Khamis, 24 Disember 2009

Imbasan!


10 Tahun Lalu...

PM lancar duit syiling emas peringatan tahun 2000

Sedutan berita 10 tahun lalu, disiarkan pada 23 Disember 1999

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini melancarkan duit syiling emas peringatan tahun 2000 sempena kedatangan alaf baru yang mempunyai nilai muka RM500 setiap satu.

Syiling yang diperbuat daripada emas tulen 999.9 seberat 25 gram itu akan dijual pada harga RM2,000 setiap satu dan pemasarannya adalah terhad kepada sebanyak 10,000 unit sahaja.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman dalam majlis pelancaran syiling itu di sini berkata, terbitan syiling emas itu adalah yang pertama selepas syiling emas peringatan Dana Hidupan Liar Sedunia pada tahun 1992.

Bagi membayangkan sambutan kedatangan alaf baru, bahagian hadapan syiling itu dihias bermotifkan sirih junjung, kelengkapan tradisional Melayu bagi menyambut tetamu.

Ia juga turut dihiasi dengan dua bilah keris bagi membayangkan kesediaan negara menghadapi cabaran di alaf baru serta glob dan neutron yang mencerminkan negara sedang memacu ke arah era baru dengan berlandaskan teknologi maklumat dalam persekitaran yang lebih global.

Syiling emas itu dimuatkan dalam bekas pewter yang dihiasi corak awan larat berkerawang dan replika duit syiling emas kijang pada penutupnya.

Syiling emas peringatan tahun 2000 itu boleh didapati di Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. atau di cawangan terpilih RHB Bank Bhd., Public Bank Bhd., Malayan Banking Bhd. dan Bumiputra-Commerce Bank Bhd.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

TEKS UCAPAN DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD DI PALACE OF THE GOLDEN HORSES, KUALA LUMPUR PADA 23/12/99 SEMPENA MAJLIS PELANCARAN DUIT SYILING EMAS PERINGATAN TAHUN 2000

Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Bank Negara kerana sudi menjemput saya untuk melancarkan Duit Syiling Emas Peringatan sempena Tahun 2000 pada hari ini.

2. Saya juga bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana atas limpah kurnia-Nya kita dapat bersama- sama dalam majlis yang istimewa pada bulan Ramadan yang mulia ini.

3. Kedatangan alaf baru Masehi sudah pasti akan membawa berbagai-bagai cabaran dan peluang kepada negara dan rakyat. Untuk menyediakan diri dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, banyak sejarah negara boleh dijadikan iktibar dan pedoman. Apa yang pasti ialah kita perlu sentiasa berwaspada, bertekad dan mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan maruah, kedaulatan dan martabat bangsa.

4. Sejarah negara telah memperlihatkan jatuh bangunnya peradaban dan kebangkitan semangat juang yang jitu. Pengalaman hidup di bawah penjajahan Inggeris telah melihatkan bagaimana hasil mahsul negara dieksploitasikan semata-mata untuk kepentingan dan kemakmuran negara penjajah. Rakyat jelata dibiarkan hidup di bawah belenggu kemiskinan dan kemunduran.

5. Sejak negara mencapai kemerdekaan 42 tahun yang lalu, Kerajaan serta rakyat telah berganding bahu bekerja kuat untuk bersama-sama membina dan membangunkan negara. Kini kita boleh berbangga kerana Malaysia sudah diiktiraf sebagai sebuah negara contoh bagi dunia ketiga, disegani dan dihormati oleh seluruh masyarakat dunia. Formula pembangunan Malaysia telah menjadi model kepada negara-negara membangun yang kagum dengan pencapaian ekonomi, keharmonian kaum dan keindahan negara kita.

6. Walaupun kita telah lama bebas daripada belenggu penjajahan, kita masih berdepan dengan penjajahan berbentuk baru yang dikenali sebagai neo-kolonialisme. Penjajahan ini telah dirancang dalam berbagai-bagai bentuk termasuk melalui proses globalisasi untuk menjayakan penjajahan ekonomi dan perdagangan ke atas negara-negara membangun dan negara-negara termiskin di dunia. Salah satu gejalanya ialah kegawatan ekonomi yang melanda rantau ini pada pertengahan tahun 1997. Kesannya amat buruk sekali. Pendapatan negara dan kuasa beli rakyat telah terhakis dengan ketara. Dalam tempoh yang singkat itu, pada anggaran kasar pencapaian ekonomi, kemakmuran dan kemajuan negara telah dimundurkan selama lebih kurang 10 tahun ke belakang. Bagi negara-negara jiran yang kurang bernasib baik, mereka terpaksa menanggung kesan buruk kemelesetan ekonomi yang lebih teruk. Rakyat mereka juga terpaksa menanggung kos sosial yang amat berat akibat perpecahan dan rusuhan yang dicetuskan oleh kegawatan ekonomi itu.

7. Dalam hal ini negara kita adalah jauh lebih bernasib baik. Pengurusan ekonomi yang berhemat dan pragmatik telah menghasilkan kadar pertumbuhan ekonomi pada purata lapan peratus setahun untuk selama satu dekad. Walaupun negara tidak terkecuali daripada kesan buruk krisis ekonomi, namun asas ekonomi yang kukuh itu telah membolehkan kita mengurangkan kesan buruk krisis ekonomi yang dialami. Di samping itu, kita juga telah memilih untuk tidak menerima pakai pendekatan IMF dalam menangani krisis tersebut. Kita berjaya mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara dengan cara kita sendiri melalui langkah-langkah dan dasar-dasar ala Malaysia bagi mengatasi kegawatan ekonomi negara.

8. Langkah-langkah tersebut kini sudah mula membuahkan hasil yang amat positif. Ekonomi negara telah pulih dengan baik setelah mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus pada suku tahun ketiga 1999, iaitu satu kadar yang paling tinggi pernah dicatatkan sejak krisis kewangan. Dengan pencapaian ini, negara telah terkeluar daripada kemelesetan ekonomi yang telah melanda negara selama kira-kira satu tahun setengah.

9. Mengangkat martabat maruah bangsa; mempertingkat taraf ekonomi rakyat; memastikan kesejahteraan negara yang berterusan dan pengagihan kekayaan secara saksama di kalangan rakyat telah menjadi matlamat Kerajaan yang utama; bahkan ia juga merupakan formula kemakmuran negara walaupun negara kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum.

10. Dengan pemulihan ekonomi yang ketara, di ambang alaf baru ini Kerajaan yang telah sekali lagi diberi kepercayaan oleh rakyat berkeyakinan akan dapat mengatasi cabaran-cabaran yang akan dihadapi pada tahun 2000 nanti. Masanya adalah sesuai sekali sekarang untuk menghasilkan duit syiling emas peringatan sebagai tanda tibanya alaf baru ini, tanda permulaan perjuangan yang baru bagi negara.

11. Saya mengucapkan syabas kepada Bank Negara Malaysia dan Syarikat Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd. kerana berjaya menerbitkan duit syiling peringatan alaf baru ini. Saya mengambil maklum bahawa unsur-unsur tradisional telah diabadikan bukan sahaja dalam motif duit syiling tetapi juga pada rekabentuk kotaknya. Pada masa yang sama unsur-unsur zaman teknologi moden juga turut dijalinkan dalam motif duit syiling itu untuk mempamerkan kecanggihan negara dalam menjejaki ketangkasan kemajuan teknologi moden sempena kita melangkah ke alaf baru.

12. Usaha sedemikian patut diberi pujian dan disokong penuh oleh semua pihak. Peristiwa penting seperti ketibaan alaf baru ini, walaupun tidak dapat dilakarkan sepenuhnya di dalam sekeping duit syiling, namun penerbitannya merupakan salah satu cara untuk kita mengingatkan tentang peranan dan tanggungjawab bersama dalam merangsang semangat cintakan budaya bangsa dan sokongan terhadap aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

13. Duit syiling peringatan ini sememangnya akan mengkayakan lagi koleksi numismatik tempatan. Walau bagaimanapun yang lebih penting ialah penerbitannya mencerminkan keupayaan kita menghasilkan duit syiling yang bertaraf antarabangsa daripada segi mutu, nilai estetika dan rekabentuk, di samping mempamerkan Malaysia sebagai negara yang serba boleh dan berjaya.

14. Dengan kata-kata ini saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Duit Syiling Emas Peringatan Alaf Baru.

Isnin, 21 Disember 2009

Info Dunia Malaysia


10 TAHUN LALU…
Peristiwa menarik sepanjang 1999

TABIR 2010 bakal menjelma beberapa hari lagi, meninggalkan deretan peristiwa pahit dan manis yang berlaku sepanjang 2009. Sebelum meninggalkan 2009, elok kita imbas kembali pelbagai peristiwa menarik yang meninggalkan kita 10 tahun lalu.

Apa yang berlaku sepuluh tahun lalu, disiarkam di bawah ini. Selamat datang Tahun 2010 yang juga mempunyai berbagai peristiwa berlaku sepuluh tahun lalu...

1. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad lancar duit syiling emas peringatan 2009 sempena kedatangan alaf baru yang mempunyai nilai muka RM500 setiap satu.

2. Rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo, Datuk Azhar Mansor. Beliau mula belayar 2 Februari 1999, sejauh 40,000km selama 190 hari. Beliau juga merupakan pelayar pertama menggunakan laluan Timur-Barat.

3. Penjelajahan Kutub Utara – 2 orang adik beradik, Justin Maurice Read dan Gerald Malcolm. Read merupakan anak Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Kutub Utara. Mereka tiba pada 19 April 1999 setelah berjalan sejauh 111km pada suhu -10 hingga -30 darjah celcius di bawah paras beku.

4. Penerjunan dari Menara Kuala Lumpur - Dua penerjun tempatan, Leftenan (B) A Aziz Ahmad dan Kapten (B) Abdul Rahmat Omar, mencatat sejarah apabila menjadi kumpulan pertama melakukan penerjunan Base dari ketinggian 300 meter di Menara Kuala Lumpur, pada 4 Oktober 1999.

5. Litar Antarabangsa Sepang - Pada 15 - 17 Oktober 1999, Malaysia buat kali pertama telah menganjurkan acara paling berprestij dalam sukan lumba motor iaitu Kejohanan Dunia Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang.

6. Penyelidikan di Antartika – Empat anak Malaysia jadi saintis pertama dunia berjaya mengumpul sampel bahan organik dan bukan organik di utara Antartika pada Oktober 1999.

Mereka menjalankan penyelidikan mengenai perbandingan pencemaran udara di Antartika dan kajian lapisan udara permukaan benua tersebut memandangkan kawasan tersebut mempunyai atmosfera paling bersih berbanding dengan tempat yang dipenghuni oleh manusia di dunia ini.

Antara yang terlibat adalah Prof Madya Dr Azizan Abu Samah, Prof Madya Dr Nik Mariam Sulaiman, Prof Madya Dr Nor saadah Abdu Rahman dan Prof Madya Dr Mohd Radzi Abas.

7. Rosyam Nor, pelakon filem Lenjan menang anugerah Best Supporting Actor di 44th Asia Pacific Film Festival di Bangkok, Thailand, pada 21 hingga 27 November 1999. Inilah trofi tunggal dimenangi negara dalam festival ini.

8. Festival Filem Malaysia (FFM) ke-14 di Hotyel Syuen, Ipoh, Perak pada 5 November 1999. Anugerah Panca Delima menjadi milik Jogho sebagai filem terbaik, U-Wei (sutradara terbaik), Khalid Salleh (pelakon lelaki terbaik filem Jogho), Rosyam Nor (Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik filem Puteri Impian), Amy Mastura (pelakon wanita terbaik filem Puteri Impian), Aliah Lee (Pelakon pembantu wanita filem Bara), U-Wei (lakonlayar terbaik filem Jogho), Saari Amri (skor musik terbaik filem Lenjan), Eizlan Yusof (pelakon harapan lelaki terbaik Puteri Impian), Nasha Aziz (Pelakon harapan wanita terbaik filem Perempuan Melayu Terakhir), Ismail Yaakob (sutradara harapan filem Bara)

9. Siti Nurhaliza menang Juara Pertandingan Lagu-Lagu di Shanghai, China.

10. Dayang Nurfaizah muncul dengan album solo pertamanya berjudul Dayang Nurfaizah terbitan NSR Records.

11. Dhalan Zainuddin menjadi artis pertama rakaman Sony Music muncul dengan album yang diterbitkan dalam bentuk CD. Album tersebut berjudul Diam-Diam Rindu.

Ahad, 20 Disember 2009

Esei Akhir Penghujung 2009

Berakhir dasawarsa pertama alaf kedua

31 Disember ini maka berakhirlah tahun 2009. Jika dekad ini dikira dari tahun 2000, maka ia juga menandakan penghujung dasawarsa pertama bagi abad ke-21 dan alaf kedua.

Dekad dan dasawarsa mempunyai sama maksud. Dasa ialah sepuluh dan warsa ialah tahun, dari perkataan Sanskrit. Dekad dari perkataan Inggeris, decade.

Abad dan kurun mempunyai makna serupa. Sementara perkataan lain daripada alaf ialah milenium. Satu daripada bahasa Arab, dan satu lagi bahasa Inggeris. Bahasa Melayu diperkayakan oleh perkataan-perkataan Sanskrit, Arab dan Inggeris.

Bahasa Sanskrit sudah lama mati, Tetapi ia diwarisi oleh Hindi dan Urdu. Bahasa Melayu amat selesa dengan perkataan-perkataan daripada bahasa Sanskrit. Seperti Latin, Sanskrit menjadi bahasa yang mampu mengungkap buah fikiran bertahap tinggi.

Tetapi kedua-duanya telah pupus.

Hindi, bahasa rasmi India mewarisi Sanskrit. Pada zaman India diperintah Islam, iaitu oleh Moghul, bahasa Parsi yang dibawanya terterap ke dalam Hindi untuk melahirkan Urdu. Dengan gabungan Sanskrit dan Parsi, Urdu muncul sebagai bahasa indah.

Kedua-dua Hindi dan Urdu muncul sebagai bahasa yang indah, sedap didengar oleh telinga Melayu. Cuba dengar dialog dalam filem Bollywood, dengan mudah ia menjadi ajukan bagi peminat dari kalangan orang Melayu.

Apatah lagi muzik dan lagu Hindustan. Dengan alatan muzik yang begitu mengasyikkan bagi orang Melayu.

Kini, Urdu adalah bahasa rasmi Pakistan, negara Islam yang lahir daripada perpecahan India. Bahasa ini menggunakan tulisan seperti yang digunakan oleh Parsi.

Keindahan Urdu dapat dinikmati dengan mendengar puisi Muhammad Iqbal, penyair India yang merindukan penubuhan negara Islam Pakistan.

Parsi pula adalah bahasa yang indah. Kedatangan Islam ke negara itu menjadikan Parsi menggunakan aksara Arab sebagai tulisannya. Tetapi ia mengubah suai untuk memadankan kegunaannya bagi bahasa itu. Khatnya juga berbeza daripada tulisan yang banyak digunakan oleh orang Arab.

Keindahan Parsi sampai kemuncaknya pada zaman Khilafah Abasiah. Walaupun kepimpinannya adalah Arab Syunnah wal Jamaah tetapi kerajaannya memerintah dengan mandat yang diterima daripada Syiah dan orang Parsi.

Maka bahasa Abasiah adalah Arab dan Parsi.

Apabila Mongol datang dan menakluki kerajaan Abasiah, ia mendapati suatu tamadun yang besar. Bukannya orang Parsi jadi Mongol. Tetapi mereka yang menjadi Parsi.

Pemerintahan merekalah yang menakluki Afghanistan dan India, dan kemudian dikenali sebagai Moghul.

Dunia Melayu, Nusantara yang terasnya di Jawa, Sumatera dan Tanah Melayu selesa dengan persuratan India, Parsi dan Arab. Sebab itu dalam bahasa Melayu terdapat banyak perkataan bertahap tinggi dari bahasa Sanskrit, Parsi dan Arab.

Bukan itu saja, tamadun dan budaya yang diminati oleh orang Melayu juga datang dari Arab, Parsi dan India. Bila sebut Arab dan Parsi, pusat asalnya ialah di Baghdad bermula dengan pemerintahan Abasiah.

Tetapi pengaruh India adalah lebih awal lagi apabila Sriwijaya, Majapahit dan kerajaan sezamannya mengambil tamadun yang berasaskan Sanskrit. Pemerhati sering melihat sesuatu tamadun dari sudut agama, iaitu Hindu, Buddha dan Islam.

Tetapi cuba lihat dari sudut bahasa, iaitu Sanskrit, Parsi dan Arab, mungkin ia lebih membuka pemahaman kepada jati diri Melayu.

Sememangnya kemudian Inggeris, baik dalam bentuk British mahupun Amerika menawan India, Iran dan Iraq hingga menghancurkan tamadun gemilang di situ. Dunia Melayu pula bukan saja dikuasai Inggeris tetapi juga Belanda dan Portugis.

Maka bahasa Melayu turut dipengaruhi ketiga bahasa Barat itu. Masuklah perkataan-perkataan Portugis, Belanda dan Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Tetapi perkataan daripada bahasa Inggeris lah yang paling banyak dan secara terus terusan masuk.

Tetapi bagi orang Melayu, perkataan dari bahasa Sanskrit, Arab dan Parsi adalah lebih selesa digunakan daripada Inggeris.

Cuba lihat, walaupun dasawarsa itu panjang daripada dekad, tetapi ia lebih dirasakan indah. Begitu juga dengan abad atau kurun. Tidak ada orang Melayu mahu mengambil perkataan century bagi menggantikan abad.

Walaupun ada orang menggunakan milenium atau milenia, tetapi alaf lebih indah, malah ringkas..

Contoh lain ialah bangunan. Tidakkah indah bagi bahasa Melayu untuk menggunakan perkataan wisma daripada building. Atau menara daripada tower. Begitu juga nama tempat. Damansara, Titiwangsa, Melawati, Mahameru dan seumpamanya adalah dari bahasa Sanskrit.

Cuba bandingkan dengan Brickfields, Glenmarie, Cameron dan Butterworth. Mana lebih indah?

Pada tahun 1970-an, sememangnya bahasa Melayu sedang bangkit. Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia berpakat melalui persamaan ejaan sebagai usaha untuk menjadikan Melayu bahasa tamadun.

Kedua-dua negara di bawah pimpinan Tun Razak dan Suharto sedang muncul sebagai teras ASEAN yang mahu membawa kemakmuran baru di Nusantara. Andai kata ketika itu Indonesia dan Malaysia berjaya menjadi negara berekonomi maju, maka bahasa Melayu akan turut bangkit. Singapura pasti akan mengutamakan bahasa Melayu.

Setelah 20 tahun, Indonesia gagal muncul sebagai negara maju. Malaysia saja tidak mampu menjulang bahasa Melayu.

Ketika yang sama hegemoni Inggeris mula memantap. Kesatuan Soviet kalah dalam Perang Dingin kepada Amerika. Inggeris mengalahkan Rusia. Globalisasi berlaku dengan Inggeris sebagai bahasanya.

Akibat Perang Dingin berakhir, maka rangkaian ketenteraan yang kemudian menjadi Internet tertebar ke seluruh dunia, bahasa mereka ialah inggeris.

Maka orang Melayu kini merasakan untuk bersaing mereka mesti berbahasa Inggeris. - oleh Zin Mahmood

Jumaat, 18 Disember 2009

Mesej PM


Ruh hijrah bertepatan idea 1Malaysia: PM

Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana Menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana Menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya. - BERNAMA

Khamis, 17 Disember 2009

Majlis!







Sekitar seminar Akademi Dunia Sains Islam (IAS) Ke-17
BARU-BARU ini telah berlangsung sidang Akademi Dunia Sains Islam Ke-17 di Shah Alam, Selangor. Seminar yang diadakan empat hari itu, bermula 14 Disember lalu, dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Ibni Al-Marhum Sultan Salehuddin.
Di majlis ini, turut hadir Tun Mahathir Mohammad yang memberi ucaptama dan menerima tepukan gemuruh peserta seminar dari seluruh dunia.
Turut hadir, Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, anggota EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan para pemimpin PKR. Disiarkan beberapa foto di majlis ini sebagai tatapan umum yang dirakamkan jurufoto profesional, Tuan Minaq Jaggat. Terima kasih.

Selasa, 15 Disember 2009

Esei Minggu Ini











Seorang Hussein jadi Presiden AS
DALAM
sejarah moden, empat negara telah dipimpin oleh seorang yang bernama Hussein. Malaysia pernah dipimpin oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Sementara Jordan pula pernah dipimpin oleh Almarhum Almalik Hussein. Tetapi tentunya Hussein paling terkenal ialah Saddam Hussein yang menyebabkan Iraq ditawan oleh Amerika Syarikat.
Penaklukan Iraq oleh George Walker Bush membuatkan orang Amerika juga marah. Maka antara perkara itulah yang memungkinkan rakyat Amerika memilih Barack Hussein Obama. Beliau ialah Hussein keempat dan terbaharu yang memerintah sebuah negara moden ekoran pengangkatan sumpah beliau pada 20 Januari lalu. Tentu nama Hussein yang ada padanya tidak akan dibesar-besarkan oleh media Barat kerana bukan saja ia merupakan nama tengah di mana di Amerika ia sering tidak disebut tetapi namanya yang berasal Islam itu hanya menimbulkan rasa tidak wajar oleh rakyat Amerika.
Maka ketika semua stesyen televisyen hanya menyebut nama Barack Obama, rangkaian Al-Jazeera terang-terang memaparkan namanya sebagai Barack Hussein Obama. Begitulah ironi hidup. Setelah menumbangkan seorang Presiden bernama Hussein di Iraq, kini Amerika memperoleh Presiden bernama Hussein.
Malangnya sebelum Obama mengangkat sumpah, Israel menyerang Gaza dan membunuh lebih 1,000 orang Palestin. Pada hari Obama mengangkat sumpah, Israel mengundurkan semua tenteranya dari Gaza. Adakah ini merupakan perancangannya untuk menghancurkan Gaza pada hari-hari akhir pemerintahan Bush? Kemudian serta-merta menghentikan serangan ke atas Gaza apabila Amerika memperoleh Presiden baru. Adakah perkara ini semuanya kebetulan?
Dan pada keesokan harinya juga mungkin kebetulan TV2 pada sebelah malamnya menyiarkan filem The Independence Day, sebuah filem fiksyen sains Hollywood yang sarat dengan mesej patriotisme Amerika. Tentu dalam keadaan banyak umat Islam yang sedang memboikot barangan Israel dan Amerika serta berasa benci terhadap kedua-dua negara, penayangan filem ini menimbulkan rasa serba pelik.
Independence Day dibikin pada tahun 1996. Ia menceritakan bagaimana makhluk asing menakluk planet bumi tetapi berjaya dikalahkan pada 24 Julai iaitu tarikh hari kemerdekaan Amerika. Maka dengan kemenangan itu, 24 Julai turut dihebahkan sebagai hari kemerdekaan bumi. Tidakkah ia mengandungi mesej bahawa Amerika yang menakluk dunia?
Dalam filem itu, kota-kota Amerika diserang teruk oleh kapal angkasa makhluk asing. New York, Washington dan Los Angeles musnah kerana serangan udara makhluk asing yang menggunakan bantuan satelit milik manusia. Maka dibicarakan betapa makhluk asing menggunakan peralatan milik Amerika untuk memusnahkannya.
Pada tahun 1996, Pusat Dagangan Dunia (WTC) belum diserang dan runtuh lagi. Maka dapat dilihat tersergam dua menara itu dalam filem tersebut. Tetapi kapal angkasa makhluk asing memusnahkan bandar-bandar itu termasuk White House. Pada tahun itu tentunya tidak ada sesiapa boleh sangka akan berlaku Peristiwa 11 September pada tahun 2001 di mana WTC runtuh apabila dirempuh oleh kapal terbang penumpang Amerika. Pengganas menggunakan peralatan Amerika untuk memusnahkan negara itu, selain dari WTC, ia juga mensasarkan Pentagon dan White House tetapi gagal.
Namun begitu, melihat filem Independence Day itu, runtuhan yang dilihat daripada bandar New York dan Los Angeles yang diserang oleh makhluk asing mengingatkan para penonton betapa ada persamaan gambaran antaranya dengan kemusnahan Gaza akibat serangan Israel. Bagi rakyat Palestin di Gaza, tentera Israel merupakan makhluk asing yang mahu memusnahkan kehidupan. Dalam cerita itu, Presiden Amerika adalah bekas juruterbang tentera yang cenderung untuk berperang. Tetapi ia memaparkan betapa kejayaan mengalahkan makhluk asing dapat dilakukan hasil daripada kecerdikan buah fikiran seorang penganut Yahudi. Maka idea yang merupakan kunci kemenangan manusia mengalahkan makhluk asing itu pula dilakukan oleh dua wira Amerika, seorang Yahudi dan seorang kulit hitam dilakonkan oleh aktor Will Smith sebagai ketua juruterbangnya. Mungkinkah ia menggambarkan suatu era akan datang di mana pemimpin Amerika yang berkulit hitam bekerjasama dengan pihak Yahudi untuk menentang makhluk asing. Maka adalah kebetulan bahawa tahun 2009 menyaksikan kejayaan Obama sebagai Presiden Amerika dapat dijayakan dengan sokongan lobi Yahudi.
Selain itu, dalam filem Independence Day, tentera bukan Amerika yang membantu dipaparkan datang dari Iraq dan Israel. Ia ditunjukkan melalui bendera mereka di mana tentera kedua-dua negara itu bekerjasama menentang makhluk asing di bawah pimpinan Amerika. Paparan itu merupakan satu ironi kerana ia dibikin lama jauh sebelum Iraq diserang dan ditawan Amerika. Perang Iraq itu berlangsung mulai tahun 2003 dan banyak penganalisis melihat antara sebab ia dilakukan adalah untuk menyelamatkan Israel. Kini Iraq seperti juga Israel adalah sekutu Amerika, suatu yang telah digambarkan oleh filem tahun 1996 itu.
Sememangnya Hollywood gemar mengeluarkan filem bencana dan kemusnahan di mana Amerika digambarkan sebagai sebuah negara baik yang sentiasa diancam. Maka seringkali gambaran pemusnahan ditunjukkan baik melalui bencana alam semula jadi mahupun serangan ketenteraan di pihak luar. Sedangkan pada hakikatnya, Amerika banyak melancarkan serangan terhadap negara-negara lain serta merestui Israel melakukannya terhadap jiran-jirannya. - Oleh Zin Mahmood

Ahad, 13 Disember 2009

Fikirkanlah..





Bumi tak mampu tampung dunia maju

UNTUNG tinggal di negara-negara maju. Menurut penyelidik Denmark dalam laporan Jumaat lalu, lebih separuh daripada bayi dilahirkan di negara-negara maju mungkin hidup sehingga berusia 100 tahun jika arah aliran jangka hayat sekarang berterusan.

Mereka dapat menikmati jangka hayat yang panjang dan mutu kehidupan lebih baik dapat difahami. Negara-negara maju itu kini berada di rantau Eropah Barat, Amerika Utara, Jepun dan Australia serta New Zealand.

Dalam banyak-banyak negara itu, ada sebilangan kecil daripadanya dilihat sebagai negara yang paling makmur, permai dan menjadi idaman bagi banyak manusia dari seluruh dunia.

Negara-negara itu ialah Switzerland, Austria, New Zealand dan yang berada dalam rantau Scandinavia. Rantau itu terdiri daripada Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Iceland.

Jadi pada keseluruhannya, hanya sebilangan kecil negara di dunia yang menjadi maju, Di kalangan negara-negara maju, hanya sebilangan kecil yang dilihat begitu makmur dan permai.

Sedangkan majoriti negara-negara di dunia adalah miskin, susah, menderita, kacau-bilau, dilanda peperangan dan bencana. Maka majoriti manusia hidup dalam kesusahan, bahaya, jangka hayat pendek dan kekurangan makanan.

Tentulah negara-negara lain juga ingin menjadi maju, makmur dan permai. Tetapi kebanyakan negara selepas lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan, tidak menampakkan pula tanda-tanda akan menjadi negara maju.

Walaupun China yang kini dianggap sebagai negara paling pesat membangun dan menyambut ulang tahun penubuhan negara komunis Republik Rakyat China pada Rabu lalu, perjalanannya untuk menjadi negara maju masih jauh.

Malaysia juga bercita-cita untuk menjadi negara maju dan rangka perjalanannya ke arah itu telah diungkapkan melalui gagasan Wawasan 2020.

Pada asalnya Malaysia termasuk juga Singapura. Malah kalau hendak dikira cadangan asal, ia juga meliputi Brunei.

Andai katalah dahulu, Malaysia yang asal dapat bertahan, mungkin kedudukannya untuk menjadi negara maju lebih terserlah. Buat masa ini Singapura secara bersendirian telah mencapai tahap negara maju.

Tetapi bukan saja Malaysia, negara-negara lain juga mahu menjadi maju. Cuma jalan yang dilalu Malaysia lebih nyata.

Dan hakikatnya ialah jalan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 memerlukan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak lapan peratus, sesuatu yang sukar dengan krisis masa kini memandangkan sepanjang 10 tahun lalu, purata kadar pertumbuhan hanyalah lima peratus.

Katakanlah banyak negara di dunia yang mengikut jejak rancangan wawasan Malaysia. Persoalannya, adakah bumi ini mampu menampung semua negara di dunia sebagai negara maju?

Sedangkan apa yang dinikmati oleh negara- negara maju sekarang adalah kerana hanya mereka yang menjadi negara maju. Sumber bumi kebanyakannya dicurahkan kepada mereka dan dinafikan daripada dinikmati oleh negara-negara lain.

Jika negara-negara lain turut menjadi maju, maka negara-negara maju sekarang tidak akan dapat mempertahankan tahap kemakmuran mereka. Dalam keadaan begini sebenarnya, persaingan sengit sedang berlaku antara negara.

Jadi apa yang berlaku sekarang ialah terdapat dua sisi pertembungan yang akhirnya akan menentukan ke mana nasib bumi dan manusia.

Pertama, usaha sengit akan terus berlaku oleh banyak penduduk di kalangan negara-negara miskin. Mereka juga mahu maju dan makmur. Tetapi dunia tidak mampu untuk memberikan kemakmuran kepada semua negara.

Maka pihak negara maju akan berusaha untuk menekan sebarang usaha yang akan mengurangkan kemakmuran mereka. Konflik tidak dapat dielakkan.

Untuk elak konflik, maka timbul gerakan yang mahu manusia hidup sederhana dengan mengambil kira kemampuan bumi. - Oleh Zin Mahmud