Ahad, 14 Februari 2010

Direktori 5, 800 Masjid Malaysia Dilancarkan


Keterangan gambar: Mahmud Zuhdi Zainudin, penulis dan penerbit Malaysian Mosques menunjukan buku yang dihasilkan.


RAMAI pengunjung menunjukkan minat mereka kepada buku ini dan ada di antara pembeli memberitahu bahawa mereka berminat untuk membeli buku edisi antarabangsanya. Malah kita juga sudah berbincang dengan pembeli-pembeli dari Turki, Emeriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan beberapa buah negara lain.

Mengejutkan juga bila negara yang majoritinya beragama Buddha seperti Jepun turut berminat dengan buku mengenai masjid-masjid di negara kita ini. (Petikan Bernama bertarikh 19 Oktober 2009)

Itulah ulasan cukup memberangsangkan daripada Pengurus Projek Seleksi Angsana Sdn. Bhd., Farah Azrin Zumdi mengenai sambutan yang diterima sewaktu mempromosikan buku berjudul, Malaysian Mosques pada Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, Jerman yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.

Tentu ramai daripada kita tertanya-tanya apakah keistimewaan yang terdapat pada buku berkulit keras setebal 439 muka surat ini sehingga mendapat sambutan sehangat itu bukan?

Jawapannya ada pada Pengarah Seleksi Angsana Sdn. Bhd., pengendali portal www.mosques.com.my, Mahmud Zuhdi Zainudin yang juga merupakan penulis dan penerbit buku tersebut.

Menurut Mahmud Zuhdi, 61, idea penghasilan karya ini adalah rentetan daripada usaha bersungguh-sungguh dalam mengumpulkan bahan-bahan berkaitan masjid dari segi asal usul, sejarah, reka bentuk, seni bina dan banyak lagi. Sehinggalah terbinanya portal www.mosques.com.my.

Katanya lagi, portal ini bukan sahaja mengetengahkan masjid-masjid yang terdapat di seluruh Malaysia, Sabah dan Sarawak tetapi juga masjid-masjid besar yang terdapat di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Brunei.

"Berbalik kepada buku, Malaysian Mosques, hasrat menghasilkan buku ini sebenarnya bertitik-tolak daripada portal tadi. Saya banyak menerima cadangan agar dibuatkan dalam bentuk buku.

"Jadi, dari situlah digerakan usaha ke arah penghasilan sebuah buku sehinggalah terhasil naskhah yang disampaikan dengan gaya buku coffee-table. Masjid Negara menduduki tangga teratas sebelum diikuti masjid-masjid besar lain yang disusun mengikut kategori; negeri dan daerah. Ia umpama satu direktori yang komprehensif mengenai masjid di seluruh Malaysia.

"Usaha mengumpulkan maklumat tentang masjid mula terdetik apabila pada suatu hari saya pergi ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Zuhur. Sedang saya mengambil wuduk, saya lihat keadaan masjid tersebut cukup daif dan perlu dibantu.

"Sebenarnya, ini bukanlah suasana yang luar biasa kerana boleh dikatakan banyak masjid yang pernah saya pergi berkeadaan serupa. Jadi, saya mula terfikir sejenak bagaimana boleh saya membantu, agar masjid kita ini tidak dilabel dengan sesuatu yang negatif.

"Maka dari situlah, saya mula mengumpul bahan-bahan berkaitan masjid menerusi penyelidikan yang lengkap dan menyeluruh. Dengan harapan, menimbulkan keinginan kepada pengunjung tempatan mahupun antarabangsa untuk melawat ataupun jika ada segelintir orang perseorangan atau syarikat yang mahu menghulurkan sumbangan, mereka boleh terus menghubungi pihak masjid tanpa perlu melalui sebarang kepayahan terutamanya dari segi birokrasi," kata Mahmud Zuhdi.

Tambahnya, buku yang pertamanya di Malaysia ini dan dijual pada harga RM150 mengetengahkan sebanyak lebih kurang 5,800 buah masjid. Ia ditampilkan secara menarik dengan disokong bantuan gambar berwarna serta fakta-fakta yang lengkap mengenai masjid serta alamat dan talian telefon untuk memudahkan perhubungan.

"Hakikatnya, Malaysia ialah sebuah negara yang paling unik di dunia. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dan bersyukur dengan keunikan yang dimiliki ini. Meskipun mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa tetapi kita masih boleh hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

"Itu tidak termasuk keunikan dari segi adat budaya, kepelbagaian tradisi bangsa, kemeriahan makanan dan satu keistimewaan yang tidak dapat dinafikan ialah tentang masjid-masjid di sini.

"Boleh dikatakan, setiap negeri mempunyai ciri dan reka bentuk masjidnya yang tersendiri. Contohnya, di Melaka, kita dapat lihatnya masjidnya berbentuk pagoda yang dipengaruhi daripada tradisi negara China.

"Begitu juga masjid-masjid di Johor yang berciri seperti kolonial British, manakala Kedah pula dengan pengaruh Moorish," jelas Mahmud Zuhdi yang mensasarkan satu masjid satu buku, di samping mempromosikan kepada masyarakat tempatan dan para pelancong.

Terangnya lagi, buku ini juga mengandungi maklumat mengenai Malaysia secara umum diikuti negeri dan daerah.

Buku Malaysian Mosques adalah buku berguna kepada mereka yang berminat sama ada untuk tujuan mengkaji atau simpanan peribadi serta pelancong yang melawat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut pembaca boleh melayari www.mosques.com.my. - Oleh ZUARIDA MOHYIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan