Ahad, 29 November 2009

Renungan!

Apa ada pada 2012

Oleh Zin Mahmud

PADA November 2004 di Los Angeles, Amerika Syarikat dalam satu program, penulis diperkenalkan pada sepasang warga emas pesara akademik. Selepas makan malam, bekas profesor Universiti California di Los Angeles (UCLA) itu menunjukkan ruang-ruang dalam rumahnya.

Dalam persaraannya hobi beliau ialah mengkaji dan mengumpul bahan sejarah daripada tamadun Maya yang terletak di Amerika Selatan. Beliau menunjukkan tulisan-tulisan kaum Maya yang amat teliti terhadap kajian pergerakan bintang-bintang.

Rupa-rupanya ahli falak Maya berjaya meramalkan gerhana bulan dan mata hari serta perjalanan bintang-bintang hampir tepat seperti mana yang disahkan oleh kajian moden.

Maya sememangnya suatu tamadun penuh misteri dan kalendar kaum itu didapati sofistikated, yang anehnya takwimnya terhenti pada tahun 2012. Warga emas di Los Angeles itu menarik minat penulis untuk membaca bahan-bahan mengenai Maya, dan sememangnya ia mengkagumkan.

Setelah melupakan perkara ini untuk lima tahun, tiba-tiba pada Julai 2009, penulis dapati banyak buku-buku bukan fiksyen yang menceritakan mengenai Maya serta terhentinya kalendar mereka pada tahun 2012.

Walaupun kajian Maya berasaskan kepada sejarah, sains, astronomi dan anthropologi tetapi imaginasi manusia tidak mahu dikongkong dengan fakta rasional. Minda manusia juga disaluti dengan keupayaan untuk bergiat dalam agama, seni dan misteri.

Maka timbullah saranan bahawa terhentinya kalendar Maya pada tahun 2012, lebih tepat lagi, 21 Disember 2012, bermakna itulah tarikh kiamat. Cukup dengan saranan ini, maka ia meligatkan otak para seniman untuk menghasilkan cerita-cerita berhubung kiamat pada tarikh itu.

Tentulah kisah ini tidak terlepas daripada pandangan Hollywood. Lebih-lebih lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini Hollywood gemar menerbitkan filem-filem mengenai bencana alam yang besar-besar. Daripada bumi yang dilanggar bintang berekor (komet), tahi bintang (meteor), gunung berapi raksasa (supervolkano) dan pelbagai lagi.

Dua peristiwa iaitu serangan 11 September 2003 dan tsunami 2004 mengukuhkan lagi rasa bimbang dunia, khususnya Barat mengenai bencana alam ini.

Ada ahli psikologi menyatakan bahawa obsesi manusia khususnya orang Amerika terhadap bencana besar ini adalah merupakan cerminan minda mereka yang mahu sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan bencana besar-besaran.

Tetapi bukan saja Amerika, manusia secara umumnya mempunyai banyak kisah-kisah purba yang diwarisi mengenai bencana alam yang besar-besar. Dalam agama Asia Barat, baik Yahudi, Kristian dan Islam, ia ditandai dengan kisah-kisah bencana. Umpamanya Qarun ditelan bumi, kaum Nabi Lut yang musnah dan paling popular ialah kisah Nabi Nuh dan banjir besar.

Kisah Nabi Nuh dikesan paling awal dalam kitab Gilgamesh dalam tamadun Sumeria. Banjir besar inilah yang dijadikan asas kepada filem 2012 terbitan Hollywood dan telah pun ditayangkan di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan