orang Asia. KMM teruja dengan fahaman ini dan memihak kepada Jepun untuk menyingkirkan Britain dari Tanah Melayu.


Tapi Jepun ketika itu, seperti Jerman dan Itali adalah negara fasis yang empayarnya bertujuan untuk memperhambakan bangsa-bangsa lain bagi berkhidmat untuk Maharaja Jepun yang dianggap Tuhan.


Orang Jepun sendiri tidak ada kebebasan individu, mereka semua adalah hamba kepada maharaja mereka. Ternyata pemerintahan Jepun mendatangkan kesengsaraan dan penderitaan yang amat sangat kepada penduduk Malaya.


Semuanya terkongkong di bawah pedang Samurai. Apabila Jepun kalah, Britain kembali dengan gagasan Malayan Union.


Tujuannya adalah untuk menjadikan Tanah Melayu tanah jajahan Britain. Tidak ada kemerdekaan, hanya penjajahan yang berterusan. kebebasan individu hanya dalam kerangka sebagai tanah jajahan British menurut undang-undang mereka.


Pada masa yang sama komunis pula mewujudkan sebuah negara yang mengongkong kebebasan individu. Tetapi British menentang komunis bukanlah kerana perkara ini tetapi atas sebab menjaga kepentingan ekonomi mereka.


Malayan Union ditentang oleh orang Melayu kerana ia memansuhkan kedaulatan orang Melayu terhadap tanah air mereka. Dengan mengambil kira ancaman komunis dan tuntutan orang Melayu, Britain mendapatkan jalan tengah dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.


Perlembagaan baru itu pertama kali membawa orang Melayu ke dalam dunia moden, meninggalkan feudalisme dan kolonialisme. Kebebasan individu diiktiraf untuk warga kepada sebuah negara liberal dan demokratik.


Ini kerana asas tamadun moden ialah kebebasan individu untuk menentukan cara hidupnya.

Khamis, 25 Februari 2010

Apakah tanda utama di mana sebuah negara boleh dianggap sudah menjadi negara maju


ADALAH apabila negara itu mencapai tahap negara berpendapatan tinggi? Atau negara yang mempunyai bangunan-bangunan pencakar langit? Atau negara yang mempunyai lebuh raya berselirat di seluruh wilayahnya? Atau negara yang mempunyai universiti hebat?

Bagi penulis ini, tanda utama sesebuah negara sudah mencapai tahap maju ialah kemampuannya untuk menyediakan pengangkutan awam kepada rakyatnya. Khususnya bagi mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah.

Pengangkutan awam yang cekap mesti dapat dilihat di bandar-bandar besar negara-negara maju, paling utama di ibu kota. Usaha menyediakan pengangkutan awam yang cekap, murah dan selamat merupakan cabaran besar kepada mana-mana negara.

Ia menguji bukan saja kemampuan ekonomi, perancangan sesebuah negara tetapi lebih penting lagi ialah keprihatinan terhadap golongan sederhana dan rendah yang terpaksa berulang alik menggunakan kenderaan awam.

Apabila disebut pengangkutan awam, tentunya ia merujuk kepada keretapi transit laju ringan (LRT), bas dan teksi.

Malangnya bagi mengatur sistem rangkaian pengangkutan awam di bandar-bandar memerlukan keupayaan menyelesaikan pelbagai masalah serta isu yang berkait serta berangkai-rangkai melibatkan pelbagai pihak berkuasa dalam sesebuah negara.

Orang biasa dan kebanyakan khususnya mereka yang menjadi pengguna pengangkutan awam dengan berlatarkan pendapatan sederhana dan rendah bukan saja tidak mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi mereka sendiri tidak memiliki kuasa.

Bagaimanapun , apa yang mereka boleh lakukan hanya mengeluh dan menyumpah-nyumpah pihak berkuasa apabila mereka terpaksa sampai ke tempat kerja lewat dengan berasak-asak berada dalam komuter kerana gerabak yang tidak cukup.

Terpaksa bangun awal pagi dan balik lewat kerana pengangkutan awam yang tidak cekap ini.

Sedangkan mereka yang mempunyai kuasa dan mempunyai tanggungjawab dalam menyelesaikan masalah pengangkutan awam baik secara keseluruhan atau sebahagiannya adalah terdiri daripada mereka yang tidak menggunakan pengangkutan awam.

Tentunya mereka yang mempunyai kuasa melalui jawatan-jawatan yang dipertanggungjawabkan baik berupa politik mahupun perkhidmatan awam di samping birokrat dan teknokrat adalah golongan yang berpendapatan sederhana tinggi, kalau tidak pun tinggi.

Dengan pelajaran yang tinggi lebih-lebih lagi mempunyai pendedahan kepada sistem pengangkutan awam di negara-negara maju tentunya mereka mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Tetapi tentunya golongan ini mempunyai kenderaan sendiri, malah memiliki pemandu sendiri, dan tidak akan berasakan kesusahan yang ditanggung oleh orang ramai yang terpaksa menggunakan pengangkutan awam.

Sememangnya kini di negara ini, banyak warga asing yang menggunakan pengangkutan awam. Apatah lagi golongan seperti mereka yang tidak akan mengadu atau mengenakan desakan supaya sistem pengangkutan awam di negara ini diperbaiki.

Tetapi suara warganegara Malaysia sendiri yang mendesak supaya langkah segera baik berupa jangka pendak dan jangka panjang terhadap pengangkutan awam juga tidak kuat kedengaran.

Tidak terdapat badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhususnkan perjuangan mereka untuk memperbaiki pengangkutan awam. Persatuan-persatuan pengguna di negara ini mempunyai pelbagai agenda dan dalam keadaan ini, isu pengangkutan awam pasti tenggelam.

Tetapi ada sebuah NGO yang khusus memperjuangkan pembaikan pengangkutan awam di Malaysia. Bernama Transit Malaysia, yang tujuannya adalah untuk memberi suara kepada pengguna pengangkutan awam.

Bagaimanapun, ia belum menjadi kumpulan pendesak yang berkesan.

Bukanlah tidak ada kemajuan sejak 10 dan 20 tahun lalu dalam hal pengangkutan awam. Daripada usaha memperkenalkan bas mini, yang muncul dalam pelbagai bentuk, kemudian disusun semula sistem bas di Lembah Klang dengan pelbagai cara.

Antaranya penggunaan laluan bas khsusunya mereka. Begitu juga dengan usaha memperkenalkan Komuter dan LRT. Banyak kemajuan tetapi bukan saja tidak cukup, pengguna pengangkutan awam masih tidak dapat menikmati perkhidmatan secara cekap dan berkesan.

Mengapa aktivisme bagi memperjuangkan penggunaan pengangkutan awam yang cekap dan berkesan tidak sampai pada tahap yang dapat merobah terus suasana perjalanan di negara ini?

Para pengguna pengangkutan awam umumnya akan sampai ke satu peringkat kehidupan di mana mereka akan menukar cara hidup kepada menggunakan pengangkutan persendirian.

Apabila sudah menggunakan kereta, maka lambat laun mereka akan lupa tentang kesengsaraan yang dilalui oleh orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam.

Sedangkan golongan pengguna pengangkutan awam adalah daripada kalangan majoriti. Tetapi yang menentukan nasib mereka dalam kehidupan selesaan untuk pergi ulang alik bekerja berada pada tangan golongan minoriti yang tidak menggunakan pengangkutan awam.

Sedangkan kesenangan dan kekayaan yang dinikmati serta dimiliki oleh golongan minoriti ini adalah amanah untuk turut membela dan menyeratakan kemakmuran negara pada golongan majoriti yang sememangnya berpendapatan sederhana dan rendah.

Justeru, mereka yang memandu kereta-kereta indah di lebuh-lebuh raya negara yang terbentang panjang mesti tidak saja merunggut mengenai kesesakan lalu lintas yang menyukarkan mereka untuk tempat kerja.

Tetapi pada waktu sama turut membantu menyelesaikan masalah pengangkutan awam lebih-lebih lagi jika ia memiliki kuasa dan pengaruh dalam bidang itu. - Oleh Zin Mahmud

Rabu, 17 Februari 2010

Ngaum bergaung cakar berbisa....

Keterangan gambar: Aksi harimau belang di Zoo. Semakin cerdik dan akur arahan manusia...

JENIS harimau apakah yang dijadikan haiwan dalam zodiak Cina sempena Tahun Baru? Adakah harimau China atau tidak kira jenis harimau mana? Kalau ada Harimau China, tidakkah patut ada Harimau Melayu.

Atau Harimau Malaya. Atau Harimau Malaysia. Tidakkah patut harimau yang dirujukkan sebagai haiwan dalam zodiak China ialah pada mana-mana harimau dan tidak semestinya Harimau China.

Atau bagi penduduk Malaysia yang menyambut Tahun Baru Cina, rujukan harimaunya wajar kepada harimau tempatan, iaitu Harimau Malaya atau Harimau Malaysia.

Oleh kerana Tahun Baru Cina merupakan perayaan tradisi kebudayaan China, maka sudah tentu rujukannya adalah Harimau China. Maka daripada lukisan tradisi China yang digandingkan dengan tulisan kaligrafi mereka, harimau yang dipaparkan adalah Harimau China.

Harimau adalah daripada keluarga Mamalia Felidae. Genusnya ialah panthera dan spesies dinamakan sebagai Panthera tigris.

Terdapat lima subspesies harimau, walaupun ada antaranya diancam kepupusan. Sementara tiga subspesies lagi sudah pupus.

Subspesies harimau yang boleh dikatakan sebagai Harimau China ialah Panthera tigris amoyensis dan Panthera tigris altaica.

Panthera tigris amoyensis adalah harimau yang tinggal di sekitar China selatan. Ia dilinduingi oleh pemerintah China kerana diancam kepupusan. Harimau ini dinamakan Harimau China Selatan. Namun begitu, ia juga dikenali sebagai harimau Amoy atau harimau Xiamen.

Sementara Panthera tigris altaica adalah Harimau China yang tinggal di sebelah utara. Ia dinamakan sebagai Harimau Siberia. Tetapi ia juga dikenali sebagai Harimau Amur, Harimau Manchuria, Harimau Altai, Harimau Korea atau Harimau China Utara.

Maka kedua-dua Harimau China Selatan dan Harimau China Utara inilah yang boleh dianggap sebagai Harimau China dan menjadi rujukan sebagai haiwan bagi zodiak kalendar China.

Namun begitu, walaupun namanya Harimau China Utara, ia sudah tidak kelihatan di negara itu. Kehadirannya hanya dikesan di Siberia iaitu dalam Rusia. Maka dalam keadaan begini, apa yang disebut sebagai Harimau China hanyalah patut merujuk kepada Harimau China Selatan.

Tetapi sistem takwim China dengan zodiak haiwan walaupun muncul daripada kebudyaaan China, tetapi ia tidak hanya dirayakan oleh orang China dan keturunan mereka. Tahun Baru China turut dirayakan di Asia Tenggara yang banyak penduduk keturunan China.

Namun begitu, Sistem zodiak dan takwim China ini dipakai dan diserap ke dalam kebudayaan beberapa bangsa bukan China iaitu Korea, Mongolia, Vietnam dan Jepun.

Bangsa-bangsa ini turut menjadikan kalendar China sebagai sebahagian daripada kebudayaan mereka. Maka tentunya zodiak haiwan itu turut diambil kira oleh mereka.

Tidak ada harimau yang dikesan di Jepun. Sementara Harimau di Korea dan Mongolia dipercayai merujuk kepada Harimau Siberia yang kini sudah tidak ada di negara-negara itu. Tetapi Vietnam mempunyai harimau yang dikenali sebagai Harimau Indochina.

Dengan nama subspesiesnya Panthera tigris corbetti. Ia berada di kawasan Indochina iaitu Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand dan Myanmar. Ia juga ada kalanya dikesan di China.

Maka apabila Vietnam menyambut Tahun Baru, maka harimau yang menjadi rujukannya ialah Harimau Indochina ini.

Tetapi bagi dunia Barat, apabila disebut harimau, sering kali rujukannya adalah Harimau Benggala atau dikenali sebagai Royal Bengal Tiger yang banyak terdapat di India. Oleh kerana Britain pernah menjajah India, maka harimau inilah yang menjadi rujukan dunia Barat.

Subspesies yang dikenali sebagai Panthera tigris tigris ini adalah yang paling banyak ada di dunia.

Walaupun India mempunyai harimau paling banyak dan China menjadikan harimau sebagai salah satu daripada haiwan zodiaknya tetapi hanya Malaysia yang menjadikan harimau sebagai haiwan nasional.

Ini kerana hanya Malaysia yang menjadikan dua ekor harimau sebagai sebahagian daripada jata negara.

Sememangnya harimau begitu rapat dengan psiki orang Melayu. Harimau yang ada di Malaysia ini dinamakan Harimau Malaya dengan nama subspesiesnya ialah Panthera tigris jacksoni.

Inilah sebenarnya Harimau Melayu dan atas sebab itu ketika merekabentuk jata negeri bagi Johor maka dipilihnya harimau sebagai haiwan untuk melambangkan negeri.

Johor merupakan negeri pertama yang mempunyai jati negeri sendiri di Tanah Melayu untuk menunjukkan bahawa ia sebuah negeri berdaulat ketika mula Britain mengukuhkan kekuasaannya ke atas negeri-negeri Melayu.

Warna belang harimau iaitu kuning dan hitam juga dijadikan warna negeri-negeri Perak dan Negeri Sembilan. Maka warna ini juga merupakan latar kepada Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) yang ditaja penjajah Britain.

Untuk menunjukkan lagi kepentingan harimau, pihak berkuasa Britain menjadinya lambang Keretapi Tanah Melayu. Pengangkutan keretapi merupakan sistem penting dalam mengukuhkan penjajahan dan pentadbiran British ke atas negeri-negeri Melayu.

Harimau juga dijadikan lambang Malayan Film Unit pada tahun 1946. Unit ini sekarang menjadi Filem Negara Malaysia. Dengan adanya lambang harimau, ia meletakkan kepentingan kedua-dua institusi itu dalam kehidupan bernegara Malaysia.

Maka apabila Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan, maka sudah tentu dua ekor harimau dipilih sebagai lambang pada jata negara. Begitu juga dengan Malaysia apabila ia dibentuk.

Singapura pula mengambil seekor harimau untuk diletakkan pada jata negaranya bagi melambangkan hubungan pulau itu dengan Malaya.

Walaupun apa jua kepercayaan orang Cina terhadap Tahun Harimau, tetapi bagi negara yang menjadikan harimau sebagai lambangnya, maka tahun harimau adalah tahun Malaysia.

Seperti kata Balai Seni Lukis Negara dalam kad Tahun Baru Cinanya: Ngaum bergaung, cakar berbisa, menang bertarung, lintas terasa... itulah Resam Harimau. - Oleh Zin Mahmood (MM)

Selasa, 16 Februari 2010

Billionier Melayu No 7 Terkaya di Malaysia


Keterangan gambar: Tan Sri Syed Mokhtar bersama isteri tersayang, Puan Sri Sharifah Zarah Al-Bukhary di majlis penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negara.

TAHNIAH
kepada Tan Sri Syed Mokhtar Shah Bin Syed Nor Al-Bukhary, 58, pengasas Al-Bukhary Foundation kerana menjadi Melayu tunggal di dalam senarai sepuluh billionier di negara ini.

Dengan aset yang dimilikinya sebanyak RM6.01 billion, meletakkan nama anak kelahiran Alor Setar, Kedah Darul Aman ini di kedudukan ketujuh (No.7) di bawah billionier Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group.

Sebelum ini, Tan Sri Syed Mokhar hanya memiliki RM4 billion tetapi hari ini, asetnya meningkat kepada RM6.01 billion. Ramai yang tahu beliau seorang hamba Allah yang peramah lagi pemurah dan sentiasa menolong sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit dan keturunan. Alhamdulillah, kepadaNya di panjatkan kesyukuran Tuhan Yang Maha Kaya lagi Maha Pemberi.

Info senarai sepuluh billionier disiar dan dipetik dari laman sesawang mStar.online. com

Persoalannya, mana lagi anak-anak Melayu di dalam dan luar negara yang bergelar billionier selain Tan Sri Syed Mokhtar di negara ini? Takkan hanya beliau seorang sahaja? Musykil...

Disiarkan senarai billionier yang boleh dijadikan suntikan semangat menjejaki kejayaan yang mereka sedang menikmatinya kini.

Senarai 10 individu billionier Malaysia

1) Tan Sri Robert Kuok Hock Nien (Kerry Group/Kuok Group) RM42.76 bilion

2) Tan Sri T. Ananda Krishnan (Usaha Tegas) RM27b

3) Tan Sri Lee Shin Cheng (IOI Group) RM11.92b

4) Tan Sri Teh Hong Piow (Public Bank) RM10.86b

5) Tan Sri Lim Kok Thay (Genting Group) RM10.38b

6) Tan Sri Quek Leng Chan (Hong Leong Group) RM7.09b

7) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary (Al-Bukhary Foundation) RM6.01b

8) Puan Sri Lee Kim Hua (Genting Group) RM4.4b

9) Tan Sri Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau) RM3.5b

10) Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group) RM3.2b

Ahad, 14 Februari 2010

Direktori 5, 800 Masjid Malaysia Dilancarkan


Keterangan gambar: Mahmud Zuhdi Zainudin, penulis dan penerbit Malaysian Mosques menunjukan buku yang dihasilkan.


RAMAI pengunjung menunjukkan minat mereka kepada buku ini dan ada di antara pembeli memberitahu bahawa mereka berminat untuk membeli buku edisi antarabangsanya. Malah kita juga sudah berbincang dengan pembeli-pembeli dari Turki, Emeriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan beberapa buah negara lain.

Mengejutkan juga bila negara yang majoritinya beragama Buddha seperti Jepun turut berminat dengan buku mengenai masjid-masjid di negara kita ini. (Petikan Bernama bertarikh 19 Oktober 2009)

Itulah ulasan cukup memberangsangkan daripada Pengurus Projek Seleksi Angsana Sdn. Bhd., Farah Azrin Zumdi mengenai sambutan yang diterima sewaktu mempromosikan buku berjudul, Malaysian Mosques pada Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, Jerman yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.

Tentu ramai daripada kita tertanya-tanya apakah keistimewaan yang terdapat pada buku berkulit keras setebal 439 muka surat ini sehingga mendapat sambutan sehangat itu bukan?

Jawapannya ada pada Pengarah Seleksi Angsana Sdn. Bhd., pengendali portal www.mosques.com.my, Mahmud Zuhdi Zainudin yang juga merupakan penulis dan penerbit buku tersebut.

Menurut Mahmud Zuhdi, 61, idea penghasilan karya ini adalah rentetan daripada usaha bersungguh-sungguh dalam mengumpulkan bahan-bahan berkaitan masjid dari segi asal usul, sejarah, reka bentuk, seni bina dan banyak lagi. Sehinggalah terbinanya portal www.mosques.com.my.

Katanya lagi, portal ini bukan sahaja mengetengahkan masjid-masjid yang terdapat di seluruh Malaysia, Sabah dan Sarawak tetapi juga masjid-masjid besar yang terdapat di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Brunei.

"Berbalik kepada buku, Malaysian Mosques, hasrat menghasilkan buku ini sebenarnya bertitik-tolak daripada portal tadi. Saya banyak menerima cadangan agar dibuatkan dalam bentuk buku.

"Jadi, dari situlah digerakan usaha ke arah penghasilan sebuah buku sehinggalah terhasil naskhah yang disampaikan dengan gaya buku coffee-table. Masjid Negara menduduki tangga teratas sebelum diikuti masjid-masjid besar lain yang disusun mengikut kategori; negeri dan daerah. Ia umpama satu direktori yang komprehensif mengenai masjid di seluruh Malaysia.

"Usaha mengumpulkan maklumat tentang masjid mula terdetik apabila pada suatu hari saya pergi ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Zuhur. Sedang saya mengambil wuduk, saya lihat keadaan masjid tersebut cukup daif dan perlu dibantu.

"Sebenarnya, ini bukanlah suasana yang luar biasa kerana boleh dikatakan banyak masjid yang pernah saya pergi berkeadaan serupa. Jadi, saya mula terfikir sejenak bagaimana boleh saya membantu, agar masjid kita ini tidak dilabel dengan sesuatu yang negatif.

"Maka dari situlah, saya mula mengumpul bahan-bahan berkaitan masjid menerusi penyelidikan yang lengkap dan menyeluruh. Dengan harapan, menimbulkan keinginan kepada pengunjung tempatan mahupun antarabangsa untuk melawat ataupun jika ada segelintir orang perseorangan atau syarikat yang mahu menghulurkan sumbangan, mereka boleh terus menghubungi pihak masjid tanpa perlu melalui sebarang kepayahan terutamanya dari segi birokrasi," kata Mahmud Zuhdi.

Tambahnya, buku yang pertamanya di Malaysia ini dan dijual pada harga RM150 mengetengahkan sebanyak lebih kurang 5,800 buah masjid. Ia ditampilkan secara menarik dengan disokong bantuan gambar berwarna serta fakta-fakta yang lengkap mengenai masjid serta alamat dan talian telefon untuk memudahkan perhubungan.

"Hakikatnya, Malaysia ialah sebuah negara yang paling unik di dunia. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dan bersyukur dengan keunikan yang dimiliki ini. Meskipun mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa tetapi kita masih boleh hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

"Itu tidak termasuk keunikan dari segi adat budaya, kepelbagaian tradisi bangsa, kemeriahan makanan dan satu keistimewaan yang tidak dapat dinafikan ialah tentang masjid-masjid di sini.

"Boleh dikatakan, setiap negeri mempunyai ciri dan reka bentuk masjidnya yang tersendiri. Contohnya, di Melaka, kita dapat lihatnya masjidnya berbentuk pagoda yang dipengaruhi daripada tradisi negara China.

"Begitu juga masjid-masjid di Johor yang berciri seperti kolonial British, manakala Kedah pula dengan pengaruh Moorish," jelas Mahmud Zuhdi yang mensasarkan satu masjid satu buku, di samping mempromosikan kepada masyarakat tempatan dan para pelancong.

Terangnya lagi, buku ini juga mengandungi maklumat mengenai Malaysia secara umum diikuti negeri dan daerah.

Buku Malaysian Mosques adalah buku berguna kepada mereka yang berminat sama ada untuk tujuan mengkaji atau simpanan peribadi serta pelancong yang melawat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut pembaca boleh melayari www.mosques.com.my. - Oleh ZUARIDA MOHYIN

Rabu, 3 Februari 2010

Shamsul Azhar CEO Petronas ganti Hassan Merican



PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Shamsul Azhar Abbas (gambar) sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas berkuat kuasa Rabu depan menggantikan Tan Sri Mohd Hassan Merican yang tamat kontrak perkhidmatannya sehari sebelum itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib menyebut, Shamsul Azhar, 57 turut dilantik memangku jawatan Pengerusi Lembaga Petronas.

"Kerajaan mengucapkan terima kasih atas sumbangan besar Tan Sri Mohd Hassan kepada negara dan industri petroleum, selaku Pemangku Presiden, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas sejak tahun 1995," katanya di sini hari ini.

Mohd Hassan mula berkhidmat dengan syarikat minyak negara itu sejak tahun 1989 sebagai Naib Presiden Kanan Kewangan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 1995.

Beliau kemudiannya menyandang sebagai Pemangku Pengerusi pada tahun 2004 hingga sekarang.

Shamsul Azhar adalah bekas Pengarah Urusan MISC Berhad (MISC) yang merupakan syarikat perkapalan terkemuka yang dimiliki Petronas telah bersara daripada jawatan itu pada Januari lalu.

Beliau merupakan antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Mohd Hassan selain Pengerusi Petronas Dagangan Bhd., Datuk Anuar Ahmad dan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd., Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

"Semasa tempoh perkhidmatan Mohd Hassan, Petronas telah diiktiraf sebagai sebuah syarikat berprestasi tinggi yang mendapat penarafan sebagai satu-satunya syarikat Fortunate 500 di negara ini.

"Beliau juga telah berjaya membawa Petronas ke pasaran luar negara dan dapat bersaing dengan syarikat minyak gergasi yang lain," kata Najib lagi.

Dengan pengalaman yang luas ini, Perdana Menteri berharap Mohd. Hassan akan terus menyumbang pengetahuan dan pengalaman beliau kepada pembangunan negara terutamanya dalam bidang tenaga.

-----------------------------------------------------------------


MISC CEO Datuk Shamsul Azhar Abbas

The Most Competitive Bumiputra CEO in Malaysia 2005

Category:Government Link Company (GLC)


Aged 58, is the President / Chief Executive Officer of MISC Berhad (formerly known as Malaysia International Shipping Corporation Berhad).


He sits on the Board of MISC and is the Chairman on the Boards of MISCÂ?s major subsidiaries and associate companies. He is also the Chairman of PETRONAS Maritime Services Sdn Bhd and a Director on the Boards of Bintulu Port Holdings Berhad and NCB Holdings Bhd.


DatoÂ? Shamsul Azhar bin Abbas holds a degree in Political Science from Science University of Malaysia, a Masters of Science Degree (MSc.) in Energy Management from University of Pennsylvania, USA and a Technical Diploma in Petroleum Economics from Institute Francaise du Petrole (IFP), France.


He joined PETRONAS in 1975 and has held various senior management positions in PETRONAS including Vice President, Petrochemical Business, Vice President, Oil Business, Vice President, Exploration and Production Business and Vice President, Logistics & Maritime Business.


On 1 July 2004, he was appointed as the Managing Director/Chief Executive Officer of MISC. He is also currently a member of the PETRONAS Management Committee.


MISC Bhd rank as the highest net profit company in Malaysia by Malaysian Business on it 16 October 2005 issue. It rank the second highest return on turnover by Malaysian Business after PLUS Expressways Bhd.


MISC record a profit of RM4.8billion for the year ended March 31,2005, more than double RM.3billion made the year before.