Khamis, 7 Januari 2010

Bintang bakal musnah bumi


LONDON - Pakar astronomi mendedahkan semalam yang sebutir bintang dijangka meletup begitu kuat hingga dapat memusnahkan bumi.

Ia akan musnah sendiri dalam letupan yang dikenali sebagai supernova dengan kekuatan yang sama dengan 20 bilion bilion bilion mega tan bahan letupan. Kajian terbaru menunjukkan bintang itu, T Pyxidis, berada lebih dekat dengan jangkaan sebelum ini, 3,260 tahun cahaya, satu lompatan pendek dalam kiraan galaksi.

Kesan letupan termonuklear itu boleh memusnahkan lapisan ozon bumi yang menjadi penghalang radiasi berbahaya. Jika keadaan itu berlaku, kehidupan di bumi akan rentung.

Senario hari kiamat itu didedahkan semalam oleh pakar astronomi dari Universiti Villanova di Philadelphia, Amerika Syarikat. Mereka berkata, satelit penjelajah ultraviolet antarabangsa menunjukkan kepada mereka bahawa T Pyxidis sebenarnya terdiri daripada dua bintang, satu digelar kenit putih yang menyedut gas dan semakin membesar.

Apabila mencapai berat kritikal, ia akan meletup sendiri. Ia akan bercahaya seperti semua bintang lain dalam galaksi yang disatukan.

Pakar berkata, teleskop angkasa lepas Hubble merakamkan gambar bintang itu dengan beberapa siri letupan kecil yang dipanggil novas.

Letupan itu sering berlaku setiap 20 tahun bermula pada 1890 tetapi terhenti selepas 1967.

Ini bermakna letupan untuk 20 tahun berikutnya sudah tertangguh, kata saintis, Edward M Sion, Patrick Godon dan Timothy McClain dari Perstuan Astronomi di Washington.

Robin Scagell, Naib Presiden Persatuan Astronomi Popular berkata: “Bintang itu mungkin menjadi supernova sedikit masa lagi. Bagaimanapun, tempoh itu masih terlalu jauh. Jangan bimbang.” - Agensi

Selasa, 5 Januari 2010

al Fatihah




Lain tokoh, lain zamannya

Presiden Keempat Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur meninggal dunia pada hari akhir tahun 2009 sementara Bekas Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Mohamed Rahmat atau Tok Mat meninggal dunia pada hari pertama 2010.

Gus Dur sememangnya selalu datang ke Malaysia. Beliau juga sering membela negara ini apabila berdepan dengan rakyat senegaranya yang mengkritik Malaysia. Sesungguhnya Malaysia kehilangan seorang sahabat.

Sementara Tok Mat yang pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia bertaraf menteri sememangnya dikenali sebagai seorang sahabat Indonesia. Beliau dianggap jambatan antara Malaysia dan Indonesia dalam banyak waktu sepanjang pemerintahan Suharto di Indonesia.

Semasa Tok Mat menjadi Menteri Penerangan dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, hubungan kedua negara adalah baik. Pertukaran budaya dan media banyak dilakukan. Rakan sejawat Tok Mat di Indonesia semasa menjadi Menteri Penerangan ketika itu, Harmoko sememangnya sehati sejiwa.

Banyak idea dipercayai daripada Indonesia digunakan oleh Tok Mat semasa beliau menjadi Menteri Penerangan. Antaranya adalah gerakan Setia Bersama Rakyat atau Semarak yang memberi sumbangan untuk menarik sokongan rakyat kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

Dengan lagu Setia yang terkenal disiarkan oleh RTM ketika Tok Mat menjadi Menteri Penerangan, maka dipercayai ia menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Dr.Mahathir sebagai ketua kerajaan yang ketika itu, iaitu tahun-tahun hujung 1980-an, dicabar oleh gerakan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh. Sememangnya Tok Mat muncul sebagai ahli politik kanan yang mendokong Dr Mahathir.

Begitu juga dengan program Kumpulan Pendengar, Penonton dan Pembaca (K3P) yang mendapat ilham juga daripada Indonesia.

Pada zaman 70-an dan 80-an, ketika belum ada Internet dan televisyen satelit, maklumat dapat dikawal oleh kerajaan melalui akhbar, radio dan televisyen. Peranan radio dan televisyen untuk menyatukan sokongan rakyat kepada kerajaan dianggap berkesan.

Masa itu radio dan televisyen dikawal oleh Menteri Penerangan di merata-rata tempat di dunia termasuklah Malaysia dan Indonesia. Maka Kementerian Penerangan menjadi penting dengan pegangannya terhadap Radio Televisyen Malaysia (RTM). Di Indonesia, Kementerian Penerangannya juga mengawal rapi Radio Republik Indonesia (RRI) dan Televisi Republik Indonesia (TVRI).

Tetapi televisyen memainkan peranan penting bagi menyatukan Indonesia untuk mendokong Presiden Suharto. Dari awal tahun 70-an, melalui bantuan Amerika Syarikat juga, beliau melancarkan program memperluaskan tontonan televisyen di seluruh kepulauan Indonesia. Pelancaran satelit Indonesia untuk projek ini adalah antara lain untuk meraih dokongan rakyat kepada Suharto melalui maklumat yang disalurkan.

Suharto dianggap sebagai Bapa Pembangunan Indonesia. Tetapi setelah begitu lama memerintah, beliau menjadi tidak disukai rakyat kerana dilihat mengongkong dan tidak demokratik.

Antara pengkritik kuat Suharto ialah Gus Dur yang merupakan pemimpin Nahdhatul Ulama. Beliau menjadi ulama yang memperjuangkan demokrasi, kebebasan dan keterbukaan. Fahamannya menjadi ikutan banyak anak-anak muda bukan saja di Indonesia tetapi juga di Malaysia.

Walaupun kemudian gerakan Reformasi Indonesia memunculkan tokoh-tokoh seperti Amien Rais, Budiman Soedjatmoko dan Megawati Sukarnoputri tetapi Gus Dur merupakan ulama yang memberikan fahaman dasar bagi gerakan Reformasi dengan warna Islam.

Pada masa gerakan Reformasi berlaku di Indonesia pada tahun 1998, televisyen pemerintah sudah tidak menjadi media utama. pada masa itu sudah mula ada Internet dan televisyen swasta.. Antara tuntutan gerakan Reformasi adalah membebaskan media daripada kawalan pemerintah.

Maka ketika Gus Dur menjadi Presiden Reformasi pertama, beliau telah membubarkan Kementerian Penerangan.

Sifat sebuah negara demokrasi yang tidak stabil membuatkan juga mudahnya Gus Dur tumbang. Semudahnya beliau naik. Walaupun zaman Suharto sudah berlalu, tetapi cara Gus Dur juga tidak dapat diterima.

Dengan cepat kepimpinan Gus Dur diganti dengan Megawati Sukarnoputri. Beliau juga kemudiannya tidak diterima. Hanya kini apabila Susilo Bambang Yudhoyono memimpin, barulah kestabilan dapat dimantapkan.

Masing-masing pemimpin mempunyai zamannya. Dr. Mahathir mempunyai zamannya juga. Tok Mat juga berada pada zaman Dr. Mahathir.

Tetapi tahun 2009, beliau sendiri sempat menulis dan menerbitkan buku memoirnya Akhirnya Sebuah Impian yang agak kritikal terhadap keadaan zamannya.

Mungkin bagi generasi hari ini boleh menganalisis atau membuat perkiraan mengenai apa yang berlaku pada masa-masa lalu. Mungkin dirasakan apa yang dilakukan oleh orang terdahulu tidak betul atau tidak wajar. Dikatakan bahawa jika dilakukan secara lain mungkin keadaan berbeza dan menjadi lebih baik.

Tetapi bagi mereka yang hidup pada zamannya mempunyai pertimbangan tertentu untuk membuat sesuatu keputusan. Mengapa Suharto bertindak sedemikian rupa. Begitu juga mengapa Gus Dur berani menentang.

Begitu juga mengapa Dr. Mahathir mengambil sesuatu keputusan tertentu. Dengan Tok Mat memberi dokongan memihak kepadanya.

Apa akan berlaku jika Tok Mat tidak memihak Dr Mahathir pada zamannya? Atau apakah akan berlaku jika Gus Dur menyebelahi Suharto. Sejarah mungkin berbeza. Sejauh mana bezanya sukar untuk dijangkakan. - Oleh Zin Mahmud

Khamis, 31 Disember 2009

Selamat Datang 2010


Salam sejahtera kepada semua rakan blog dan sahabat taulan…
Selamat menyambut 2010 disusuli gerhana bulan yang diharap dapat dirai kedatangan tahun harimau dengan berani dan melindungi anak genarasi masa depan.
Teringat pantun dari seorang abang yang kini berada di situasi yang menguji minda dan ujianNya.
"Banyak hutan bermacam hutan, Hutan bakau di hujung tanjung, Kalau tuan nak jadi pahlawan, jadilah pahlwan yang disanjung..."
Harapan saya agar dengan alaf 21 akan ceria dengan petunjukNya dan rasulNya serta orang beriman.

Isnin, 28 Disember 2009

Forum Kewangan Islam Ke-6: Sistem Kewangan Islam Sebagai Pilihan Wajib

BARU-BARU ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam sesi pembukaan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) Keenam yakni, sektor kewangan Islam tidak hanya penting kepada Malaysia, malah menjadi elemen strategik pemulihan ekonomi global daripada krisis kewangan yang menggugat institusi perbankan antarabangsa.
Perdana Menteri berkata dengan kerugian besar yang ditanggung institusi perbankan konvensional, perkembangan pesat sektor perbankan Islam kini menarik perhatian global.
Saya ingin mengaitkan ungkapan Perdana Menteri tersebut dengan kertas kerja yang dibentangkan di dalam Seminar Ekonomi Alternatif, anjuran Akademi Sains Islam Malaysia(ASASI) pada 23 Mei 2009, lalu di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM.
Kerugian yang berlaku terutamanya di Amerika dan Eropah yang kini sedang berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapi akibat sistem kapitalis yang diamalkan dengan menggunakan berbilion duit rakyat masing-masing.
Namun, kaedah tersebut tetap tidak memberi hasil yang positif kerana masih berlaku ketempangan. Hal ini kerana, bank-bank, syarikat-syarikat gergasi telah muflis , rakyat hilang pekerjaan dan kemiskinan berleluasa hingga menyebabkan jurang kekayaan dan kemiskinan kian jauh.
Penyelesaian kepada krisis kapitalisma ini bukanlah dengan memperbaiki sistem ini, tetapi perlu meninggalkan sistem ini dan mencari alternatif baru iaitu satu sistem ekonomi terancang yang bukan berasaskan keuntungan semata-mata.
Bagi penulis, sistem ekonomi yang ideal ialah sistem yang berasaskan kebajikan yang mementingkan maslahat umum berbanding keuntungan satu-satu pihak.
Menurut Prof. Shaharir Mohamad Zain, sekumpulan penyelidik di Austria menyatakan bahawa adanya ahli-ahli ekonomi Barat yang semakin memfokuskan penyelidikan ekonominya kepada isu kebahagiaan bermula sejak 10 tahun lalu.
Maka, tidak hairanlah Economics Journal keluaran 1997 memuatkan isu ini sebagai suatu isu kontroversi, dan majalah Economists 2006 menyatakan, baru sekarang ahli ekonomi bertemu dengan perkara yang sepatutnya mereka kejari sejak dahulu lagi iaitu kebahagiaan.
Untuk mencapai kebajikan dari aspek ekonomi, suatu usaha yang mementingkan maslahat umum demi mewujudkan kebahagiaan yang sejati, perlu difikirkan beberapa penyelesaian yang releven.
Antara idea penyelesaian yang perlu dilaksanakan secara bersistem ialah mengesyorkan supaya pemimpin dunia kembali kepada Dinar Emas, bagi meletakkan struktur kewangan global berpaksikan emas dan perak untuk menangani ketidaktentuan nilai mata wang dan mengelakkan inflasi akibat perbuatan mencetak wang kertas.
Sebagai alternatif kepada sistem ekonomi konvensional seperti kapitalis, suatu sistem tanpa riba perlu diaplikasikan segera. Menurut Dr Yahia Abdul-Rahman, pengasas American Finance House menyatakan bahawa, perundangan kewangan Islam adalah berasaskan bimetallic yakni sistem dwi-logam (emas dan perak).
Sistem ini menggunakan emas dan perak yang memiliki ciri tidak boleh cetak rompak, nilai yang stabil tanpa inflasi. Jadi, masalah yang berlaku kepada ekonomi yang berasaskan wang cetak tersebut yang memudahkan manipulasi tidak akan berlaku.
Bagi menjayakan usaha tersebut secara lebih utuh, ia perlu dilaksanakan secara konsensus dan kolektif dengan negara-negara yang lain. Masyarakat yang berhati mulia ialah masyarakat yang tidak mementingkan diri semata-mata.
Jadi, kebaikan yang akan dicapai melalui sistem ekonomi ideal ini perlu dikongsi dan disepakati dengan negara-negara yang lain, paling kurang pun sesama negara Asia Tenggara atau negara-negara Asia atau negara-negara OIC.
Sebagai perbandingan, dalam makalah yang dibentangkan di International Seminar, Indonesia-Malaysia on the Role and Harmonization of Economics and Business Disciplines in Global Competitiveness, dinyatakan bahawa kejayaan bentuk kerjasama negara-negara maju dengan mudah dapat kita lihat dari pembentukan Negara Kesatuan Eropah dengan matawang tunggalnya iaitu Euro, Pertubuhan Ekonorni Asia-Pasifik (Asia-Pasific Economic Cooperation, APEC), Pertubuhan Perdagangan Bebas Atlantik Utara (North Atlantic Free-Trade Association, NAFT A),dan pelbagai bentuk kawasan perdagangan bebas (free trade areas) antara negara maju lainnya.
Dalam Journal of Economic Cooperation among Islamic Countries. Vol. 21, setidak-tidaknya, ada 18 bentuk kerjasama yang membabitkan dunia Islam sekarang.
Jadi, ia boleh dijadikan inisiatif awal jika dilakukan perbincangan konstruktif berhubung dengan ekonomi tanpa inflasi, manipulasi, riba dan seumpamanya.
Namun, diakui ia bukan semudah idea dalam penulisan. Jadi, pada peringkat Malaysia, ia perlu dilakukan dengan melakukan pendedahan kepada umum tentang kelebihan dan kepentingan ekonomi Islam seperti menggunakan Dinar Emas.
Beberapa usaha menarik telah dilakukan dan patut dicontohi seperti idea Tun Mahathir tentang keperluan Dinar Emas tidak lama dulu, penubuhan akaun-akaun bank berasaskan dinar emas sebagai usaha awal dan galakan kerajaan Kelantan terhadap penggunaan Dinar Emas untuk bayaran mas kahwin dan seumpamanya.
Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom mengatakan pada ogos lalu, penggunaan nilai dinar emas dalam perdagangan antara negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu dikaji kembali.
Ia pasti membantu sektor kewangan Islam kini yang merupakan pilihan wajib untuk memulihkan ekonomi global. Jadi, sudah pasti perkembangan ini akan lebih menarik perhatian global persis ungkapan Perdana Menteri sebelum ini. - Mohd Hasrul Bin ShuhariPersatuan Usrah Kebajikan Profesional (UKP)

Burj Dubai ialah bangunan tertinggi di dunia



DUBAI - Burj Dubai yang akan dibuka, akan dicatatkan sebagai bangunan tertinggi di dunia, dan berkongsi penghormatan ini adalah firma pembinaan struktur keluli Malaysia, Eversendai Corporation.
Menurut pengarah urusan kumpulan, Datuk A.K. Nathan, 260 meter terakhir menara itu adalah satu struktur keluli yang telah dibina oleh Eversendai.
"Kami adalah syarikat pertama di dunia yang membuat kerja-kerja pembinaan pada lebih 700 meter. Tiada sesiapa di dunia pernah bekerja pada ketinggian ini," katanya kepada Bernama di sini.
Laporan sebelum ini telah menyebut bahawa Burj Dubai berketinggian melebihi 800 meter
dengan lebih 160 tingkat.
Pemajunya, Emaar Properties tidak memberi kepastian mengenai ketinggian sebenar menara itu, walaupun terdapat kenyataan bahawa puncak menara boleh dilihat dari sejauh 95 km.
Burj Dubai dijangka dibuka secara rasmi pada 4 Januari 2010 oleh Timbalan Presiden dan Perdana Menteri Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dan pemerintah Dubai,Sheikh Mohammed Bin Rashid Al Maktoum.
Nathan berkata Eversendai juga menjalankan kerja-kerja struktur keluli pada lain-lain bahagian pembinaan Burj Dubai.
"Kami telah menyempurnakan kesemuanya tanpa apa-apa kemalangan," katanya.
Nathan juga berkata Eversendai mempunyai hubungan kerja yang baik dengan kontraktor utama menara itu, Samsung Corporation dari Korea Selatan.
Kedua-dua syarikat telah terbabit dalam pembinaan Menara Kedua di Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.
Mengenai pengalaman Eversendai di UAE, beliau berkata: "Kami tiba di sini pada pertengahan tahun 90an dan kontrak pertama kami adalah hotel Burj Al Arab, di persisir pantai Dubai.
Selepas itu, Eversendai menerima pelbagai projek bernilai jutaan ringgit di UAE dan Qatar.
Buat masa ini, Eversendai terbabit dalam beberapa projek di Qatar termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Doha dan Dubai Towers-Doha.
Nathan berkata ia bukan sesuatu yang mudah bagi Eversendai untuk berada pada kedudukannya sekarang.
"Sesebuah syarikat yang mahu berkembang ke luar negara harus telah membangunkan kebolehannya serta mesti mempunyai kewangan yang kukuh.
"Tanpa semua ini, sukar untuk menembusi pasaran luar negara. Walaupun mungkin ada sokongan dari kerajaan, kerajaan juga mempunyai batasnya," kata Nathan.
"Kejayaan menyiapkan projek akan memberi reputasi yang baik. Ini akan membina kepercayaan dan syarikat itu kemudian boleh menjangka lebih banyak projek lain," tegas Nathan.
Beliau berkata syarikat-syarikat Malaysia yang mahu berkembang ke bahagian sebelah sini dunia juga harus memahami cara kerja di sini untuk berjaya.
Mengenai Eversendai, beliau percaya firmanya telah membina reputasi yang cemerlang bukan sahaja untuk syarikat, tetapi juga untuk Malaysia.
"Kami telah memenangi banyak projek kerana pelanggan kami gembira dengan sumbangan kami. Jadi, mereka sering kembali dengan tawaran-tawaran lain," tambah beliau. - Oleh MUIN ABDUL MAJID (BERNAMA)

Imam di Australia jahil budaya setempat

IMAN di Australia dikatakan tidak terlatih, tidak boleh bertutur bahasa Inggeris dengan baik dan tidak mengikuti perkembangan semasa, kerajaan Australia diberitahu.

Kajian untuk Jabatan Imigresen Australia yang dikeluarkan di bawah Kebebasan Maklumat Undang-Undang, mendapati pemimpin Islam Australia adalah sangat konservatif dan mempunyai pengetahuan cetek mengenai budaya rakyat Australia.

Laporan itu mencadangkan agar ulama dan guru agama Islam yang mengajar di sekolah-sekolah agama Islam diberikan latihan yang lebih baik, akhbar Herald Sun memetik laporan itu.

Berdasarkan laporan yang diperolehi akhbar itu, kebanyakan imam di Australia dilahirkan di luar negara dan mempunyai tafsiran yang ketinggalan zaman tentang agama Islam.

"Secara umumnya, dengan kemahiran bahasa Inggeris yang lemah, mempunyai pengertian konservatif tentang Islam dan ketidakupayaan memahami kebudayaan rakyat setempat, menyebabkan kepimpin sesetengah imam ini tidak dapat mewakili pandangan majoriti masyarakat Islam di Austrlia," kata laoran itu.

Laporan itu yang bertajuk 'Kajian Awal tentang Masyarakat Islam Australia' telah mencadangkan agar satu sistem baru diadakan untuk menyusun latihan dan pentauliahan kepada imam-iman itu. - BERNAMA


Sabtu, 26 Disember 2009

Syukurlah KL belum menjadi Johannesburg

SELEPAS menjalani kehidupan sepanjang tahun 2009, maka kesimpulannya ialah 'Hidup itu indah.' Bukanlah sepanjang tahun 2009 itu tidak ada tragedi atau perkara-perkara yang menyusahkan hati.

Kematian, bencana, kemalangan, kesilapan dan pelbagai perkara yang tidak disukai berlaku sepanjang tahun 2009. Seperti juga dengan tahun-tahun sebelumnya. Sememangnya ada tahun yang dianggap lebih baik, dan ada yang kurang baik.

Lain orang, lain pengalamannya. Mungkin bagi sebahagian orang, 2009 lebih baik daripada tahun terdahulu. Tetapi tidak pula bagi orang lain.

Apa yang berlaku, baik disukai atau tidak adalah takdir. Hukum alam yang telah ditentukan oleh Allah SWT menjadikan sebab akibat yang sebegitu rupa hinggalah ia menghasilkan sesuatu kejadian.

Bagi mereka yang meminati hal ehwal semasa, sejarah, anthropologi, sosiologi, arkeologi, geologi, ekologi, biologi khususnya evolusi dan kosmologi akan dapat meneliti bagaimana kejadian dan peristiwa berlaku menurut sebab akibat yang mempunyai hukum alam tertentu.

Hukum-hukum alam inilah yang ditetapkan oleh Allah SWT. Apabila disebut bahawa hanya Allah SWT yang berhak menetapkan hukum, maka ia bukan bermaksud kepada undang-undang semata-mata.

Tetapi lebih mudah difahami bahawa Allah SWT yang menetapkan hukum alam.

Umpamanya, bagaimana hukum matematik menjadi sebegitu rupa. Manusia hanya menemui, memahami dan cuba menggunakan hukum-hukum itu untuk manfaatnya.

Hukum-hukum alam inilah yang menyebabkan manusia melakukan sesuatu tindakan, dan mempunyai perasaan terhadap apa yang berlaku.

Biologi, fisiologi, psikologi, neorologi dan segala ilmu mengenai manusia dapat menunjukkan bahawa hukum alam yang ditetapkan membuat manusia bertindak dan berasa terhadap sesuatu keadaan.

Allah SWT sudah menetapkan hukum-hukum alam ini terhadap manusia. Ia menjadi takdir.

Maka jika dapat dihayati kebesaran Tuhan mengenai hukum alam dan kaitannya dengan manusia, maka tidak wajarlah seseorang itu memiliki pandangan negatif terhadap apa jua peristiwa. Hidup perlu bersikap positif dan oleh itu ia wajar dianggap indah.

Mesej semua agama adalah kebahagiaan. Agama mengajar manusia supaya bersikap positif. Dengan adanya agama, seseorang itu akan dapat mengelak diri daripada bersedih. Dua sikap yang mampu menghalang seseorang daripada bersedih ialah sabar dan bersyukur.

Cakap memang mudah. Sabarlah. Bersyukurlah. Tetapi bagi yang menanggung kesusahan dan keperitan, kata-kata itu seperti hanya menambah kesakitan. Tetapi nasihat itu tetap mempunyai kebenaran.

Jika minda dapat dialihkan perhatian daripada kesusahan dan keperitan itu kepada menghayati nasihat sabar dan syukur, pasti kesannya adalah besar.

Justeru, terhadap apa yang telah berlaku pada tahun 2009, seseorang harus melihatnya dari kaca mata gembira, positif dan kesyukuran. Begitu juga dengan apa yang ada pada apa yang dijangka akan dihadapi pada tahun 2010.

Harapan dan sikap optimis akan membawa seseorang itu berasa bahagia. Tidakkah Islam mengajar manusia supaya tidak putus harap, dan wajar sentiasa bersangka baik tentang masa depan?

Namun begitu, mesej utama al-Quran adalah ajakan manusia supaya berfikir. Maknanya walaupun seseorang itu wajar bersifat positif, tetapi ia harus juga terus berpijak pada bumi nyata.

Realiti itu adalah hukum alam itu sendiri. Sabut itu timbul dan batu itu tenggelam adalah hukum alam. Ia realiti, dan itulah yang wajar menjadi hasil daripada usaha berfikir.

Antara realiti bagi Malaysia umpamanya ialah dalam soal ekonomi. Realitinya ialah kalau pertumbuhan ekonomi tidak dapat dipertahankan, maka sasaran Wawasan 2020 tidak akan dapat dicapai.

Mungkin negara ini mampu maju hanya pada tahun 2025. Lambat sedikit pun tidak mengapa asalkan sampai juga.

Tetapi perlu diakuri realiti kemunculan China, India, Vietnam dan Indonesia yang akan menumpulkan daya saing negara untuk menarik pelaburan. Begitu juga realiti bahawa produktiviti negara ini yang sepatutnya lebih tinggi.

Kalau tidak ada usaha dan kerajinan, bagaimanakah rakyat negara ini dapat menjana pendapatan tinggi?

Itu adalah realiti. Buat masa ini produktiviti ini terjejas dengan adanya banyak subsidi yang muncul dalam pelbagai bentuk.

Sedangkan pihak yang menerima subsidi ini pula bukan saja pihak yang susah dan memerlukan bantuan. Tetapi golongan senang turut menikmati subsidi ini. Malah pelancong yang datang ke negara ini juga menikmati subsidi ini.

Kerajaan telah memperkenalkan banyak rancangan ekonomi, termasuklah Model Ekonomi Baru. Begitu juga dengan apa yang disebut sebagai transformasi masyarakat.

Antara perkara penting yang hendak ditangani ialah memerangi jenayah. Sememangnya jenayah merupakan kisah duka melibatkan kematian, kesusahan dan penderitaan.

Tetapi jenayah berleluasa di negara ini tentunya mempunyai sebab-sebabnya. Ia hanya merupakan hasil daripada hukum alam yang berlaku.

Mengapakah kini rakyat Malaysia sudah tidak berasa selamat di negara sendiri? Pencuri, peragut dan perompak dari kalangan rakyat sendiri dan pendatang asing menjadikan hidup ini sukar hendak dianggap sebagai indah.

Tentulah rakyat negara ini amat sabar menghadapi ancaman jenayah ini. Tetapi kesabaran sebenar adalah berusaha untuk mengatasinya. Bukan menanggung begitu saja.

Syukurlah Kuala Lumpur belum menjadi Johannesburg sebagai tempat paling tinggi kadar jenayah. Tetapi untuk menjadikan hidup ini indah, Malaysia mesti bebas jenayah.