Rabu, 10 Jun 2009

Berita & Bisnes!


Felda Labur RM110 Juta Kendali Hotel Di Arab Saudi
KUALA LUMPUR: - Kumpulan Felda telah melabur RM110 juta untuk mengendalikan sebuah hotel dan restoran di Makkah, Arab Saudi, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Anak syarikatnya -- Felda Global Ventures Middle East Sdn Bhd dan Felda D'Saji Sdn Bhd -- telah bersama-sama menubuhkan FGV Arabia Ltd untuk memajak tiga tingkat daripada Menara Safwa setinggi 20 tingkat selama 20 tahun untuk menguruskan hotel 54 bilik dan restoran, yang dijangka beroperasi menjelang awal tahun depan.
"Ini ialah restoran kami yang pertama di luar Malaysia. Kami merancang untuk mengembangkan operasi ke wilayah lain di Arab Saudi kemudian kelak," kata Mohd Yusof kepada pemberita selepas Felda menerima lesen pelaburan untuk menubuhkan sebuah syarikat milik asing 100 peratus di Arab Saudi.
"Selepas memperbaharui undang-undang pelaburan langsung asingnya dengan pelancaran Bandaraya Ekonominya yang baru, kami menganggap Arab Saudi sebagai lokasi perdana, cerah dan strategik bagi melaksanakan strategi pelaburan Felda di Asia Barat," katanya.
Lesen itu, diberikan oleh Saudi Arabia General Investment Authority (SAGIA), membenarkan FGV Arabia terlibat dalam pembangunan hartanah, memiliki atau penyediakan perkhidmatan pengurusan bagi hotel, kompleks hotel dan restoran di negara itu.
Ditanya sama ada Felda akan mempertimbangkan aktiviti lain di sana, Mohd Yusof berkata kumpulan itu perlukan masa untuk mengkaji perkara itu.
Katanya Felda memutuskan mengenai usahaniaga hotel dan restoran di Arab Saudi disebabkan permintaan, terutamanya semasa musim haji.
Restoran itu, katanya akan menyajikan bukan sahaja makanan Malaysia tetapi juga juadah lain.
Pengarah Negara Bagi Asean SAGIA Meshari S. Al-Khaled berkata Felda ialah firma Malaysia yang pertama menerima lesen milik sendiri 100 peratus di Arab Saudi.
Beliau juga berkata bahawa Malaysia ialah pelabur keempat terbesar Arab Saudi selepas Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. (BERNAMA)

Bisnes!


MIHAS catat jualan RM3.01 billion
KUALA LUMPUR: - Pameran Halal Antarabangsa Ke-6 (Mihas 2009) terus menyokong keyakinan perniagaan dengan mencatatkan jualan berpotensi RM3.01 bilion.
Tahun lepas, jualan berpotensi berjumlah sebanyak RM2.20 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noharuddin Nordin, berkata daripada jumlah RM3.01 bilion jualan berpotensi itu, RM1.15 bilion dijangka daripada pameran dan RM1.86 bilion daripada misi belian yang baru diterima (IBM).
"Mihas tahun ini juga mencatatkan jualan segera bernilai RM226.4 juta, di mana RM26.1 juta daripada pameran dan baki daripada IBM," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.
Noharuddin berkata satu daripada alasan bagi prestasi kukuh tahun ini ialah peningkatan kesedaran tentang kepentingan produk dan perkhidmatan halal.
Pameran lima hari itu yang bermula dari 6-10 Mei, dianjurkan oleh Matrade dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia.
Noharuddin berkata Mihas tahun depan akan diadakan selama empat hari bermula 23 Jun.
Beliau berkata dengan pemulihan ekonomi global, jualan berpotensi tahun depan dijangka mencecah kira-kira RM3.5 bilion. (BERNAMA)

Berita!


OIC kutuk serangan ke atas masjid di Narathiwat
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) hari ini mengutuk sekeras-kerasnya kejadian serangan di sebuah masjid di Narathiwat, selatan Thailand malam Isnin lepas yang mengorbankan 11 orang termasuk imam serta mencederakan 19 orang lagi yang sedang bersolat.
Setiausaha Agung OIC Tan Sri Prof Ekmeleddin Ihsanoglu menyifatkan serangan itu sebagai yang paling dahsyat dalam siri serangan ke atas masjid dan tempat beribadah di selatan Thailand.
Beliau percaya serangan bersenjata itu dilakukan oleh kumpulan yang disokong oleh pihak tertentu dengan tujuan menakut-nakutkan umat Islam supaya berhenti daripada menuntut hak mereka.
"Saya menggesa kerajaan Thailand supaya menyiasat kejadian itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Kerajaan Thailand juga hendaklah mengambil langkah bagi memberi perlindungan ke atas nyawa dan harta benda umat Islam di selatan Thailand dan di seluruh negara itu daripada ancaman keganasan," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar ke Bernama Rabu dari pejabatnya di Jeddah, Arab Saudi.
Dalam kejadian itu enam lelaki bersenjatakan rifal automatik memasuki masjid Al-Furqan di daerah Cho-i-Rong, wilayah Narathiwat ketika waktu solat Isyak dan melepaskan tembakan ke arah jemaah menyebabkan 11 orang termasuk imam Wan Abdullah Wan Latif terbunuh dan 19 lagi cedera. (BERNAMA)

Bisnes!


Peluang melabur RM1.75 trilion di Arab Saudi
KUALA LUMPUR: - Arab Saudi menawarkan peluang pelaburan bernilai RM1.75 trilion (AS$500 bilion) untuk tempoh lima tahun akan datang kepada para pelabur tempatan di dalam pelbagai sektor.
Setiausaha Agung Dewan Perdagangan dan Industri Arab Saudi, Dr. Fahad Saleh A. AlSultan berkata, pelabur atau syarikat tempatan perlu merebut peluang tersebut kerana prospek untuk berkembang ke Negara-negara Teluk lain adalah cerah.
Ini kerana katanya, pelbagai sektor yang menawarkan peluang pelaburan itu adalah berkaitan dengan negara-negara Teluk lain seperti pendidikan, kesihatan, telekomunikasi, infrastruktur, pertanian dan landasan kereta api.
"Kami merasakan kepakaran yang ada di negara ini amat berguna untuk pembangunan di Arab Saudi. Kami memerlukan teknologi dan kepakaran anda," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Dr. Wong Lai Sum.
Menurut Fahad Saleh, perdagangan dua hala antara Arab Saudi dan Malaysia kini mencecah RM10.5 bilion (AS$3 bilion) dan menjangka nilai tersebut akan meningkat walaupun berdepan dengan krisis ekonomi global.
Katanya, ekonomi Arab Saudi tidak terjejas teruk oleh kelembapan ekonomi dunia malah peluang pelaburan tetap ada bagi Malaysia meningkatkan eksport ke negara itu.
"Ada banyak peluang dan ruang bagi kedua-dua negara khususnya Malaysia untuk meningkatkan dagangan dua hala," katanya.
Ujar Fahad Saleh, pihaknya berharap jumlah dagangan dua hala pada tahun ini akan meningkat sebanyak dua digit berbanding tahun lalu sekali gus mengeratkan lagi hubungan dua hala.
Keluaran Dalam Negara Kasar bagi Arab Saudi berkembang sebanyak 4.7 peratus tahun lepas dan pada tahun ini ia dijangka meningkat kepada 6.2 peratus.
Keteranga gambar: Wong Lai Sum (kanan) menerima kunjungan Fahad Saleh A. Alsultan di pejabatnya yang terletak di Menara Matrade, Kuala Lumpur, semalam.

Keterangan gambar: Wong Lai Sum (kanan) menerima kunjungan Fahad Saleh A. Alsultan di pejabatnya yang terletak di Menara Matrade, Kuala Lumpur, semalam.

Berita!

OIC Bincang Peranan Pasukan Pengaman Di Negara Islam
Oleh Muin Abdul Majid
DAMSYIK - Mesyuarat Menteri Luar negara Islam, yang bermula di sini Sabtu ini, akan membincangkan kertas konsep berkaitan peranan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada masa akan datang dalam memelihara keamanan, keselamatan dan usaha menyelesaikan konflik di negara anggotanya.
Kenyataan OIC berkata penyediaan kertas itu dibuat berasaskan andaian bahawa dunia Islam perlu mempunyai pasukan pengaman berikutan wujudnya pelbagai konflik di wilayah yang didiami umat Islam dan memandangkan negara anggota OIC, menghulurkan sumbangan paling banyak dalam membiayai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Sidang Ke-36 Majlis Menteri Luar (CFM) Negara Anggota OIC dari 23 hingga 25 Mei itu bertemakan "Memupuk Perpaduan Islam".
Malaysia akan diwakili Menteri Luar Datuk Anifah Aman.
Kenyataan itu berkata CFM akan membincangkan pelbagai isu politik, terutama sengketa Arab-Israel, perkembangan di bandar raya suci Al-Quds dan pencerobohan Israel di bumi Palestin.
Ia juga akan memberi tumpuan terhadap proses damai Timur Tengah dan keadaan semasa di Bukit Golan di Sysia, yang diduduki Israel, serta pendudukan berterusan Israel di wilayah Lubanan.
Para menteri yang mewakili 57 negara anggota OIC itu juga akan membincangkan isu politik utama lain seperti keadaan di Iraq, perkembangan di Somalia berikutan keadaan keamanan yang semakin buruk dan pertempuran sengit yang tercetus di luar ibu negara Somali, Mogadishu, baru-baru ini.
"Perkembangan membimbangkan di Sudan juga akan menjadi agenda penting mesyuarat ini," kata kenyataan itu sambil menambah bahawa para menteri luar berkenaan dijangka bersatu suara untuk menyokong langkah Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengambil tindakan terhadap Presiden Omar Hassan Al Bashir berkaitan dakwaan pembabitannya dalam jenayah perang di Darfur.
Langkah membanteras 'Islamophobia' atau kegerunan terhadap Islam dan perjuangan menentang perbuatan memfitnah Islam, juga akan dibincang pada mesyuarat ini.
Dalam laporan tahunan keduanya, Badan Pemerhati Islamophobia OIC dijangka menyiarkan laporan tentang kezaliman yang dilakukan terhadap Islam dan umatnya serta menjelaskan tentang fenomena Islamophobia yang wujud di seluruh dunia.
Kenyataan itu berkata isu lain yang akan turut diberi tumpuan ialah nasib umat Islam dan kumpulan minoriti Islam di negara bukan anggota OIC seperti umat Islam di Filipina, minoriti umat Islam Turki di Western Thrace di Greece dan kumpulan umat Islam di Myanmar serta selatan Thailand.
Mesyuarat CFM itu juga akan menyentuh perkara lain berkaitan politik, terutama pembaharuan terhadap PBB dan perluasan asas keanggotaan dalam Majlis Keselamatan PBB.
Kenyataan itu berkata menteri luar terbabit akan membincangkan secara panjang lebar tentang penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Tetap berkaitan hak asasi manusia.
Mereka juga, kata kenyataan itu, dijangka berbincang tentang pelaksanaan Program Pelan Tindakan 10 Tahun OIC berkaitan ekonomi dan isu dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi, alam sekitar di dunia Islam dan media.
"Menteri terbabit juga akan membincangkan secara terperinci perayaan sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan OIC sepanjang 2009," kata kenyataan itu.
Setiausaha Agung OIC Prof Ekmeleddin Ihsanoglu dijadual berucap pada sesi pembukaan CFM, yang akan menyentuh secara terperinci kegiatan OIC selepas berlangsungnya Sidang CFM Ke-35 di Kampala, Uganda. (BERNAMA)

Info Negara OIC


Kenali Republik Persekutuan Nigeria
Republik Persekutuan Nigeria terletak di Afrika Barat. Negara ini bersempadan dengan Benin di sebelah barat, Chad dan Cameroon di sebelah timur, Niger di sebelah utara dan Teluk Guinea di sebelah selatan. Ialah negara yang ada paling ramai penduduk di Afrika. Kota-kota penting termasuk Abuja, bekas ibu kota Lagos, Abeokuta, Ibadan, Port Harcourt dan Jos. 50% atau 64,385,994 penduduk menganut agama Islam yang mempunyai taraf rasmi. Nigeria terutama terlibat pengeluaran minyak. Kerajaan mendapat 70% pendapatan dari kejualan minyak. Majoriti penduduk menceburi pertanian. Masalah besar termasuk kerasuahan dan inflasi tinggi.

Rencana!

Cabaran industri halal
Oleh MOHAMAD SOFEE RAZAK (Utusan Malaysia)
Satu objektif Pelan Induk Pembangunan Ketiga (IMP3) adalah menjadikan Malaysia sebagai hab halal global bagi pengeluaran dan perdagangan barangan serta perkhidmatan halal.
Industri halal pada dasarnya tidak hanya tertumpu kepada produk makanan halal sahaja seperti mana yang difahami sebelum ini malahan merangkumi sektor perkhidmatan seperti logistik, pembungkusan, penjenamaan dan pasaran.
Ia juga merangkumi produk farmaseutikal, dandanan diri dan kosmetik, kewangan, hiburan, pelaburan, pelancongan dan sebagainya.
Ini mewujudkan hubungan baru dalam rantaian nilai terutamanya logistik, pelabuhan, perkapalan, penghantaran, kemudahan pengendalian dan gudang.
Untuk itu, Malaysia perlu menjadi peneraju kepada penetapan piawaian halal global termasuklah proses mengaudit, pengeluaran sijil halal bagi melindungi integriti halal dan selanjutnya mengarah serta menyelaras pembangunan industri halal di peringkat global.
Hal ini termasuklah dalam bidang teknologi maklumat seperti Internet yang mana banyak syarikat telah berjaya menggunakan sepenuhnya untuk menjalinkan perniagaan ke seluruh dunia.
Melalui sokongan politik yang kuat seperti penganjuran Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) dan Forum Halal Dunia (WHF), ia dapat menarik pelaburan industri halal ke negara ini dan menyokong pertumbuhan penyertaan syarikat Malaysia dalam pasaran halal di peringkat global.
Di samping itu membangun dan memasarkan jenama halal serta mempromosi konsep produk halal dan perkhidmatan di Malaysia yang dijangka mencatat transaksi dagangan bernilai lebih daripada RM2 bilion kepada pasaran dunia yang lebih luas.
Beberapa tumpuan dan penekanan juga perlu diberi perhatian serius bagi menjayakan prasarana industri halal meliputi pembangunan sains halal, logistik, pengedaran dan perdagangan halal antarabangsa; model pelaburan Islam untuk pasaran ekonomi halal; pandangan syariah terhadap penyembelihan menggunakan kejutan elektrik pada bahagian yang hampir dengan jantung haiwan; pembangunan dalam peruncitan; perkhidmatan dan pelancongan halal; dan pengilangan dan kandungan untuk pasaran halal.
Isu-isu yang masih di peringkat pertikaian dan perselisihan perlu diselesaikan segera agar perkara berkenaan tidak merencat transformasi industri halal global.
Banyak produk berunsurkan halal masih belum diterokai oleh orang Islam sendiri.
- Gambar hiasan
Forum Halal Sedunia (WHF) 2008 yang berakhir baru-baru ini juga bersetuju sebulat suara dengan resolusi Pakatan Integriti Halal Antarabangsa (IHI Alliance) bagi memaju, melaksana dan menyenggara standard halal global serta mematuhi sistem penilaian.
IHI Alliance bertujuan memastikan wujudnya integriti halal pada keseluruhan rantaian bekalan dan untuk memainkan peranan penting dalam membantu negara Islam dan bukan Islam dalam pembangunan institusi halal serta bidang penting yang lain di samping menyelaraskan pelaksanaan standard halal dan perakuan di peringkat global.
Halangan dan cabaran utama kepada industri halal negara sebagai hab halal dunia ketika ini ialah berkenaan fenomena semasa kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat secara mendadak dan krisis kekurangan barang makanan asasi yang melanda semakin serius di peringkat global.
Isu ini juga boleh membantutkan proses perkembangan dan prospek industri produk halal jika realiti ini berterusan pada masa hadapan.
Sektor-sektor lain berkaitan dengan industri ini turut akan menerima tempiasan dan dipengaruhi krisis global ini jika kerajaan gagal menyediakan pelan bersepadu menyokong industri halal ini.
Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) wajar memainkan peranan utama di dalam industri ini dalam penyediaan bantuan dana dan teknikal, pemindahan dan perkongsian teknologi, kerjasama bijak dengan negara pemain utama produk halal di samping memantau operasi industri ini secara global.

Anggaran kasar menunjukkan saiz pasaran produk makanan halal berjumlah antara RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion setahun, dengan mengambil kira penggunaan oleh pengguna Muslim saja di negara kita.
Namun begitu, pasaran makanan halal dunia hari ini masih dikuasai empat negara bukan Islam iaitu China, Thailand, Australia dan Brazil.
Ini adalah cabaran kepada semua negara Islam yang masih terkebelakang dalam industri ini dan masih bersifat tempatan serta belum bersedia meneroka industri ini secara serius.
Masyarakat Islam tidak lagi boleh sekadar menjadi pemerhati atau pengguna sahaja malahan perlu berubah menjadi negara pengeluar dan pemain utama di dalam industri halal global.
BeraniPada tahun 2002 sahaja, Australia telah mengeksport makanan yang bernilai AS$3.7 bilion ke negara-negara Islam. Daripada jumlah ini, lebih AS$330 juta merupakan nilai eksport daging lembu dan biri-biri dan lebih AS$1 bilion merupakan eksport bahan tenusu.
Jika diteliti secara ekonominya, negara-negara Islam mempunyai peluang dan ruang yang sangat luas di dalam industri ini sekiranya mempunyai keinginan, sokongan dan perancangan politik yang kuat serta penyertaan berani di dalam industri ini.
Adalah amat memalu, menyusah dan meresahkan apabila kita terpaksa bergantung kepada orang lain untuk membekalkan produk halal kepada kita sedangkan kita sendiri mampu menyediakannya.
Komitmen Malaysia sebagai peneraju produk halal global dapat dilihat melalui penetapan semua barangan import berasaskan daging ke Malaysia mestilah mematuhi keperluan standard dan piawaian halal yang digariskan