Selasa, 15 Disember 2009

Esei Minggu Ini











Seorang Hussein jadi Presiden AS
DALAM
sejarah moden, empat negara telah dipimpin oleh seorang yang bernama Hussein. Malaysia pernah dipimpin oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Sementara Jordan pula pernah dipimpin oleh Almarhum Almalik Hussein. Tetapi tentunya Hussein paling terkenal ialah Saddam Hussein yang menyebabkan Iraq ditawan oleh Amerika Syarikat.
Penaklukan Iraq oleh George Walker Bush membuatkan orang Amerika juga marah. Maka antara perkara itulah yang memungkinkan rakyat Amerika memilih Barack Hussein Obama. Beliau ialah Hussein keempat dan terbaharu yang memerintah sebuah negara moden ekoran pengangkatan sumpah beliau pada 20 Januari lalu. Tentu nama Hussein yang ada padanya tidak akan dibesar-besarkan oleh media Barat kerana bukan saja ia merupakan nama tengah di mana di Amerika ia sering tidak disebut tetapi namanya yang berasal Islam itu hanya menimbulkan rasa tidak wajar oleh rakyat Amerika.
Maka ketika semua stesyen televisyen hanya menyebut nama Barack Obama, rangkaian Al-Jazeera terang-terang memaparkan namanya sebagai Barack Hussein Obama. Begitulah ironi hidup. Setelah menumbangkan seorang Presiden bernama Hussein di Iraq, kini Amerika memperoleh Presiden bernama Hussein.
Malangnya sebelum Obama mengangkat sumpah, Israel menyerang Gaza dan membunuh lebih 1,000 orang Palestin. Pada hari Obama mengangkat sumpah, Israel mengundurkan semua tenteranya dari Gaza. Adakah ini merupakan perancangannya untuk menghancurkan Gaza pada hari-hari akhir pemerintahan Bush? Kemudian serta-merta menghentikan serangan ke atas Gaza apabila Amerika memperoleh Presiden baru. Adakah perkara ini semuanya kebetulan?
Dan pada keesokan harinya juga mungkin kebetulan TV2 pada sebelah malamnya menyiarkan filem The Independence Day, sebuah filem fiksyen sains Hollywood yang sarat dengan mesej patriotisme Amerika. Tentu dalam keadaan banyak umat Islam yang sedang memboikot barangan Israel dan Amerika serta berasa benci terhadap kedua-dua negara, penayangan filem ini menimbulkan rasa serba pelik.
Independence Day dibikin pada tahun 1996. Ia menceritakan bagaimana makhluk asing menakluk planet bumi tetapi berjaya dikalahkan pada 24 Julai iaitu tarikh hari kemerdekaan Amerika. Maka dengan kemenangan itu, 24 Julai turut dihebahkan sebagai hari kemerdekaan bumi. Tidakkah ia mengandungi mesej bahawa Amerika yang menakluk dunia?
Dalam filem itu, kota-kota Amerika diserang teruk oleh kapal angkasa makhluk asing. New York, Washington dan Los Angeles musnah kerana serangan udara makhluk asing yang menggunakan bantuan satelit milik manusia. Maka dibicarakan betapa makhluk asing menggunakan peralatan milik Amerika untuk memusnahkannya.
Pada tahun 1996, Pusat Dagangan Dunia (WTC) belum diserang dan runtuh lagi. Maka dapat dilihat tersergam dua menara itu dalam filem tersebut. Tetapi kapal angkasa makhluk asing memusnahkan bandar-bandar itu termasuk White House. Pada tahun itu tentunya tidak ada sesiapa boleh sangka akan berlaku Peristiwa 11 September pada tahun 2001 di mana WTC runtuh apabila dirempuh oleh kapal terbang penumpang Amerika. Pengganas menggunakan peralatan Amerika untuk memusnahkan negara itu, selain dari WTC, ia juga mensasarkan Pentagon dan White House tetapi gagal.
Namun begitu, melihat filem Independence Day itu, runtuhan yang dilihat daripada bandar New York dan Los Angeles yang diserang oleh makhluk asing mengingatkan para penonton betapa ada persamaan gambaran antaranya dengan kemusnahan Gaza akibat serangan Israel. Bagi rakyat Palestin di Gaza, tentera Israel merupakan makhluk asing yang mahu memusnahkan kehidupan. Dalam cerita itu, Presiden Amerika adalah bekas juruterbang tentera yang cenderung untuk berperang. Tetapi ia memaparkan betapa kejayaan mengalahkan makhluk asing dapat dilakukan hasil daripada kecerdikan buah fikiran seorang penganut Yahudi. Maka idea yang merupakan kunci kemenangan manusia mengalahkan makhluk asing itu pula dilakukan oleh dua wira Amerika, seorang Yahudi dan seorang kulit hitam dilakonkan oleh aktor Will Smith sebagai ketua juruterbangnya. Mungkinkah ia menggambarkan suatu era akan datang di mana pemimpin Amerika yang berkulit hitam bekerjasama dengan pihak Yahudi untuk menentang makhluk asing. Maka adalah kebetulan bahawa tahun 2009 menyaksikan kejayaan Obama sebagai Presiden Amerika dapat dijayakan dengan sokongan lobi Yahudi.
Selain itu, dalam filem Independence Day, tentera bukan Amerika yang membantu dipaparkan datang dari Iraq dan Israel. Ia ditunjukkan melalui bendera mereka di mana tentera kedua-dua negara itu bekerjasama menentang makhluk asing di bawah pimpinan Amerika. Paparan itu merupakan satu ironi kerana ia dibikin lama jauh sebelum Iraq diserang dan ditawan Amerika. Perang Iraq itu berlangsung mulai tahun 2003 dan banyak penganalisis melihat antara sebab ia dilakukan adalah untuk menyelamatkan Israel. Kini Iraq seperti juga Israel adalah sekutu Amerika, suatu yang telah digambarkan oleh filem tahun 1996 itu.
Sememangnya Hollywood gemar mengeluarkan filem bencana dan kemusnahan di mana Amerika digambarkan sebagai sebuah negara baik yang sentiasa diancam. Maka seringkali gambaran pemusnahan ditunjukkan baik melalui bencana alam semula jadi mahupun serangan ketenteraan di pihak luar. Sedangkan pada hakikatnya, Amerika banyak melancarkan serangan terhadap negara-negara lain serta merestui Israel melakukannya terhadap jiran-jirannya. - Oleh Zin Mahmood

Ahad, 13 Disember 2009

Fikirkanlah..





Bumi tak mampu tampung dunia maju

UNTUNG tinggal di negara-negara maju. Menurut penyelidik Denmark dalam laporan Jumaat lalu, lebih separuh daripada bayi dilahirkan di negara-negara maju mungkin hidup sehingga berusia 100 tahun jika arah aliran jangka hayat sekarang berterusan.

Mereka dapat menikmati jangka hayat yang panjang dan mutu kehidupan lebih baik dapat difahami. Negara-negara maju itu kini berada di rantau Eropah Barat, Amerika Utara, Jepun dan Australia serta New Zealand.

Dalam banyak-banyak negara itu, ada sebilangan kecil daripadanya dilihat sebagai negara yang paling makmur, permai dan menjadi idaman bagi banyak manusia dari seluruh dunia.

Negara-negara itu ialah Switzerland, Austria, New Zealand dan yang berada dalam rantau Scandinavia. Rantau itu terdiri daripada Sweden, Norway, Denmark, Finland dan Iceland.

Jadi pada keseluruhannya, hanya sebilangan kecil negara di dunia yang menjadi maju, Di kalangan negara-negara maju, hanya sebilangan kecil yang dilihat begitu makmur dan permai.

Sedangkan majoriti negara-negara di dunia adalah miskin, susah, menderita, kacau-bilau, dilanda peperangan dan bencana. Maka majoriti manusia hidup dalam kesusahan, bahaya, jangka hayat pendek dan kekurangan makanan.

Tentulah negara-negara lain juga ingin menjadi maju, makmur dan permai. Tetapi kebanyakan negara selepas lebih 60 tahun mencapai kemerdekaan, tidak menampakkan pula tanda-tanda akan menjadi negara maju.

Walaupun China yang kini dianggap sebagai negara paling pesat membangun dan menyambut ulang tahun penubuhan negara komunis Republik Rakyat China pada Rabu lalu, perjalanannya untuk menjadi negara maju masih jauh.

Malaysia juga bercita-cita untuk menjadi negara maju dan rangka perjalanannya ke arah itu telah diungkapkan melalui gagasan Wawasan 2020.

Pada asalnya Malaysia termasuk juga Singapura. Malah kalau hendak dikira cadangan asal, ia juga meliputi Brunei.

Andai katalah dahulu, Malaysia yang asal dapat bertahan, mungkin kedudukannya untuk menjadi negara maju lebih terserlah. Buat masa ini Singapura secara bersendirian telah mencapai tahap negara maju.

Tetapi bukan saja Malaysia, negara-negara lain juga mahu menjadi maju. Cuma jalan yang dilalu Malaysia lebih nyata.

Dan hakikatnya ialah jalan untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 memerlukan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak lapan peratus, sesuatu yang sukar dengan krisis masa kini memandangkan sepanjang 10 tahun lalu, purata kadar pertumbuhan hanyalah lima peratus.

Katakanlah banyak negara di dunia yang mengikut jejak rancangan wawasan Malaysia. Persoalannya, adakah bumi ini mampu menampung semua negara di dunia sebagai negara maju?

Sedangkan apa yang dinikmati oleh negara- negara maju sekarang adalah kerana hanya mereka yang menjadi negara maju. Sumber bumi kebanyakannya dicurahkan kepada mereka dan dinafikan daripada dinikmati oleh negara-negara lain.

Jika negara-negara lain turut menjadi maju, maka negara-negara maju sekarang tidak akan dapat mempertahankan tahap kemakmuran mereka. Dalam keadaan begini sebenarnya, persaingan sengit sedang berlaku antara negara.

Jadi apa yang berlaku sekarang ialah terdapat dua sisi pertembungan yang akhirnya akan menentukan ke mana nasib bumi dan manusia.

Pertama, usaha sengit akan terus berlaku oleh banyak penduduk di kalangan negara-negara miskin. Mereka juga mahu maju dan makmur. Tetapi dunia tidak mampu untuk memberikan kemakmuran kepada semua negara.

Maka pihak negara maju akan berusaha untuk menekan sebarang usaha yang akan mengurangkan kemakmuran mereka. Konflik tidak dapat dielakkan.

Untuk elak konflik, maka timbul gerakan yang mahu manusia hidup sederhana dengan mengambil kira kemampuan bumi. - Oleh Zin Mahmud

Sabtu, 12 Disember 2009

Esei Minggu Ini


Satu bilion manusia kelaparan

MINAT orang Melayu terhadap makan diimbangi dengan kegemaran mereka menjalankan ibadat puasa. Berbanding dengan ibadat lain, puasa amat digemari. Termasuk puasa sunat, bukan saja puasa enam tetapi juga Isnin dan Khamis sepanjang tahun.

Mungkin ini cara orang Melayu menyatakan kesyukuran kerana negara ini murah rezeki dari segi makanan. Namun hakikatnya, bukan saja orang Melayu, tetapi rakyat Malaysia umumnya juga suka makan. Pagi, tengah hari, petang dan malam, orang Malaysia makan, makan dan makan.

Hingga banyak yang sakit kerana lebih makan. Kegemukan, kencing manis dan kolesterol tinggi adalah kerana terlebih makan. Bukan saja gemar makan tetapi orang Malaysia juga suka bersembang tentang makanan. Terutama ketika bulan Ramadan. Sementara jenis buku yang paling laris di pasaran ialah juga tentang makanan dan resipi. Chef pun menjadi selebiriti. Pelakon pun menjadi chef.

Memanglah dalam sejarahnya, Malaysia tidak pernah menghadapi bencana kebuluran atau kekurangan makanan. Kalau ada pun ketika masa Perang Dunia Kedua di mana orang Malaya terpaksa makan ubi kayu kerana kekurangan beras.

Bagi generasi yang hidup pada zaman Jepun, pasti mereka menghargai nilai makanan. Mereka akan menggeleng-geleng kepala melihat betapa generasi lepas perang, khususnya yang X, Y dan Z membazir makanan tanpa segan silu.

Harga makanan buat masa ini bukannya murah. Tetapi pembaziran berlaku lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan dan Syawal.

Lihatlah dalam peti ais masing-masing berapa banyak makanan yang dibazirkan. Belum lagi di restoran dan hotel-hotel.

Tetapi pembaziran makanan ini bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di banyak negara-negara maju di dunia dan di kalangan golongan kaya di negara-negara membangun dan miskin.

Sedangkan pada Rabu lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bahawa manusia yang menghadapi kelaparan mencapai satu bilion pada tahun ini.

Dapat diandaikan bahawa bilangan yang begitu banyak menanggung kelaparan ini adalah paling tertinggi dalam sejarah manusia. Ini kerana bilangan manusia yang ada pada bumi hari ini adalah jauh lebih tinggi pernah wujud berbanding pada masa-masa lalu.

Kalau dulu, kelaparan hanya berlaku di tempat-tempat yang terpencil dan bermusim. Kali ini kelaparan berlaku secara meluas, merata dan berpanjangan.

Apa yang mengharukan ialah kelaparan berlaku ketika dunia berada dalam zaman kemuncak tamadunnya dengan kemajuan sains, teknologi, demokrasi, sistem pasaran terbuka, globalisasi dan era maklumat yang paling canggih pernah dialami oleh manusia.

Jika manusia yang mencapai tamadun sebegini tinggi tidak dapat memenuhi keperluan asas iaitu makanan, maka tentunya sistem yang ada sekarang patut dipersoalkan.

Mengapakah sistem pasaran terbuka yang menguasai dunia hari ini di mana negara komunis iaitu China telah pun menjadi antara penyumbang penting kepada sistem ini telah akhirnya turut gagal memberi makanan yang secukupnya pada dunia?

Bukan saja makanan tetapi barangan keperluan lain juga tidak diagihkan dengan sewajarnya. Pembaziran besar-besaran berlaku di seluruh dunia dengan negara kaya menggunakan banyak sumber sementara sebahagian besar manusia terperangkap dengan sistem bagi menghasilkan barangan-barangan untuk terus hidup.

Kesemuanya ini berasaskan kepada pengejaran ke atas menggunakan barangan yang pelbagai tetapi keperluannya hanya diada-adakan untuk syarikat besar-besar meraih keuntungan. Sementara syarikat pula beroperasi dengan tumpuan untuk memberikan pulangan maksimum kepada pemegang saham yang mahu menjadi kaya sebanyak mungkin bagi membolehkan mereka hidup mewah tanpa had.

Untuk itu, mereka mencipta pelbagai barangan baru yang diada-adakan keperluannya melalui usaha pemasaran agresif melibatkan dunia pengiklanan canggih yang dapat mewujudkan keinginan di kalangan pengguna untuk membeli barangan berkenaan.

Pengejaran terhadap produk yang diada-adakan ini mengakibatkan banyak pembaziran yang akhirnya menjejaskan alam sekitar dan mengancam manusia sendiri. Perubahan iklim akibat perbuatan manusia pengguna dapat disaksikan melalui bencana alam seperti taufan dan banjir.

Apabila berlaku bencana alam, mereka yang teruk menanggung akibatnya adalah kalangan golongan miskin dan terpinggir.

Sementara yang kaya dan kelas menengah didapati masih tidak mendapat kepuasan hidup walaupun mereka sentiasa membeli-belah kerana minda dikuasai oleh iklan-iklan. - Oleh Zin Mahmud

Ahad, 29 November 2009

Renungan!

Apa ada pada 2012

Oleh Zin Mahmud

PADA November 2004 di Los Angeles, Amerika Syarikat dalam satu program, penulis diperkenalkan pada sepasang warga emas pesara akademik. Selepas makan malam, bekas profesor Universiti California di Los Angeles (UCLA) itu menunjukkan ruang-ruang dalam rumahnya.

Dalam persaraannya hobi beliau ialah mengkaji dan mengumpul bahan sejarah daripada tamadun Maya yang terletak di Amerika Selatan. Beliau menunjukkan tulisan-tulisan kaum Maya yang amat teliti terhadap kajian pergerakan bintang-bintang.

Rupa-rupanya ahli falak Maya berjaya meramalkan gerhana bulan dan mata hari serta perjalanan bintang-bintang hampir tepat seperti mana yang disahkan oleh kajian moden.

Maya sememangnya suatu tamadun penuh misteri dan kalendar kaum itu didapati sofistikated, yang anehnya takwimnya terhenti pada tahun 2012. Warga emas di Los Angeles itu menarik minat penulis untuk membaca bahan-bahan mengenai Maya, dan sememangnya ia mengkagumkan.

Setelah melupakan perkara ini untuk lima tahun, tiba-tiba pada Julai 2009, penulis dapati banyak buku-buku bukan fiksyen yang menceritakan mengenai Maya serta terhentinya kalendar mereka pada tahun 2012.

Walaupun kajian Maya berasaskan kepada sejarah, sains, astronomi dan anthropologi tetapi imaginasi manusia tidak mahu dikongkong dengan fakta rasional. Minda manusia juga disaluti dengan keupayaan untuk bergiat dalam agama, seni dan misteri.

Maka timbullah saranan bahawa terhentinya kalendar Maya pada tahun 2012, lebih tepat lagi, 21 Disember 2012, bermakna itulah tarikh kiamat. Cukup dengan saranan ini, maka ia meligatkan otak para seniman untuk menghasilkan cerita-cerita berhubung kiamat pada tarikh itu.

Tentulah kisah ini tidak terlepas daripada pandangan Hollywood. Lebih-lebih lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini Hollywood gemar menerbitkan filem-filem mengenai bencana alam yang besar-besar. Daripada bumi yang dilanggar bintang berekor (komet), tahi bintang (meteor), gunung berapi raksasa (supervolkano) dan pelbagai lagi.

Dua peristiwa iaitu serangan 11 September 2003 dan tsunami 2004 mengukuhkan lagi rasa bimbang dunia, khususnya Barat mengenai bencana alam ini.

Ada ahli psikologi menyatakan bahawa obsesi manusia khususnya orang Amerika terhadap bencana besar ini adalah merupakan cerminan minda mereka yang mahu sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan bencana besar-besaran.

Tetapi bukan saja Amerika, manusia secara umumnya mempunyai banyak kisah-kisah purba yang diwarisi mengenai bencana alam yang besar-besar. Dalam agama Asia Barat, baik Yahudi, Kristian dan Islam, ia ditandai dengan kisah-kisah bencana. Umpamanya Qarun ditelan bumi, kaum Nabi Lut yang musnah dan paling popular ialah kisah Nabi Nuh dan banjir besar.

Kisah Nabi Nuh dikesan paling awal dalam kitab Gilgamesh dalam tamadun Sumeria. Banjir besar inilah yang dijadikan asas kepada filem 2012 terbitan Hollywood dan telah pun ditayangkan di Malaysia.

Jumaat, 27 November 2009

Berita Sana Sini!


Naskah Pengenalan I Luv Islam (ILI) di pasaran
NASKAH pengenalan akhbar Mingguan I Luv Islam (ILI) kini sudahpun berada di tangan orang ramai.
Promosi terbitan terbaru Kumpulan Karangkraf, mula diedarkan kepada pembaca dengan harga pengenalan RM1.00 sebelum harga sebenar RM2.00 dikuatkuasakan.
Naskah setebal 32 muka surat dan penuh warna dicetak di atas kertas semili memaparkan berbagai segmen dalam dan luar negara mengenai dunia Islam sejagat.
Editornya, Cik Fauziah, yang baru balik dari Nageria, turut menulis laporan mengenai negara Islam ini yang masih mundur dari segi pembangunan, berbanding kehidupan warga kotanya yang mewah.
Terbit setiap Jumaat, di harap paparan kisah Dr Asri, reka bentuk masjid di tanah air dan sebagainya, akan menjadi ikutan pembaca.
Di harap kemunculan akhbar I Luv Islam dapat memenuhi selera pembaca tanpa mengira kepercayaan individu!

Khamis, 26 November 2009

Ucapan!


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA...


Pada semua muslimin dan muslimat,semoga semua diberikan-NYA keberkatan, kerahmatan, keampunan dan kebahagiaan pada hari yang mulia ini.

Renung dan hayati semangat disebalik hari perayaan ini agar ia memberi sinar dan dorongan untuk terus berkorban apa saja demi agama,bangsa dan negara.

Selamat Hari Raya Aidil Adha dari kami staf blogspot.com

Ahad, 13 September 2009

Salam Syawal 1430 Hijrah


"Seluruh staf IMAN mengambil peluang menghulur tangan memohon maaf sekiranya terdapat kesalahan dan kesilapan sepanjang mengendalikan blog ini. Semoga kedatangan Syawal akan memberi kemenangan kepada anda semua...Selamat Hari Raya Aidlfitri Maaf Zahir Batin"