Ahad, 14 Februari 2010

Direktori 5, 800 Masjid Malaysia Dilancarkan


Keterangan gambar: Mahmud Zuhdi Zainudin, penulis dan penerbit Malaysian Mosques menunjukan buku yang dihasilkan.


RAMAI pengunjung menunjukkan minat mereka kepada buku ini dan ada di antara pembeli memberitahu bahawa mereka berminat untuk membeli buku edisi antarabangsanya. Malah kita juga sudah berbincang dengan pembeli-pembeli dari Turki, Emeriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan beberapa buah negara lain.

Mengejutkan juga bila negara yang majoritinya beragama Buddha seperti Jepun turut berminat dengan buku mengenai masjid-masjid di negara kita ini. (Petikan Bernama bertarikh 19 Oktober 2009)

Itulah ulasan cukup memberangsangkan daripada Pengurus Projek Seleksi Angsana Sdn. Bhd., Farah Azrin Zumdi mengenai sambutan yang diterima sewaktu mempromosikan buku berjudul, Malaysian Mosques pada Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, Jerman yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.

Tentu ramai daripada kita tertanya-tanya apakah keistimewaan yang terdapat pada buku berkulit keras setebal 439 muka surat ini sehingga mendapat sambutan sehangat itu bukan?

Jawapannya ada pada Pengarah Seleksi Angsana Sdn. Bhd., pengendali portal www.mosques.com.my, Mahmud Zuhdi Zainudin yang juga merupakan penulis dan penerbit buku tersebut.

Menurut Mahmud Zuhdi, 61, idea penghasilan karya ini adalah rentetan daripada usaha bersungguh-sungguh dalam mengumpulkan bahan-bahan berkaitan masjid dari segi asal usul, sejarah, reka bentuk, seni bina dan banyak lagi. Sehinggalah terbinanya portal www.mosques.com.my.

Katanya lagi, portal ini bukan sahaja mengetengahkan masjid-masjid yang terdapat di seluruh Malaysia, Sabah dan Sarawak tetapi juga masjid-masjid besar yang terdapat di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Brunei.

"Berbalik kepada buku, Malaysian Mosques, hasrat menghasilkan buku ini sebenarnya bertitik-tolak daripada portal tadi. Saya banyak menerima cadangan agar dibuatkan dalam bentuk buku.

"Jadi, dari situlah digerakan usaha ke arah penghasilan sebuah buku sehinggalah terhasil naskhah yang disampaikan dengan gaya buku coffee-table. Masjid Negara menduduki tangga teratas sebelum diikuti masjid-masjid besar lain yang disusun mengikut kategori; negeri dan daerah. Ia umpama satu direktori yang komprehensif mengenai masjid di seluruh Malaysia.

"Usaha mengumpulkan maklumat tentang masjid mula terdetik apabila pada suatu hari saya pergi ke sebuah masjid untuk menunaikan solat Zuhur. Sedang saya mengambil wuduk, saya lihat keadaan masjid tersebut cukup daif dan perlu dibantu.

"Sebenarnya, ini bukanlah suasana yang luar biasa kerana boleh dikatakan banyak masjid yang pernah saya pergi berkeadaan serupa. Jadi, saya mula terfikir sejenak bagaimana boleh saya membantu, agar masjid kita ini tidak dilabel dengan sesuatu yang negatif.

"Maka dari situlah, saya mula mengumpul bahan-bahan berkaitan masjid menerusi penyelidikan yang lengkap dan menyeluruh. Dengan harapan, menimbulkan keinginan kepada pengunjung tempatan mahupun antarabangsa untuk melawat ataupun jika ada segelintir orang perseorangan atau syarikat yang mahu menghulurkan sumbangan, mereka boleh terus menghubungi pihak masjid tanpa perlu melalui sebarang kepayahan terutamanya dari segi birokrasi," kata Mahmud Zuhdi.

Tambahnya, buku yang pertamanya di Malaysia ini dan dijual pada harga RM150 mengetengahkan sebanyak lebih kurang 5,800 buah masjid. Ia ditampilkan secara menarik dengan disokong bantuan gambar berwarna serta fakta-fakta yang lengkap mengenai masjid serta alamat dan talian telefon untuk memudahkan perhubungan.

"Hakikatnya, Malaysia ialah sebuah negara yang paling unik di dunia. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga dan bersyukur dengan keunikan yang dimiliki ini. Meskipun mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang bangsa tetapi kita masih boleh hidup dalam suasana yang aman dan harmoni.

"Itu tidak termasuk keunikan dari segi adat budaya, kepelbagaian tradisi bangsa, kemeriahan makanan dan satu keistimewaan yang tidak dapat dinafikan ialah tentang masjid-masjid di sini.

"Boleh dikatakan, setiap negeri mempunyai ciri dan reka bentuk masjidnya yang tersendiri. Contohnya, di Melaka, kita dapat lihatnya masjidnya berbentuk pagoda yang dipengaruhi daripada tradisi negara China.

"Begitu juga masjid-masjid di Johor yang berciri seperti kolonial British, manakala Kedah pula dengan pengaruh Moorish," jelas Mahmud Zuhdi yang mensasarkan satu masjid satu buku, di samping mempromosikan kepada masyarakat tempatan dan para pelancong.

Terangnya lagi, buku ini juga mengandungi maklumat mengenai Malaysia secara umum diikuti negeri dan daerah.

Buku Malaysian Mosques adalah buku berguna kepada mereka yang berminat sama ada untuk tujuan mengkaji atau simpanan peribadi serta pelancong yang melawat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut pembaca boleh melayari www.mosques.com.my. - Oleh ZUARIDA MOHYIN

Rabu, 3 Februari 2010

Shamsul Azhar CEO Petronas ganti Hassan Merican



PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Shamsul Azhar Abbas (gambar) sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas berkuat kuasa Rabu depan menggantikan Tan Sri Mohd Hassan Merican yang tamat kontrak perkhidmatannya sehari sebelum itu.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Pejabat Perdana Menteri hari ini, Najib menyebut, Shamsul Azhar, 57 turut dilantik memangku jawatan Pengerusi Lembaga Petronas.

"Kerajaan mengucapkan terima kasih atas sumbangan besar Tan Sri Mohd Hassan kepada negara dan industri petroleum, selaku Pemangku Presiden, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas sejak tahun 1995," katanya di sini hari ini.

Mohd Hassan mula berkhidmat dengan syarikat minyak negara itu sejak tahun 1989 sebagai Naib Presiden Kanan Kewangan sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 1995.

Beliau kemudiannya menyandang sebagai Pemangku Pengerusi pada tahun 2004 hingga sekarang.

Shamsul Azhar adalah bekas Pengarah Urusan MISC Berhad (MISC) yang merupakan syarikat perkapalan terkemuka yang dimiliki Petronas telah bersara daripada jawatan itu pada Januari lalu.

Beliau merupakan antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Mohd Hassan selain Pengerusi Petronas Dagangan Bhd., Datuk Anuar Ahmad dan bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd., Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

"Semasa tempoh perkhidmatan Mohd Hassan, Petronas telah diiktiraf sebagai sebuah syarikat berprestasi tinggi yang mendapat penarafan sebagai satu-satunya syarikat Fortunate 500 di negara ini.

"Beliau juga telah berjaya membawa Petronas ke pasaran luar negara dan dapat bersaing dengan syarikat minyak gergasi yang lain," kata Najib lagi.

Dengan pengalaman yang luas ini, Perdana Menteri berharap Mohd. Hassan akan terus menyumbang pengetahuan dan pengalaman beliau kepada pembangunan negara terutamanya dalam bidang tenaga.

-----------------------------------------------------------------


MISC CEO Datuk Shamsul Azhar Abbas

The Most Competitive Bumiputra CEO in Malaysia 2005

Category:Government Link Company (GLC)


Aged 58, is the President / Chief Executive Officer of MISC Berhad (formerly known as Malaysia International Shipping Corporation Berhad).


He sits on the Board of MISC and is the Chairman on the Boards of MISCÂ?s major subsidiaries and associate companies. He is also the Chairman of PETRONAS Maritime Services Sdn Bhd and a Director on the Boards of Bintulu Port Holdings Berhad and NCB Holdings Bhd.


DatoÂ? Shamsul Azhar bin Abbas holds a degree in Political Science from Science University of Malaysia, a Masters of Science Degree (MSc.) in Energy Management from University of Pennsylvania, USA and a Technical Diploma in Petroleum Economics from Institute Francaise du Petrole (IFP), France.


He joined PETRONAS in 1975 and has held various senior management positions in PETRONAS including Vice President, Petrochemical Business, Vice President, Oil Business, Vice President, Exploration and Production Business and Vice President, Logistics & Maritime Business.


On 1 July 2004, he was appointed as the Managing Director/Chief Executive Officer of MISC. He is also currently a member of the PETRONAS Management Committee.


MISC Bhd rank as the highest net profit company in Malaysia by Malaysian Business on it 16 October 2005 issue. It rank the second highest return on turnover by Malaysian Business after PLUS Expressways Bhd.


MISC record a profit of RM4.8billion for the year ended March 31,2005, more than double RM.3billion made the year before.

Ahad, 31 Januari 2010

Istilah keanekaragaman hayat





DALAM pergerakan alam sekitar, antara agenda penting ialah pemeliharaan biodiversiti. Maksud dalam agenda ini ialah untuk mengekalkan kepelbagaian spesies yang ada, seboleh mungkin.


Ada pihak menggunakan istilah kepelbagaian bio bagi merujuk biodiversiti, dengan mengambil istilah diversiti sebagai kepelbagaian. Di Indonesia, ada pihak menggunakan istilah keanekaragaman hayat. Cantik istilah ini. Keanekaragaman merujuk pada diversiti atau kepelbagaian. Hayat adalah bio. Tidakkah dahulu biologi di negara ini dikenali sebagai kajihayat?


Kesepakatan dalam pergerakan alam sekitar ialah kepelbagaian bio adalah suatu yang perlu bagi segala kehidupan termasuk manusia di muka bumi. Justeru, kepelbagaian spesies mesti dipertahankan semampu mungkin.


Adalah menjadi fitrah alam bahawa kehidupan berkembang dalam pelbagai bentuk dengan memunculkan banyak spesies yang kehadirannya berkait di antara satu sama lain. Rantai makanan yang bersilang-silang membolehkan semua spesies dapat hidup dan berkembang.


Tetapi dalam sesuatu spesies pula, juga terdapat kepelbagaian ragam cara hidup. Contoh jelas adalah manusia sendiri. Ia hanyalah satu spesies iaitu Homo sapiens sapiens. Tetapi ia muncul dalam pelbagai bangsa, kaum dan suku kaum. Ada pula ciri-ciri lain bagi manusia yang merentas bangsa, kaum dan suku.


Bukan saja dari segi fizikal dengan setiap individu mempunyai ciri masing-masing. Sebab itu manusia muncul dengan kecenderungan dan minat yang pelbagai ragam. Akibatnya manusia mampu bersifat kreatif dan inovatif, mempunyai kepelbagaian buah fikiran dan melakukan kerja yang berbeza.


Sifat inilah yang melahirkan budaya keusahawanan serta menggerakkan sistem pasaran bebas dan amalan demokrasi.


Oleh kerana pandangan manusia yang pelbagai ragam, maka sudah tentu dunia ini mempunyai banyak agama. Daripada agama konvensional kepada agama baru atau pemikiran kerohanian yang tidak terikat kepada mana-mana kepercayaan tradisi. Sementelah itu pula, banyak manusia langsung tidak mempercayai agama.


Dalam sesuatu agama juga, muncul pelbagai aliran dan mazhab. Otak manusia sememangnya begitu rupa. Ini adalah kepelbagaian intelek. Atau kepelbagaian kefahaman kerohanian.


Apa yang terbentuk dalam fikiran manusia juga dipengaruhi oleh bahasa. adanya pelbagai bangsa, kaum dan suku kaum sememangnya ciri manusia yang muncul sebagai fitrah alam.


Tetapi begitu juga dengan bahasa. Terdapat pelbagai bahasa. Malah dalam bahasa-bahasa besar seperti Inggeris dan China yang dilihat begitu universal, tetapi di dalamnya terdapat perbezaaan. Antara dialek dan sebutan. – Oleh ZIN MAHMOOD

Rabu, 20 Januari 2010

Pertahan Hutan Kita


KEPANASAN bumi sememangnya tidak boleh dinafikan. Air lautan akan bertambah juga tidak boleh dinafikan. Pulau-pulau kecil dan kawasan pesisiran pantai pasti tenggelam akhirnya..

Bahawa kepanasan global diakibatkan oleh bertambahnya karbon dioksida juga tidak boleh dinafikan.

Bahawa peningkatan karbon dioksida adalah kerana pembakaran bahan api adalah suatu fakta. Begitu juga dengan pembakaran hutan. Kilang-kilang di seluruh dunia juiga menambah panas bumi. Begitu juga pembakaran dalam enjin.

Baik kereta mahupun kapal terbang. Kesemuanya menambahkan karbon dioksida.

Apakah manusia sanggup menghadapi pemanasan global ini? Jika tidak ada pilihan lain, maka terpaksalah dihadapi juga. Tetapi bukan saja kenaikan suhu, tetapi perkara-perkara yang berlaku hasil daripada kesan pemanasan global.

Ribut taufan dan banjir adalah antara bencana yang akan terhasil. Begitu juga dengan kekurangan air. Lebih-lebih lagi ialah kekurangan makanan akibat usaha tani yang gagal. Kesan buruknya amat besar.

Tidak ada pilihan lain oleh manusia daripada mengubah dan menghadapinya.

Tetapi apa yang boleh mengurangkan kecepatan pemanasan global supaya perubahan itu tidak mendadak ialah jika karbon dioksida itu dapat diserap oleh tumbuhan. Salah satu penyebab kepada peningkatan kehadiran karbon dioksida ialah kekurangan tumbuh-tumbuhan di planet bumi.

Penyumbang terbesar kepada proses penyerapan karbon dioksida pula ialah hutan hujan tropika. Itulah hutan yang ada di Nusantara. Kawasan terbesar di Khatulistiwa bagi adanya hutan hujan tropika ialah di tengah-tengah benua Afrika Selatan iaitu Brazil, benua Afrika iaitu Congo dan di Asia Tenggara, iaitu pulau Borneo.

Nusantara merupakan wilayah yang kaya dengan hujan hutan tropika. Selain Borneo iaitu Kalimantan, Sarawak dan Sabah, juga pulau Sumatera dan Semenanjung Malaysia.

Tetapi di mana-mana hutan hujan tropika di dunia ini, mereka menghadapi ancaman kepada kerosakan melalui pembalakan haram. Baik di Brazil, mahupun di Indonesia dan Malaysia.

Dalam keadaan kritikal adalah sepatutnya, hutan hujan tropika yang ada mesti dipertahan dan disimpan, dan tidak diusik-usik lagi. Tetapi diketahui bahawa penguatkuasaan pembalakan haram amat sukar dilaksanakan.

Laporan bahawa Cameron Highlands semakin memanas dengan hutannya dicabar menunjukkan bahawa sepatutnya kawasan-kawasan seperti itu sudah tidak patut dikembangkan lagi. Pembangunan mesti dihentikan dan hutan yang ada dipelihara.

Bagi Selangor pula, sudah sepatutnya tidak ada lagi hutan yang dimusnahkan untuk digantikan dengan kawasan pertanian atau pembangunan bandar. Sementara di Kuala Lumpur, kehijauan yang ada mesti dipertahankan khususnya di sekitar Bukit Tunku.

Justeru memusnahkan kawasan hijau di sekitar Tugu Negara untuk dibangunkan Pusara Negara akan mengurangkan kawasan hutan dalam Kuala Lumpur.

Jadi jika hutan-hutan hendak dipertahankan, di manakah tempat untuk dibuat pembangunan? Bandar-bandar baru serta ladang-ladang perlu dibuka untuk menampung penduduk yang semakin bertambah.

Salah satu caranya ialah pembangunan semula kawasan-kawasan yang kurang digunakan secara optimum. Bandar-bandar lama wajar dibangun semula supaya boleh meningkatkan ruang bagi penempatan penduduk-penduduk baru.

Tetapi mampukah kita bertindak bijak? - Oleh ZIN MAHMOOD

Jumaat, 15 Januari 2010

Ribuan Pengunjung Saksi Gerhana Matahari Lebih Jelas Di Planetarium







Keterangan gambar:

PULAU PINANG - Gerhana matahari separa atau dikenali sebagai "gerhana matahari anulus" berlaku antara pukul 3 petang hingga 5.45 petang pada 15 Januari 2010 berikutan "sentuhan pertama" bulan ke cakera matahari. Sempena fenomena itu, umat Islam digalakkan menunaikan solat sunat kusuf atau solat sunat gerhana matahari. – fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR - Fenomena gerhana matahari separa yang berlaku pada pukul 3 petang hingga 6 petang hari ini telah berjaya menarik kira-kira 1,000 pengunjung ke Planetarium Negara di sini.

Pegawai Penyelidik Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Lau Chen Chen berkata pihak Planetarium menyediakan beberapa teleskop penapis suria dan kaca mata gerhana bagi membolehkan orang ramai menyaksikan sendiri fenomena itu secara fakta dan bukan lagi teori.

"Fenomena ini hanya akan dapat disaksikan lagi di negara ini pada Mac 2016 nanti. Oleh itu dengan program seumpama ini orang ramai dapat melihat lebih jelas tompok matahari deengan menggunakan kemudahan teknologi yang ada," katanya.

Seorang pengunjung dari New Zealand, Simran Grewal, 18, berkata ini merupakan kali pertama beliau melihat lebih jelas fenomena matahari yang terlindung oleh bulan.

"Saya dapat banyak pengalaman dan pengetahuan hari walaupun ia merupakan pengalaman pertama saya dan ia sungguh hebat," katanya.

Pelajar Tingkatan Dua, Mohd Alifitri Ahmad berkata minatnya yang mendalam terhadap subjek sains mendorongnya untuk berkunjung ke Planetarium selepas tamat waktu persekolahannya.

"Saya pernah mempelajari dan mendengar mengenai fenomena gerhana matahari ini. Bagaimanapun disebabkan ia jarang berlaku, saya terus datang ke sini untuk melihat sendiri pergerakan bulan yang melindungi matahari," katanya.

Di Malaysia, gerhana matahari separa mencapai kegelapan maksimum kira-kira 40 peratus di bahagian utara Semenanjung Malaysia pada waktu petang.

Ia dijangka berlaku lagi di negara ini pada 9 Mac 2016.

Selain di Planetarium Negara, ANGKASA turut menganjurkan program pencerapan gerhana matahari separa di Kompleks Pekan Rabu, Langkawi.

Orang ramai yang tidak berkesempatan menyaksikan fenomena ini boleh melayari laman web ANGKASA di www.angkasa.gov.my.

Di Masjid Negara kira-kira 1,000 orang menghadiri sembahyang sunat gerhana matahari secara berjemaah yang bermula pada pukul 3.45 petang yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Bercakap kepada pemberita sejurus selesai solat itu, beliau berkata solat gerhana adalah sunat mauakad (yang dituntut) di dalam Islam dan dilakukan oleh Nabi Muhamad S.A.W.

"Nabi sendiri ada sejarahnya iaitu semasa kematian salah seorang anak baginda iaitu Ibrahim ketika berlaku gerhana matahari. Bagaimanapun sepertimana yang dinyatakan dalam hadis baginda, gerhana matahari bukan menyebabkan kematian seseorang atau menentukan kehidupan seseorang.

"Ianya berlaku atas kehendak Allah S.W.T dan peraturan Allah yang telah disusun iaitu perjalanan bulan, matahari dan bumi sebagai tanda kebesaran Allah dan menunjukkan kepada kita kebesaran-Nya," kata Syaikh Ismail. -BERNAMA




Khamis, 7 Januari 2010

Bintang bakal musnah bumi


LONDON - Pakar astronomi mendedahkan semalam yang sebutir bintang dijangka meletup begitu kuat hingga dapat memusnahkan bumi.

Ia akan musnah sendiri dalam letupan yang dikenali sebagai supernova dengan kekuatan yang sama dengan 20 bilion bilion bilion mega tan bahan letupan. Kajian terbaru menunjukkan bintang itu, T Pyxidis, berada lebih dekat dengan jangkaan sebelum ini, 3,260 tahun cahaya, satu lompatan pendek dalam kiraan galaksi.

Kesan letupan termonuklear itu boleh memusnahkan lapisan ozon bumi yang menjadi penghalang radiasi berbahaya. Jika keadaan itu berlaku, kehidupan di bumi akan rentung.

Senario hari kiamat itu didedahkan semalam oleh pakar astronomi dari Universiti Villanova di Philadelphia, Amerika Syarikat. Mereka berkata, satelit penjelajah ultraviolet antarabangsa menunjukkan kepada mereka bahawa T Pyxidis sebenarnya terdiri daripada dua bintang, satu digelar kenit putih yang menyedut gas dan semakin membesar.

Apabila mencapai berat kritikal, ia akan meletup sendiri. Ia akan bercahaya seperti semua bintang lain dalam galaksi yang disatukan.

Pakar berkata, teleskop angkasa lepas Hubble merakamkan gambar bintang itu dengan beberapa siri letupan kecil yang dipanggil novas.

Letupan itu sering berlaku setiap 20 tahun bermula pada 1890 tetapi terhenti selepas 1967.

Ini bermakna letupan untuk 20 tahun berikutnya sudah tertangguh, kata saintis, Edward M Sion, Patrick Godon dan Timothy McClain dari Perstuan Astronomi di Washington.

Robin Scagell, Naib Presiden Persatuan Astronomi Popular berkata: “Bintang itu mungkin menjadi supernova sedikit masa lagi. Bagaimanapun, tempoh itu masih terlalu jauh. Jangan bimbang.” - Agensi

Selasa, 5 Januari 2010

al Fatihah




Lain tokoh, lain zamannya

Presiden Keempat Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur meninggal dunia pada hari akhir tahun 2009 sementara Bekas Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Mohamed Rahmat atau Tok Mat meninggal dunia pada hari pertama 2010.

Gus Dur sememangnya selalu datang ke Malaysia. Beliau juga sering membela negara ini apabila berdepan dengan rakyat senegaranya yang mengkritik Malaysia. Sesungguhnya Malaysia kehilangan seorang sahabat.

Sementara Tok Mat yang pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf menteri sememangnya dikenali sebagai seorang sahabat Indonesia. Beliau dianggap jambatan antara Malaysia dan Indonesia dalam banyak waktu sepanjang pemerintahan Suharto di Indonesia.

Semasa Tok Mat menjadi Menteri Penerangan dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, hubungan kedua negara adalah baik. Pertukaran budaya dan media banyak dilakukan. Rakan sejawat Tok Mat di Indonesia semasa menjadi Menteri Penerangan ketika itu, Harmoko sememangnya sehati sejiwa.

Banyak idea dipercayai daripada Indonesia digunakan oleh Tok Mat semasa beliau menjadi Menteri Penerangan. Antaranya adalah gerakan Setia Bersama Rakyat atau Semarak yang memberi sumbangan untuk menarik sokongan rakyat kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Dengan lagu Setia yang terkenal disiarkan oleh RTM ketika Tok Mat menjadi Menteri Penerangan, maka dipercayai ia menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Dr.Mahathir sebagai ketua kerajaan yang ketika itu, iaitu tahun-tahun hujung 1980-an, dicabar oleh gerakan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh. Sememangnya Tok Mat muncul sebagai ahli politik kanan yang mendokong Dr Mahathir.

Begitu juga dengan program Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) yang mendapat ilham juga daripada Indonesia.

Pada zaman 70-an dan 80-an, ketika belum ada Internet dan televisyen satelit, maklumat dapat dikawal oleh kerajaan melalui akhbar, radio dan televisyen. Peranan radio dan televisyen untuk menyatukan sokongan rakyat kepada kerajaan dianggap berkesan.

Masa itu radio dan televisyen dikawal oleh Menteri Penerangan di merata-rata tempat di dunia termasuklah Malaysia dan Indonesia. Maka Kementerian Penerangan menjadi penting dengan pegangannya terhadap Radio Televisyen Malaysia (RTM). Di Indonesia, Kementerian Penerangannya juga mengawal rapi Radio Republik Indonesia (RRI) dan Televisi Republik Indonesia (TVRI).

Tetapi televisyen memainkan peranan penting bagi menyatukan Indonesia untuk mendokong Presiden Suharto. Dari awal tahun 70-an, melalui bantuan Amerika Syarikat juga, beliau melancarkan program memperluaskan tontonan televisyen di seluruh kepulauan Indonesia. Pelancaran satelit Indonesia untuk projek ini adalah antara lain untuk meraih dokongan rakyat kepada Suharto melalui maklumat yang disalurkan.

Suharto dianggap sebagai Bapa Pembangunan Indonesia. Tetapi setelah begitu lama memerintah, beliau menjadi tidak disukai rakyat kerana dilihat mengongkong dan tidak demokratik.

Antara pengkritik kuat Suharto ialah Gus Dur yang merupakan pemimpin Nahdhatul Ulama. Beliau menjadi ulama yang memperjuangkan demokrasi, kebebasan dan keterbukaan. Fahamannya menjadi ikutan banyak anak-anak muda bukan saja di Indonesia tetapi juga di Malaysia.

Walaupun kemudian gerakan Reformasi Indonesia memunculkan tokoh-tokoh seperti Amien Rais, Budiman Soedjatmoko dan Megawati Sukarnoputri tetapi Gus Dur merupakan ulama yang memberikan fahaman dasar bagi gerakan Reformasi dengan warna Islam.

Pada masa gerakan Reformasi berlaku di Indonesia pada tahun 1998, televisyen pemerintah sudah tidak menjadi media utama. pada masa itu sudah mula ada Internet dan televisyen swasta.. Antara tuntutan gerakan Reformasi adalah membebaskan media daripada kawalan pemerintah.

Maka ketika Gus Dur menjadi Presiden Reformasi pertama, beliau telah membubarkan Kementerian Penerangan.

Sifat sebuah negara demokrasi yang tidak stabil membuatkan juga mudahnya Gus Dur tumbang. Semudahnya beliau naik. Walaupun zaman Suharto sudah berlalu, tetapi cara Gus Dur juga tidak dapat diterima.

Dengan cepat kepimpinan Gus Dur diganti dengan Megawati Sukarnoputri. Beliau juga kemudiannya tidak diterima. Hanya kini apabila Susilo Bambang Yudhoyono memimpin, barulah kestabilan dapat dimantapkan.

Masing-masing pemimpin mempunyai zamannya. Dr. Mahathir mempunyai zamannya juga. Tok Mat juga berada pada zaman Dr. Mahathir.

Tetapi tahun 2009, beliau sendiri sempat menulis dan menerbitkan buku memoirnya Akhirnya Sebuah Impian yang agak kritikal terhadap keadaan zamannya.

Mungkin bagi generasi hari ini boleh menganalisis atau membuat perkiraan mengenai apa yang berlaku pada masa-masa lalu. Mungkin dirasakan apa yang dilakukan oleh orang terdahulu tidak betul atau tidak wajar. Dikatakan bahawa jika dilakukan secara lain mungkin keadaan berbeza dan menjadi lebih baik.

Tetapi bagi mereka yang hidup pada zamannya mempunyai pertimbangan tertentu untuk membuat sesuatu keputusan. Mengapa Suharto bertindak sedemikian rupa. Begitu juga mengapa Gus Dur berani menentang.

Begitu juga mengapa Dr. Mahathir mengambil sesuatu keputusan tertentu. Dengan Tok Mat memberi dokongan memihak kepadanya.

Apa akan berlaku jika Tok Mat tidak memihak Dr Mahathir pada zamannya? Atau apakah akan berlaku jika Gus Dur menyebelahi Suharto. Sejarah mungkin berbeza. Sejauh mana bezanya sukar untuk dijangkakan. - Oleh Zin Mahmud